Surat kepada Sidang di Roma 3:1-31
3 Jika demikian, apakah kelebihan orang Yahudi? Atau apakah manfaatnya bersunat?
2 Ada banyak kelebihannya. Mula-mula, mereka telah diamanahkan perkhabaran suci daripada Tuhan.+
3 Bagaimana pula jika ada orang Yahudi yang tidak percaya? Adakah hal ini bermaksud bahawa Tuhan tidak dapat dipercayai lagi?
4 Tentu tidak! Meskipun setiap orang berdusta,+ firman Tuhan sentiasa benar.+ Seperti yang tertulis, “Apabila Engkau berfirman, firman-Mu benar. Apabila Engkau dituduh, Engkau akan menang.”+
5 Tetapi jika kejahatan kita menonjolkan keadilan Tuhan, apakah yang dapat kita katakan? Adakah Tuhan tidak adil apabila Dia menunjukkan kemurkaan-Nya? (Itulah cara pemikiran sesetengah orang.)
6 Sudah pasti tidak! Andai kata Tuhan tidak adil, bagaimanakah Dia dapat menghakimi dunia ini?+
7 Namun, jika dustaku menonjolkan kebenaran Tuhan sehingga orang memuliakan-Nya, mengapakah aku juga dihakimi sebagai orang yang berdosa?
8 Mengapakah kita tidak berkata, “Lakukanlah perkara yang jahat supaya perkara yang baik akan muncul”? Ada beberapa orang yang membuat tuduhan palsu bahawa kami berkata demikian. Mereka memang wajar dihukum.+
9 Kalau begitu, adakah orang Yahudi mempunyai kedudukan yang lebih baik? Sama sekali tidak! Seperti yang telah dijelaskan, orang Yahudi dan orang Yunani semuanya dikuasai dosa.+
10 Tepat seperti yang tertulis, “Tidak ada seorang pun yang melakukan apa yang benar.+
11 Tidak ada seorang pun yang mempunyai pengertian, dan tidak ada seorang pun yang mencari Tuhan.
12 Semua orang sudah menyeleweng, mereka semuanya sudah menjadi tidak berguna. Tidak ada seorang pun yang menunjukkan kebaikan hati, seorang pun tidak.”+
13 “Mulut mereka ialah kubur yang terbuka, lidah mereka mengeluarkan tipu daya.”+ “Racun ular berbisa ada di bibir mereka.”+
14 “Mulut mereka penuh dengan sumpahan dan kata-kata yang pahit.”+
15 “Kaki mereka bergerak dengan cepat untuk menumpahkan darah.”+
16 “Kemusnahan dan kesengsaraan ada di jalan-jalan mereka,
17 dan mereka tidak mengenal haluan kedamaian.”+
18 “Tidak ada perasaan takut akan Tuhan di depan mata mereka.”+
19 Sekarang kita tahu bahawa semua perkara yang dinyatakan dalam Hukum ditujukan kepada mereka yang berada di bawah Hukum itu, supaya tidak seorang pun dapat berdalih, dan semua orang di dunia akan diadili oleh Tuhan.+
20 Oleh itu, tidak ada sesiapa pun yang dapat memperoleh perkenan Tuhan dengan mematuhi hukum,+ kerana hukum itu menyingkapkan dengan jelas apa itu dosa.+
21 Menurut kesaksian yang diberikan dalam Hukum dan Ajaran Para Nabi, kita sekarang tahu bahawa seseorang boleh mendapat perkenan Tuhan tanpa mematuhi Hukum Musa.+
22 Ya, semua orang yang beriman boleh mendapat perkenan Tuhan melalui iman mereka kepada Yesus Kristus. Tidak ada perbezaan antara sesiapa pun kerana+
23 semua orang sudah berdosa dan gagal mencerminkan kemuliaan Tuhan.+
24 Tuhan memperlihatkan kebaikan hati-Nya yang unggul+ dengan membebaskan mereka melalui tebusan yang dibayar oleh Kristus Yesus.+ Melalui kurniaan percuma itu,+ mereka dianggap sebagai orang yang diperkenankan-Nya.
25 Tuhan menyerahkan Kristus sebagai korban supaya orang yang beriman kepada darah Kristus+ dapat berdamai dengan-Nya.*+ Dengan demikian, Tuhan memperlihatkan keadilan-Nya, kerana Dia bersabar dan mengampunkan dosa-dosa yang dilakukan pada masa lampau.
26 Dia juga memperlihatkan keadilan-Nya+ sekarang dengan berkenan kepada orang yang beriman kepada Yesus.+
27 Hukum yang berkaitan dengan perbuatan boleh membuat seseorang bercakap besar. Tetapi patutkah kita bercakap besar?+ Sama sekali tidak. Hal ini demikian kerana hukum yang berkaitan dengan iman jelas menunjukkan bahawa tidak ada sesiapa pun yang mempunyai alasan untuk bercakap besar.
28 Bagi kita, seseorang mendapat perkenan Tuhan kerana imannya dan bukan kerana dia mematuhi hukum.+
29 Adakah Dia Tuhan kepada orang Yahudi sahaja?+ Bukankah Dia juga Tuhan kepada orang daripada bangsa-bangsa lain?+ Ya, Dia ialah Tuhan kepada orang daripada bangsa-bangsa lain juga.+
30 Tuhan hanya satu.+ Dia akan berkenan kepada orang yang bersunat kerana mereka beriman.+ Dia juga akan berkenan kepada orang yang tidak bersunat kerana mereka beriman.+
31 Jadi, adakah hal ini bermaksud bahawa kita menghapuskan hukum kerana iman kita? Tentu tidak! Sebaliknya, kita meneguhkan hukum.+
Nota Kaki
^ Atau “dapat diampuni.”