Ulangan 18:1-22
18 “Para imam keturunan Lewi dan seluruh suku Lewi tidak akan mendapat sebarang tanah di Israel sebagai warisan. Tetapi mereka akan mendapat sebahagian daripada korban yang dibakar untuk Yehuwa, iaitu korban-korban yang dikhususkan bagi-Nya.+
2 Mereka tidak akan mendapat sebarang tanah warisan dalam kalangan orang Israel. Yehuwalah yang akan menjadi warisan mereka, seperti yang telah difirmankan-Nya kepada mereka.
3 “Daripada apa yang dipersembahkan oleh umat Israel, inilah bahagian yang akan menjadi milik para imam: Jika ada orang mempersembahkan lembu atau bebiri sebagai korban, bahagian bahu dan rahang serta perut binatang itu harus diberikan kepada imam.
4 Hasil pertama daripada biji-bijian, wain, minyak, dan bulu bebiri, juga harus diberikan kepada para imam.+
5 Daripada suku-suku Israel, semua lelaki keturunan Lewi telah dipilih oleh Yehuwa, dan mereka akan sentiasa berkhidmat kepada Yehuwa.+
6 “Jika ada orang Lewi yang meninggalkan tempat kediamannya di salah satu kota di Israel+ dan pergi ke tempat yang dipilih oleh Yehuwa,*+
7 dia boleh berkhidmat kepada Yehuwa bersama-sama orang Lewi lain yang bertugas di hadapan Yehuwa di sana.+
8 Selain hasil penjualan harta pusakanya, dia juga boleh mendapat makanan sebanyak yang diterima oleh orang Lewi lain.+
9 “Apabila kamu memasuki tanah yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, jangan mengikut perbuatan-perbuatan keji yang dilakukan oleh bangsa-bangsa yang tinggal di situ.+
10 Jangan membakar anak lelaki dan anak perempuan kamu dalam api.+ Jangan mengamalkan ilmu ramal+ atau ilmu sihir.+ Jangan mencari petanda+ atau menjadi tukang sihir.+
11 Jangan mengenakan jampi kepada orang lain, dan jangan mencari bomoh+ atau meminta nasihat daripada tukang tilik.+ Jangan meminta petunjuk daripada orang mati.+
12 Yehuwa sangat membenci sesiapa yang melakukan perkara-perkara keji tersebut. Itulah sebabnya Yehuwa, Tuhan kamu, akan mengusir bangsa-bangsa itu dari hadapan kamu.
13 Kamu mesti tidak bercacat cela di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu.+
14 “Bangsa-bangsa yang akan diusir itu selalu mengikut kata-kata tukang sihir+ dan tukang ramal,+ tetapi Yehuwa, Tuhan kamu, melarang kamu melakukan semua itu.
15 Yehuwa, Tuhan kamu, akan melantik seorang nabi seperti aku daripada kalangan kamu. Kamu mesti mendengarkan kata-katanya.+
16 Hal ini demikian kerana semasa kamu* berkumpul di Gunung Horeb,+ kamu telah memohon kepada Yehuwa, Tuhan kamu, dengan berkata, ‘Janganlah Yehuwa yang bercakap kepada kami, dan janganlah biarkan kami melihat api yang besar ini lagi, supaya kami tidak mati.’+
17 Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Apa yang dikatakan oleh mereka itu baik.
18 Aku akan melantik seorang nabi seperti engkau daripada kalangan saudara-saudaramu.+ Aku akan menyampaikan firman-Ku kepadanya,+ dan dia akan menyampaikan segala perintah-Ku kepada mereka.+
19 Sesungguhnya, Aku akan menghukum sesiapa yang tidak mematuhi perintah-Ku, yang Aku sampaikan melalui nabi itu.+
20 “‘Jika seorang nabi berani menyampaikan perkhabaran demi nama-Ku, padahal Aku tidak menyuruhnya berbuat begitu, atau jika dia menyampaikan perkhabaran demi nama tuhan-tuhan lain, maka nabi itu mesti dihukum mati.+
21 Tetapi mungkin kamu tertanya-tanya dalam hati, “Bagaimana kami dapat mengetahui sama ada kata-kata seorang nabi berasal daripada Yehuwa atau tidak?”
22 Jika seorang nabi menyampaikan perkhabaran demi nama Aku, Yehuwa, tetapi apa yang dikatakannya tidak berlaku, maka kata-kata itu tidak berasal daripada Aku, Yehuwa. Nabi itu telah bertindak dengan angkuh dan kamu tidak perlu takut kepadanya.’