Surat kepada Sidang di Roma 2:1-29

  • Penghakiman Tuhan terhadap orang Yahudi dan Yunani (1-16)

    • Bagaimana hati nurani berfungsi (14, 15)

  • Orang Yahudi dan Hukum Musa (17-24)

  • Sunat di hati (25-29)

2  Oleh itu saudara, tidak kira siapa kamu, kamu tidak boleh membela diri jika kamu menghakimi orang lain.+ Hal itu demikian kerana semasa kamu menghakimi orang lain, kamu sedang menjatuhkan hukuman atas diri sendiri, kerana kamu sendiri pun mengamalkan perkara-perkara yang sama.+ 2  Kita tahu bahawa Tuhan akan menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengamalkan perbuatan sebegitu, dan penghakiman-Nya selaras dengan apa yang benar. 3  Saudara, kamu menghakimi orang yang mengamalkan perbuatan sebegitu padahal kamu sendiri melakukan hal yang sama. Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan terlepas daripada penghakiman Tuhan? 4  Atau adakah kamu meremehkan kebaikan hati,+ kemurahan hati,+ dan kesabaran+ Tuhan yang melimpah? Adakah kamu tidak tahu bahawa Tuhan menunjukkan kebaikan hati-Nya kerana Dia ingin memimpin kamu untuk bertaubat?+ 5  Kamu keras kepala dan enggan bertaubat. Oleh itu, kamu sedang mengundang kemurkaan Tuhan yang akan diperlihatkan pada hari kemurkaan-Nya, dan Dia akan menghakimi dengan adil.+ 6  Dia akan membalas setiap orang menurut perbuatan masing-masing:+ 7  Orang yang berusaha untuk mendapat kemuliaan dan kehormatan dengan sentiasa berbuat baik akan dikurniai tubuh yang tidak boleh musnah+ dan kehidupan kekal. 8  Sebaliknya orang yang suka bertengkar, mengingkari kebenaran, dan melakukan kejahatan akan ditimpa hukuman dan kemurkaan Tuhan.+ 9  Setiap orang yang berbuat jahat akan ditimpa kesengsaraan dan penderitaan, bermula dengan orang Yahudi, dan kemudiannya orang Yunani. 10  Namun, setiap orang yang berbuat baik akan menerima kemuliaan, kehormatan, dan kedamaian, bermula dengan orang Yahudi,+ dan kemudiannya orang Yunani.+ 11  Hal itu demikian kerana Tuhan tidak berat sebelah.+ 12  Jika sesiapa yang tidak berada di bawah hukum Tuhan melakukan dosa, dia akan binasa walaupun dia tidak mengetahui hukum itu.+ Tetapi, jika sesiapa yang berada di bawah hukum melakukan dosa, dia akan dihakimi menurut hukum itu.+ 13  Hal itu demikian kerana orang yang mendapat perkenan Tuhan bukanlah orang yang mendengar hukum. Sebaliknya, orang yang melakukan apa yang selaras dengan hukum akan diperkenankan Tuhan.+ 14  Apabila orang daripada bangsa-bangsa lain yang tidak mempunyai hukum melakukan apa yang selaras dengan hukum,+ hal ini menunjukkan bahawa mereka sendiri tahu apa yang betul dan apa yang salah walaupun mereka tidak mempunyai hukum. 15  Merekalah yang menunjukkan bahawa prinsip-prinsip yang terkandung dalam hukum itu tertulis dalam hati mereka. Selain itu, hati nurani mereka juga menjadi saksi, dan fikiran mereka membantu mereka untuk mengetahui sama ada perbuatan mereka betul atau salah. 16  Menurut berita baik yang aku khabarkan, hal itu akan berlaku pada hari Tuhan menggunakan Kristus Yesus untuk menghakimi hal-hal yang dirahsiakan oleh manusia.+ 17  Kamu digelar orang Yahudi+ dan kamu bergantung pada hukum. Kamu juga membangga-banggakan hubungan kamu dengan Tuhan. 18  Kamu mengetahui kehendak-Nya dan dapat mengenal pasti perkara-perkara yang unggul, kerana kamu telah diajar mengikut Hukum.+ 19  Kamu yakin bahawa kamu ialah penuntun orang buta, cahaya kepada mereka yang berada dalam kegelapan, 20  pendidik kepada orang yang tidak munasabah, dan guru kepada anak muda. Kamu sudah menguasai kebenaran dan pengetahuan asas* yang terdapat dalam Hukum. 21  Namun begitu, mengapakah kamu mengajar orang lain tetapi tidak mengajar diri sendiri?+ Kamu memberitahu orang, “Jangan mencuri,”+ tetapi mengapakah kamu sendiri mencuri? 22  Kamu berkata, “Jangan berzina,”+ tetapi mengapakah kamu sendiri berzina? Kamu membenci berhala, tetapi mengapakah kamu sendiri merompak rumah berhala? 23  Kamu berbangga kerana memiliki hukum, tetapi mengapakah kamu memalukan Tuhan dengan melanggar Hukum? 24  Tepat seperti yang tertulis, “Kerana kamu, nama Tuhan kini dihina oleh bangsa-bangsa lain.”+ 25  Sebenarnya, kamu harus mematuhi hukum,+ barulah sunat+ kamu itu berfaedah. Tetapi jika kamu melanggar hukum, kamu seperti orang yang tidak bersunat walaupun kamu sudah bersunat. 26  Jika seseorang yang tidak bersunat+ mematuhi perintah Tuhan yang termaktub dalam Hukum, bukankah dia dianggap sebagai orang yang sudah bersunat, walaupun dia tidak bersunat?+ 27  Kamu sudah bersunat dan memiliki hukum bertulis. Tetapi memandangkan kamu melanggar hukum, orang bukan Yahudi yang tidak bersunat akan menghakimi kamu, kerana mereka mematuhi Hukum. 28  Sesiapa yang merupakan orang Yahudi secara luaran bukanlah orang Yahudi yang sebenar,+ dan sunat luaran bukanlah sunat yang sebenar.+ 29  Sebaliknya, orang Yahudi yang sebenar ialah orang yang berjiwa Yahudi,+ dan sunat yang diterimanya ialah sunat di hati,+ yang dibimbing oleh kuasa suci Tuhan dan bukannya berdasarkan hukum bertulis.+ Orang sebegini akan menerima pujian, bukan daripada manusia,+ tetapi daripada Tuhan.

Nota Kaki

Atau “rangka kebenaran dan pengetahuan.”