Rut 4:1-22

  • Boaz menebus Rut dan Naomi (1-12)

  • Obed dilahirkan (13-17)

  • Salasilah Daud (18-22)

4  Boaz pergi ke pintu gerbang kota+ dan duduk di sana. Pada masa itu, saudara dekat* yang disebut oleh Boaz+ lalu di situ. Boaz berkata kepada orang itu, “Marilah, hai kawan, duduklah di sini.” Orang itu pun datang lalu duduk di sana.  Kemudian Boaz menjemput 10 orang pemimpin kota+ untuk datang. Dia berkata kepada mereka, “Marilah duduk di sini.” Mereka pun duduk di sana.  Boaz berkata kepada saudaranya,+ “Naomi telah balik dari negeri Moab,+ dan dia perlu menjual tanah milik saudara kita Elimelekh.+  Saya rasa bahawa kamu harus diberitahu tentang hal ini. Maka dengarlah kata-kata saya. Jika kamu ingin membeli tanah itu, belilah di hadapan penduduk dan para pemimpin kota.+ Tetapi jika kamu enggan menebus tanah itu, beritahulah saya. Hal ini demikian kerana kamulah yang pertama berhak menebusnya. Kemudian barulah saya.” Orang itu menjawab, “Saya sudi menebus tanah itu.”+  Boaz berkata lagi, “Baiklah, tetapi kamu haruslah ingat bahawa tanah itu bukan sahaja milik Naomi. Tanah itu juga milik Rut, wanita Moab yang merupakan isteri kepada anak lelaki Naomi yang telah meninggal. Jadi kamu harus membeli tanah itu daripada mereka berdua. Dengan demikian, tanah tersebut akan tetap menjadi milik keturunan orang yang mati itu.”+  Orang itu menjawab, “Kalau begitu, saya tidak dapat menebusnya. Jika saya menebusnya, hal itu akan merugikan saya. Maka biarlah saya melepaskan hak saya untuk menebus tanah itu. Kamulah yang menebus tanah itu.”  Untuk mengesahkan segala urusan berkenaan hak menebus dan penukaran hak milik, orang Israel pada zaman itu akan melakukan hal berikut: Seseorang akan menanggalkan kasutnya+ lalu memberikan kasut itu kepada yang seorang lagi. Inilah caranya orang Israel mengesahkan suatu perjanjian.  Maka, semasa saudara itu berkata kepada Boaz, “Kamulah yang membeli tanah itu,” dia menanggalkan kasutnya.  Boaz berkata kepada para pemimpin kota dan semua orang di situ, “Hari ini, kamu semua menjadi saksi+ bahawa saya akan membeli daripada Naomi segala-gala yang dimiliki oleh Elimelekh, Kilyon, dan Mahlon. 10  Selain itu, saya akan mengahwini balu Mahlon, iaitu Rut, wanita Moab itu. Dengan cara ini, tanah milik Mahlon akan tetap menjadi milik keturunannya.+ Namanya juga tidak akan lenyap daripada kalangan saudaranya dan penduduk kota ini. Hari ini, kamu semua menjadi saksi akan hal ini.”+ 11  Maka para pemimpin dan semua orang di pintu gerbang kota berkata, “Kami semua akan menjadi saksi! Semoga Yehuwa memberkati isterimu* agar dia menjadi seperti Rahel dan Lea, yang telah melahirkan banyak anak untuk Israel.+ Semoga kamu makmur di Efrata+ dan mendapat nama yang baik di Betlehem.+ 12  Semoga Yehuwa mengurniakan keturunan kepadamu melalui wanita ini dan menjadikan keluargamu seperti keluarga Perez,+ iaitu anak Tamar dan Yehuda.”+ 13  Jadi Boaz mengahwini Rut dan bersetubuh dengannya. Yehuwa memberkati Rut, dan dia mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. 14  Para wanita berkata kepada Naomi, “Pujilah Yehuwa! Hari ini, Dia telah mengurniakan seorang penebus kepadamu. Semoga nama anak yang dilahirkan itu terkenal di seluruh Israel! 15  Menantumu yang begitu mengasihi kamu,+ lebih baik daripada tujuh orang anak lelaki. Sekarang dia telah melahirkan seorang cucu yang akan menyegarkan hidupmu dan memeliharamu pada usia tua.” 16  Naomi mengambil anak itu lalu memeluknya, dan dia menjadi pengasuh anak itu. 17  Para wanita yang berjiran dengan Naomi berkata, “Seorang anak lelaki telah dilahirkan untuk Naomi.” Maka mereka menamakan anak itu Obed.+ Dia menjadi bapa Isai,+ dan Isai menjadi bapa Daud. 18  Inilah senarai keturunan Perez:+ Perez menjadi bapa Hezron;+ 19  Hezron menjadi bapa Ram; Ram menjadi bapa Aminadab;+ 20  Aminadab+ menjadi bapa Nahason; Nahason menjadi bapa Salmon; 21  Salmon menjadi bapa Boaz; Boaz menjadi bapa Obed; 22  Obed menjadi bapa Isai;+ dan Isai menjadi bapa Daud.+

Nota Kaki

Harfiah, “penebus.”
Harfiah, “isteri yang akan memasuki rumahmu.”