Rut 2:1-23
2 Naomi mempunyai seorang saudara lelaki daripada keluarga suaminya, Elimelekh. Saudara ini bernama Boaz,+ dan dia sangat kaya.
2 Rut, wanita Moab itu, berkata kepada Naomi, “Benarkanlah saya pergi ke ladang untuk mengumpulkan sisa barli yang ditinggalkan oleh para penuai.+ Saya akan ikut di belakang sesiapa sahaja yang berbelas kasihan terhadap saya.” Naomi menjawab, “Pergilah, anakku.”
3 Maka Rut pergi ke ladang dan berjalan di belakang para penuai untuk mengumpulkan sisa barli. Kebetulan dia tiba di sebuah ladang milik Boaz,+ iaitu saudara Elimelekh.+
4 Tidak lama kemudian, Boaz tiba dari Betlehem. Dia berkata kepada para penuainya, “Semoga Yehuwa menyertai kamu semua.” Mereka menjawab, “Semoga Yehuwa memberkati tuan.”
5 Kemudian Boaz bertanya kepada pemuda yang menjadi ketua pekerjanya, “Siapakah wanita muda itu?”
6 Ketua pekerja itu menjawab, “Wanita itu orang Moab,+ dan dia baru datang bersama Naomi dari negeri Moab.+
7 Dia berkata, ‘Benarkanlah aku mengumpulkan barli* yang tercicir.’+ Sejak pagi lagi dia bekerja, dan dia baru sahaja berhenti untuk berehat sebentar di pondok.”
8 Boaz berkata kepada Rut, “Anakku, janganlah pergi ke ladang yang lain. Teruslah memungut sisa barli di ladangku bersama dengan para pekerja wanitaku.+
9 Lihatlah di mana mereka bekerja, dan ikutlah mereka. Aku telah melarang para pekerja lelaki daripada mengganggu kamu. Apabila kamu haus, minumlah air dari tempayan yang telah diisikan oleh mereka.”
10 Maka Rut berlutut dan bersujud ke tanah lalu berkata kepada Boaz, “Mengapakah tuan berbelas kasihan dan mengambil berat terhadap saya? Saya hanyalah orang asing.”+
11 Boaz menjawab, “Aku telah mendengar segala sesuatu yang kamu lakukan untuk ibu mentuamu sejak suamimu meninggal. Kamu telah meninggalkan ibu bapa dan negerimu untuk tinggal bersama bangsa yang tidak kamu kenal.+
12 Semoga Yehuwa memberkatimu sesuai dengan segala perbuatanmu.+ Semoga Yehuwa, Tuhan orang Israel, memberikan ganjaran yang sepenuhnya kepadamu kerana kamu telah bernaung di bawah sayap-Nya.”+
13 Kemudian Rut berkata, “Tuan telah menggalakkan dan melegakan hati saya meskipun saya tidak setaraf dengan pekerja tuan. Semoga tuan terus menunjukkan belas kasihan kepada saya.”
14 Pada waktu makan, Boaz berkata kepada Rut, “Marilah makan. Celupkanlah rotimu ke dalam cuka.” Jadi Rut duduk bersama-sama para penuai yang lain. Kemudian Boaz memberinya barli panggang untuk dimakan. Rut makan sehingga kenyang. Setelah makan, dia masih ada lebihan makanan.
15 Apabila dia pergi untuk memungut sisa barli,+ Boaz berkata kepada para pekerja lelakinya, “Biarlah dia memungut barli* yang tercicir dan janganlah menghalangnya.+
16 Cabutlah juga beberapa batang barli dari berkas-berkas kamu dan tinggalkannya di ladang supaya Rut dapat mengumpulkannya. Janganlah melarang dia berbuat demikian.”
17 Rut terus memungut sisa barli di ladang itu sehingga petang.+ Apabila dia mengirik* semua barli yang dipungutnya, dia mendapat kira-kira satu efa* barli.
18 Dia membawa barli yang telah dikumpulkan itu ke kota lalu menunjukkannya kepada ibu mentuanya. Dia juga memberi ibu mentuanya lebihan barli panggang yang disimpannya.+
19 Ibu mentuanya bertanya kepada Rut, “Di mana kamu mengumpulkan sisa barli hari ini? Kamu bekerja di ladang siapa? Semoga orang yang menunjukkan kebaikan hati kepadamu itu diberkati.”+ Rut menjawab, “Saya bekerja di ladang seorang lelaki yang bernama Boaz.”
20 Naomi berkata kepadanya, “Semoga dia diberkati oleh Yehuwa, Tuhan yang sentiasa menunjukkan kasih setia, baik kepada orang yang masih hidup mahupun orang yang sudah mati.”+ Naomi menyambung, “Lelaki itu saudara kita+ yang berhak untuk menebus kita.”+
21 Kemudian Rut, wanita Moab itu, menambah, “Boaz juga berkata kepada saya, ‘Teruslah memungut sisa barli bersama para pekerjaku sehingga mereka habis menuai ladangku.’”+
22 Naomi berkata kepada Rut, “Ya anakku, lebih baik kamu bekerja dengan para pekerja wanitanya. Jika kamu pergi ke ladang lain, kamu mungkin akan diganggu.”
23 Maka Rut terus mengikuti para pekerja wanita Boaz untuk memungut sisa tuaian sehingga habis musim menuai barli dan gandum.+ Sepanjang masa itu, dia tetap tinggal bersama ibu mentuanya.+
Nota Kaki
^ Atau mungkin, “berkas barli.”
^ Atau mungkin, “berkas barli.”
^ Proses memisahkan buah daripada tangkai.
^ Lihat Lampiran B14.