Surat kepada Sidang di Roma 15:1-33
15 Namun begitu, kita yang kuat haruslah menanggung kelemahan orang yang tidak kuat.+ Janganlah kita menyenangkan diri sendiri sahaja.+
2 Hendaklah kita masing-masing menyenangkan hati orang lain demi kebaikan mereka, supaya mereka dikuatkan.+
3 Kita harus berbuat demikian kerana Kristus pun tidak menyenangkan dirinya sendiri.+ Sebaliknya seperti yang tertulis, “Aku sudah menanggung segala celaan yang ditujukan kepada-Mu.”+
4 Segala yang tertulis sejak dahulu lagi ditulis untuk mengajar kita,+ supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita+ dan membantu kita bertabah hati.+
5 Semoga Tuhan yang memberi kamu ketabahan dan kelegaan hati, membolehkan kamu semua memiliki fikiran dan sikap yang dimiliki Kristus Yesus,
6 agar kamu bersatu padu+ dan dengan sebulat suara memuliakan Tuhan, iaitu Bapa kepada Tuan kita, Yesus Kristus.
7 Oleh itu, sambutlah* satu sama lain+ sebagaimana Kristus telah menyambut kamu,+ supaya Tuhan dimuliakan.
8 Aku memberitahu kamu bahawa Kristus telah menjadi hamba kepada mereka yang disunat,+ supaya dia dapat menunjukkan bahawa firman Tuhan sentiasa benar, supaya dia dapat memberikan jaminan bahawa Tuhan akan menunaikan janji yang dibuat oleh-Nya dengan nenek moyang mereka,+
9 dan supaya bangsa-bangsa lain memuliakan Tuhan kerana belas kasihan-Nya.+ Seperti yang tertulis, “Itulah sebabnya aku akan memuji Engkau dalam kalangan bangsa-bangsa lain, dan aku akan bernyanyi untuk memuji nama-Mu.”+
10 Ada tertulis juga, “Bergembiralah bersama umat Tuhan, hai bangsa-bangsa.”+
11 Ada tertulis pula, “Hai segala bangsa, pujilah Yehuwa.* Hendaklah semua orang memuji-Nya.”+
12 Selain itu, Yesaya berkata, “Seorang daripada keturunan* Isai+ akan bangkit untuk memerintah bangsa-bangsa,+ dan bangsa-bangsa akan berharap kepadanya.”+
13 Semoga Tuhan yang memberi kamu harapan, mengurniai kamu sukacita dan kedamaian yang melimpah kerana kamu percaya kepada-Nya, supaya dengan kuasa suci Tuhan, harapan kamu bertambah kukuh.+
14 Saudara-saudaraku, aku yakin bahawa kamu sangat baik dan memiliki pengetahuan tentang banyak perkara. Kamu juga dapat saling menasihati.*
15 Namun, aku telah menulis kepada kamu dengan lebih terus terang tentang beberapa perkara untuk mengingatkan kamu sekali lagi. Aku berbuat demikian kerana Tuhan telah menunjukkan kebaikan hati yang unggul kepadaku,
16 agar aku menjadi hamba Kristus Yesus, yang diutus untuk menyampaikan berita baik Tuhan kepada bangsa-bangsa lain. Aku menjalankan tugas suci ini+ supaya bangsa-bangsa lain diterima oleh Tuhan sebagai suatu persembahan yang telah disucikan oleh kuasa suci-Nya.
17 Oleh itu, aku berbangga kerana aku ialah pengikut Kristus Yesus dan kerana aku berkhidmat kepada Tuhan.
18 Aku tidak berani bercakap tentang hal lain, kecuali hal yang telah dilakukan oleh Kristus melalui aku supaya bangsa-bangsa lain patuh kepadanya. Dia telah berbuat demikian menerusi pertuturan dan perbuatanku,
19 menerusi keajaiban dan mukjizat,+ dan menerusi kuasa suci Tuhan. Maka, aku telah menyebarkan berita baik tentang Kristus dengan menyeluruh sepanjang perjalananku dari Yerusalem sampai ke Ilirikum.+
20 Aku bermatlamat untuk mengisytiharkan berita baik di mana sahaja orang belum mendengar tentang nama Kristus, supaya aku tidak membina di atas asas yang diletakkan oleh orang lain.
21 Hal ini selaras dengan apa yang tertulis, “Mereka yang belum pernah diberitahu tentangnya akan melihat, dan mereka yang belum pernah mendengar akan mengerti.”+
22 Itulah sebabnya sudah banyak kali aku dihalang daripada datang kepada kamu.
23 Namun sekarang, tiada lagi tempat yang belum aku kunjungi di kawasan ini. Lagipun, sudah lama* aku sangat ingin datang kepada kamu.
24 Oleh itu, aku berharap dapat berjumpa dengan kamu dalam perjalananku ke Sepanyol, supaya aku dapat menikmati pergaulan dengan kamu untuk seketika waktu. Selepas itu, aku berharap kamu dapat menemani aku untuk sebahagian perjalananku semasa aku meneruskan perjalanan ke Sepanyol.
25 Tetapi sekarang aku hendak pergi ke Yerusalem untuk memberikan bantuan kepada umat suci Tuhan.+
26 Saudara-saudara di Makedonia dan Akhaya dengan sukacita berkongsi milik mereka dengan memberikan sumbangan kepada orang miskin dalam kalangan umat suci di Yerusalem.+
27 Mereka memang berbuat demikian dengan sukacita, tetapi sebenarnya mereka berhutang kepada umat suci Tuhan di Yerusalem. Oleh sebab bangsa-bangsa lain telah menerima berkat rohani daripada umat suci Tuhan di Yerusalem, mereka juga wajib menyumbangkan harta milik mereka untuk membantu umat suci Tuhan di Yerusalem.+
28 Maka, selepas aku menyerahkan sumbangan ini dengan selamat kepada mereka, aku akan melawat kamu dalam perjalananku ke Sepanyol.
29 Aku juga tahu bahawa apabila aku datang, aku akan membawa berkat yang berlimpah-limpah daripada Kristus kepada kamu.
30 Saudara-saudara, demi Tuan kita, Yesus Kristus, dan demi kasih yang dikurniakan menerusi kuasa suci Tuhan, aku menggesa kamu supaya berusaha bersungguh-sungguh bersama aku untuk berdoa kepada Tuhan bagiku,+
31 supaya aku diselamatkan+ daripada orang di Yudea yang tidak percaya kepada Yesus, dan supaya umat suci di Yerusalem+ senang hati dengan bantuan yang aku berikan kepada mereka.
32 Dengan demikian, jika Tuhan mengizinkan, aku akan datang kepada kamu dengan sukacita dan disegarkan bersama-sama kamu.
33 Semoga Tuhan yang memberikan kedamaian menyertai kamu semua.+ Amin.