Ulangan 16:1-22

  • Perayaan Paska; Perayaan Roti Tidak Beragi (1-8)

  • Perayaan Menuai (9-12)

  • Perayaan Pondok Daun (13-17)

  • Pelantikan hakim-hakim (18-20)

  • Pokok dan tugu suci tidak boleh disembah (21, 22)

16  “Ingatlah bahawa bulan Abib* merupakan bulan yang penting. Kamu harus menyambut Perayaan Paska* bagi Yehuwa pada bulan itu,+ kerana pada bulan itu, Yehuwa, Tuhan kamu, telah membawa kamu keluar dari Mesir pada waktu malam.+ 2  Kamu harus mengambil ternakan kamu+ dan mempersembahkannya sebagai korban Paska kepada Yehuwa, Tuhan kamu,+ di tempat yang dipilih oleh Yehuwa untuk memuliakan nama-Nya.+ 3  Kamu tidak boleh memakan apa-apa yang beragi+ bersama korban itu. Selama tujuh hari, kamu harus memakan roti yang tidak beragi* untuk mengenang kesusahan dan penderitaan yang kamu alami, dan untuk memperingati bahawa kamu telah keluar dari Mesir dengan tergesa-gesa.+ Seumur hidup kamu, kamu mesti berbuat demikian untuk mengenang hari kamu keluar dari Mesir.+ 4  Selama tujuh hari, kamu tidak boleh memiliki apa-apa yang beragi di seluruh negeri kamu.+ Daging yang kamu persembahkan pada waktu senja hari pertama tidak boleh disimpan sehingga pagi.+ 5  Jangan mempersembahkan korban Paska di tempat-tempat lain di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu. 6  Sebaliknya, kamu harus mempersembahkan korban itu di tempat yang dipilih oleh Yehuwa untuk memuliakan nama-Nya. Kamu harus mempersembahkan korban itu pada waktu matahari terbenam,+ seperti pada waktu kamu meninggalkan Mesir. 7  Kamu mesti memasak dan memakan korban itu+ di tempat yang dipilih oleh Yehuwa, Tuhan kamu,+ lalu pada keesokan paginya, kamu boleh kembali ke khemah masing-masing. 8  Selama enam hari, kamu harus memakan roti tidak beragi, dan pada hari ketujuh, kamu akan mengadakan perhimpunan suci bagi Yehuwa, Tuhan kamu. Kamu tidak boleh bekerja pada hari itu.+ 9  “Kamu harus mengira tujuh minggu mulai dari hari pertama kamu menuai biji-bijian di ladang kamu.+ 10  Kemudian kamu harus menyambut Perayaan Menuai untuk Yehuwa, Tuhan kamu.+ Kamu harus memberikan sumbangan sukarela, menurut berkat yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu.+ 11  Kamu harus bersukacita di hadapan Yehuwa bersama anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan kamu, hamba lelaki dan hamba perempuan kamu, dan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu, serta orang asing, anak yatim, dan balu, yang tinggal dalam kalangan kamu. Ya, kamu harus bersukacita bersama mereka semua di tempat yang dipilih oleh Yehuwa untuk memuliakan nama-Nya.+ 12  Ingatlah bahawa kamu pernah menjadi hamba di Mesir.+ Maka kamu harus mematuhi dan melaksanakan semua peraturan ini. 13  “Selepas kamu mengumpulkan hasil dari tempat mengirik* tuaian dan dari tempat memeras anggur dan minyak zaitun, kamu harus menyambut Perayaan Pondok Daun+ selama tujuh hari. 14  Semasa perayaan itu, kamu harus bersukacita+ bersama anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan kamu, hamba lelaki dan hamba perempuan kamu, orang Lewi, orang asing, anak yatim, dan balu, yang tinggal di kota-kota kamu. 15  Selama tujuh hari, kamu harus menyambut perayaan itu+ untuk Yehuwa, di tempat yang dipilih oleh Yehuwa. Yehuwa, Tuhan kamu, akan memberkati semua hasil tanaman kamu dan segala usaha kamu,+ maka kamu harus bersukacita.+ 16  “Tiga kali setahun, iaitu pada Perayaan Roti Tidak Beragi,+ Perayaan Menuai,+ dan Perayaan Pondok Daun,+ semua lelaki dalam kalangan kamu harus datang menghadap Yehuwa, Tuhan kamu, di tempat yang dipilih-Nya. Mereka tidak boleh menghadap Yehuwa dengan tangan kosong. 17  Mereka semua harus memberikan persembahan menurut berkat yang diberikan oleh Yehuwa kepada mereka.+ 18  “Kamu harus melantik hakim-hakim+ dan pemimpin-pemimpin bagi setiap suku di semua kota yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, dan mereka harus menghakimi dengan saksama. 19  Jangan memutarbalikkan keadilan+ dan jangan berat sebelah.+ Jangan terima rasuah, kerana rasuah membutakan mata orang yang bijaksana terhadap apa yang benar,+ dan menyebabkan orang yang baik dan adil mengubah keputusannya. 20  Kamu harus berlaku adil dan saksama.+ Ya, kamu mesti sentiasa adil dalam segala perkara agar kamu dapat menakluki tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu dan tetap hidup di sana. 21  “Kamu tidak boleh menanam apa-apa pokok pun untuk disembah*+ berhampiran dengan mazbah yang kamu bina untuk Yehuwa, Tuhan kamu. 22  “Jangan mendirikan tugu suci,*+ kerana Yehuwa, Tuhan kamu, membenci perkara itu.

Nota Kaki

Lihat Kamus.
Atau “roti yang tidak beragi, iaitu roti penderitaan.”
Proses memisahkan buah daripada tangkai.
Atau “untuk dijadikan tiang-tiang suci.” Lihat Kamus, “Tiang suci.”
Lihat Kamus.