Ulangan 15:1-23
15 “Pada setiap tahun ketujuh, kamu harus menghapuskan hutang orang terhadap kamu.+
2 Beginilah caranya: Sesiapa yang memberikan pinjaman harus menghapuskan hutang orang lain terhadapnya. Dia tidak boleh menagih hutang daripada saudaranya atau orang sebangsanya. Dia mesti mengisytiharkan penghapusan hutang untuk memuliakan Yehuwa.+
3 Kamu boleh menagih hutang daripada orang asing,+ tetapi kamu mesti menghapuskan semua hutang orang yang sebangsa dengan kamu.
4 Yehuwa, Tuhan kamu, pasti akan memberkati kamu+ di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu sebagai warisan. Tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang akan menjadi miskin
5 jika kamu mematuhi perintah Yehuwa dengan bersungguh-sungguh, dan jika kamu melakukan segala yang aku sampaikan kepada kamu hari ini dengan teliti.+
6 Yehuwa, Tuhan kamu, akan memberkati kamu seperti yang telah dijanjikan-Nya. Kamu akan memberikan pinjaman kepada banyak bangsa, tetapi kamu sendiri tidak akan meminjam daripada sesiapa pun.+ Kamu akan menguasai banyak bangsa, tetapi kamu sendiri tidak akan dikuasai oleh sesiapa pun.+
7 “Jika ada saudara kamu yang menjadi miskin di salah sebuah kota di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, kamu mesti rela membantunya. Kamu tidak boleh bersikap kedekut,+
8 sebaliknya kamu mesti bermurah hati+ terhadapnya dan kamu mesti meminjamkan apa-apa sahaja yang diperlukannya.
9 Jangan berkata dalam hati kamu, ‘Tahun ketujuh, iaitu tahun Sabat, sudah dekat,’+ dan dengan itu kamu tidak mahu bermurah hati dan tidak mahu memberikan apa-apa kepada saudara kamu yang miskin itu. Jangan biarkan fikiran jahat sebegitu timbul dalam hati kamu. Jika kamu enggan membantunya, dia akan berseru kepada Yehuwa, dan kamu akan dinyatakan bersalah.+
10 Kamu mesti memberinya dengan murah hati+ dan membantunya dengan senang hati, supaya Yehuwa memberkati segala usaha kamu.+
11 Orang miskin akan sentiasa ada dalam kalangan kamu.+ Itulah sebabnya aku memberikan perintah ini: ‘Di negeri kamu, kamu mesti membantu saudara kamu yang susah dan kamu mesti bermurah hati kepada saudara kamu yang miskin.’+
12 “Jika seorang Ibrani, sama ada lelaki atau perempuan, dijual kepada kamu sebagai hamba, kamu mesti membebaskan dia selepas dia bekerja untuk kamu selama enam tahun. Kamu mesti membebaskan saudara kamu itu pada tahun yang ketujuh.+
13 Semasa kamu membebaskannya, kamu tidak boleh membiarkan dia pergi dengan tangan kosong.
14 Kamu mesti memberinya ternakan, biji-bijian, minyak, dan wain. Yehuwa telah memberkati kamu, maka kamu mesti bermurah hati kepadanya.
15 Ingatlah bahawa dahulu kamu pun pernah menjadi hamba di Mesir, dan Yehuwa, Tuhan kamu, telah membebaskan kamu. Itulah sebabnya aku menyuruh kamu melakukan semua yang telah aku sampaikan kepada kamu hari ini.
16 “Tetapi jika hamba itu berkata kepada kamu, ‘Saya tidak mahu meninggalkan tuan!’ kerana dia mengasihi kamu dan keluarga kamu, dan dia sangat suka berkhidmat untuk kamu,+
17 suruhlah dia bersandar pada pintu lalu kamu mesti menindik telinganya. Maka dia akan menjadi hamba kamu seumur hidupnya. Demikianlah juga yang harus kamu lakukan terhadap hamba perempuan kamu.
18 Janganlah berasa kesal apabila kamu membebaskan hamba itu, kerana dia telah bekerja untuk kamu selama enam tahun, dengan separuh gaji seorang pekerja upahan, dan kerana Yehuwa telah memberkati kamu dalam segala usaha kamu.
19 “Kamu mesti mengekhaskan setiap anak jantan sulung ternakan kamu kepada Yehuwa, Tuhan kamu.+ Kamu tidak boleh menggunakan lembu yang telah dikhaskan itu untuk membuat kerja, dan kamu juga tidak boleh menggunting bulu bebiri yang telah dikhaskan itu.
20 Setiap tahun, kamu dan keluarga kamu harus memakan binatang-binatang itu di hadapan Yehuwa, di tempat yang telah dipilih oleh Yehuwa, Tuhan kamu.+
21 Tetapi kamu tidak boleh mempersembahkan binatang yang buta, tempang, atau yang mempunyai apa-apa kecacatan yang lain, kepada Yehuwa, Tuhan kamu.+
22 Kamu boleh makan binatang itu di kota-kota kamu, tidak kira kamu tahir atau najis. Kamu boleh memakannya sebagaimana kamu memakan daging kijang atau rusa.+
23 Tetapi kamu tidak boleh makan darah binatang itu.+ Kamu mesti mencurahkan darah binatang itu ke tanah seperti air.+