Ulangan 14:1-29
14 “Kamu ialah umat milik Yehuwa, Tuhan kamu. Jangan melukai tubuh kamu+ dan jangan mencukur rambut pada bahagian depan kepala kamu semasa kamu berkabung untuk orang mati.+
2 Hal ini demikian kerana kamu dianggap suci+ oleh Yehuwa, Tuhan kamu. Yehuwa telah memilih kamu daripada kalangan bangsa-bangsa lain di bumi ini untuk dijadikan umat-Nya yang istimewa.*+
3 “Jangan makan apa-apa yang dianggap najis.+
4 Inilah binatang yang boleh kamu makan:+ Lembu, bebiri, kambing,
5 rusa, kijang, antelop, kambing hutan, bebiri hutan, dan bebiri gunung.
6 Kamu boleh makan semua binatang yang kukunya terbelah sepenuhnya dan yang memamah biak.*
7 Tetapi kamu tidak boleh makan binatang yang hanya memamah biak atau yang hanya mempunyai kuku yang terbelah sepenuhnya. Jangan makan unta, arnab,* dan tikus gunung,* kerana semua binatang itu memamah biak tetapi tidak mempunyai kuku yang terbelah sepenuhnya. Binatang-binatang itu harus dianggap haram.+
8 Jangan makan babi kerana babi mempunyai kuku yang terbelah sepenuhnya tetapi tidak memamah biak. Binatang itu harus dianggap haram. Jangan makan daging binatang-binatang itu dan jangan sentuh bangkainya.
9 “Inilah hidupan air yang boleh kamu makan: Semua jenis hidupan air yang mempunyai sirip dan sisik.+
10 Tetapi kamu tidak boleh makan semua hidupan air yang tidak mempunyai sirip dan sisik. Semua binatang itu harus dianggap haram.
11 “Kamu boleh makan burung yang tidak dianggap najis.
12 Tetapi kamu tidak boleh makan semua burung ini: Burung rajawali, burung helang laut, burung nasar,+
13 burung lang merah dan burung lang hitam serta semua jenis burung lang,
14 semua jenis burung gagak,
15 burung unta, burung hantu, burung camar, semua jenis burung falkon,
16 burung hantu kecil, burung hantu bertelinga panjang, burung swan,
17 burung undan, burung hering, burung dendang air,
18 burung bangau, semua jenis burung pucung, burung hudhud, dan kelawar.
19 Semua jenis serangga bersayap yang hidup berkelompok juga merupakan sesuatu yang haram bagi kamu dan tidak boleh dimakan.
20 Kamu hanya boleh makan makhluk terbang yang tidak dianggap najis.
21 “Jika kamu menjumpai binatang yang sudah mati, kamu tidak boleh memakan daging binatang itu,+ kerana kamu dianggap suci oleh Yehuwa, Tuhan kamu. Kamu boleh memberikan atau menjual binatang itu kepada orang asing yang tinggal di kota-kota kamu, dan mereka boleh memakan daging binatang itu.
“Jangan memasak anak kambing di dalam air susu induknya.+
22 “Setiap tahun, kamu mesti memberikan persepuluhan daripada segala hasil ladang kamu.+
23 Kemudian kamu mesti memakan persepuluhan daripada bijirin, wain baharu, minyak, dan anak sulung ternakan kamu, di tempat yang dipilih oleh Yehuwa, Tuhan kamu, untuk memuliakan nama-Nya.+ Dengan demikian, kamu akan sentiasa belajar untuk takut dan hormat kepada Yehuwa, Tuhan kamu.+
24 “Tetapi jika tempat yang dipilih oleh Yehuwa untuk memuliakan nama-Nya itu+ terlalu jauh dari tempat tinggal kamu, dan kamu tidak dapat membawa semua persepuluhan kamu, kerana Yehuwa telah memberkati kamu dengan melimpah,
25 kamu boleh menjual semua persepuluhan kamu, lalu membawa wang yang diperoleh ke tempat yang dipilih oleh Yehuwa itu.
26 Kemudian kamu harus menggunakan wang itu untuk membeli apa sahaja yang kamu inginkan—lembu, bebiri, kambing, wain atau apa-apa jenis minuman keras yang lain, dan benda-benda lain yang kamu suka. Selepas itu, kamu dan keluarga kamu harus bersukacita dan memakan semua itu di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu.+
27 Jangan abaikan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu,+ kerana mereka tidak diberi harta warisan seperti kamu.+
28 “Pada akhir setiap tahun ketiga, kamu harus membawa semua persepuluhan daripada segala hasil ladang kamu pada tahun itu dan menyimpannya di kota-kota kamu.+
29 Semua itu adalah untuk orang Lewi, kerana mereka tidak diberi harta warisan seperti kamu, serta untuk orang asing, anak yatim, dan balu, yang tinggal di kota-kota kamu. Mereka boleh datang dan mengambil segala yang diperlukan oleh mereka.+ Buatlah demikian supaya Yehuwa, Tuhan kamu, memberkati kamu dalam segala usaha kamu.+
Nota Kaki
^ Atau “dijadikan milik-Nya yang amat bernilai.”
^ Mengunyah semula makanan yang sudah ditelan.
^ Harfiah, “kelinci.” Binatang yang menyerupai arnab tetapi mempunyai telinga dan kaki yang lebih besar.
^ Atau “hyrax.” Sejenis binatang yang tinggal di kawasan berbatu. Rupanya seperti tikus belanda yang besar.