Ulangan 19:1-21

  • Hutang darah dan kota perlindungan (1-13)

  • Penanda sempadan tanah tidak boleh dialihkan (14)

  • Saksi di mahkamah (15-21)

    • Dua atau tiga orang saksi diperlukan (15)

19  “Selepas Yehuwa, Tuhan kamu, melenyapkan bangsa-bangsa yang tinggal di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, dan setelah kamu menakluki kota-kota mereka dan tinggal di rumah-rumah yang ada di sana,+ 2  kamu harus memilih tiga buah kota di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu itu.+ 3  Kamu harus membahagikan tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu itu menjadi tiga bahagian. Tiga buah kota yang dipilih itu mesti terletak di tiga bahagian tersebut, dan kamu harus membina jalan ke kota-kota itu supaya orang yang membunuh dapat melarikan diri ke sana. 4  “Jika seseorang membunuh dengan tidak sengaja, inilah peraturan yang harus dipatuhi agar dia selamat: Katakan dia membunuh orang lain dengan tidak sengaja, dan dia tidak membenci orang itu;+ 5  misalnya, dia pergi ke hutan untuk mengumpulkan kayu bersama kawannya, dan semasa dia mengayunkan kapaknya untuk menebang pokok, mata kapaknya terlepas lalu terkena kawannya dan kawannya mati, dia mesti melarikan diri ke salah satu kota itu supaya dia selamat.+ 6  Tetapi jika jarak kota itu terlalu jauh, orang yang berhak menuntut pembalasan,*+ dan yang sedang marah, mungkin akan mengejar dan menangkapnya, lalu membunuhnya. Namun dia tidak patut dihukum mati kerana dia tidak membenci kawannya itu.+ 7  Itulah sebabnya Aku memerintahkan kamu supaya memilih tiga buah kota itu sebagai kota perlindungan. 8  “Selepas Yehuwa, Tuhan kamu, meluaskan kawasan kamu seperti yang telah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu+ dan selepas Dia memberi kamu seluruh tanah yang sudah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu,+ 9  kamu harus memilih tiga buah kota lagi.+ (Dia akan berbuat demikian jika kamu mematuhi segala yang aku sampaikan kepada kamu hari ini, iaitu untuk mengasihi Yehuwa dan sentiasa menurut ajaran-Nya.)+ 10  Dengan demikian, orang yang tidak bersalah tidak akan dibunuh,+ dan tiada sesiapa antara kamu yang akan berhutang darah di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu sebagai warisan.+ 11  “Tetapi jika seseorang membenci orang lain+ dan menunggu peluang untuk menyerang orang itu, dan dia mencederakannya sehingga orang itu mati, lalu dia melarikan diri ke salah satu kota itu, 12  para pemimpin di kotanya harus mencarinya lalu menyerahkannya kepada orang yang berhak menuntut pembalasan,* dan dia harus dihukum mati.+ 13  Jangan berasa kasihan terhadapnya. Kamu harus menyingkirkan orang yang menumpahkan darah orang yang tidak bersalah dari Israel,+ supaya kamu hidup sejahtera. 14  “Selepas kamu menerima tanah warisan yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, jangan mengalihkan penanda sempadan tanah+ yang telah ditentukan. 15  “Kesaksian satu orang sahaja tidak cukup untuk membuktikan kesalahan atau dosa seseorang.+ Kesalahan atau dosa seseorang hanya dapat disahkan dengan adanya keterangan dua atau tiga orang saksi.+ 16  Jika seorang saksi menuduh orang lain berbuat salah dan memberikan kesaksian terhadapnya dengan niat yang jahat,+ 17  kedua-dua orang itu mesti pergi ke hadapan Yehuwa, iaitu di hadapan para imam dan hakim yang bertugas pada waktu itu.+ 18  Para hakim mesti menyiasat perkara itu dengan teliti.+ Jika orang itu didapati memberikan kesaksian palsu dan membuat tuduhan palsu, 19  dia harus dijatuhi hukuman sebagaimana yang telah dirancangnya terhadap orang yang didakwanya itu.+ Dengan demikian, kamu akan menyingkirkan apa yang jahat dalam kalangan kamu.+ 20  Kemudian semua orang akan mendengar hal itu dan mereka akan menjadi takut. Dengan itu, tiada seorang pun antara mereka yang akan melakukan perkara jahat seperti itu lagi dalam kalangan kamu.+ 21  Jangan berasa kasihan terhadap orang itu.+ Sebaliknya, hendaklah nyawa ganti nyawa, mata ganti mata, gigi ganti gigi, tangan ganti tangan, dan kaki ganti kaki.+

Nota Kaki

Harfiah, “orang yang menuntut hutang darah.”
Harfiah, “orang yang menuntut hutang darah.”