Ulangan 2:1-37

  • Mengembara di padang belantara selama 38 tahun (1-23)

  • Berjaya mengalahkan Sihon, raja Hesybon (24-37)

2  “Kemudian, seperti yang difirmankan oleh Yehuwa kepadaku, kita berpatah balik dan pergi ke padang belantara melalui Jalan Laut Merah.+ Kita mengembara di kawasan Gunung Seir untuk waktu yang lama.  Selepas itu Yehuwa berfirman kepadaku,  ‘Sudah cukup lama kamu mengembara di kawasan gunung ini. Sekarang pergilah ke arah utara.  Beritahulah umat Israel, “Kamu akan sampai ke sempadan tanah sanak saudara kamu, iaitu keturunan Esau+ yang tinggal di Seir.+ Mereka akan berasa takut terhadap kamu,+ tetapi kamu mesti berhati-hati.  Jangan bermusuhan dengan mereka, kerana Aku tidak akan memberi kamu mana-mana bahagian daripada tanah mereka. Aku tidak akan memberikan setapak tanah pun daripada tanah mereka kepada kamu, kerana Aku sudah memberikan Gunung Seir kepada Esau sebagai warisannya.+  Jika kamu makan atau minum apa-apa dari kawasan mereka, kamu mesti membayarnya.+  Ingatlah bahawa Yehuwa, Tuhan kamu, sudah memberkati kamu dalam segala sesuatu yang kamu lakukan. Dia telah memelihara kamu semasa kamu mengembara di padang belantara yang luas itu selama 40 tahun. Yehuwa telah menyertai kamu sehingga kamu tidak kekurangan apa-apa pun.”’+  Maka kita beredar dari sempadan tanah sanak saudara kita, iaitu keturunan Esau+ yang tinggal di Seir, supaya kita tidak melalui kawasan Araba, Elat, dan Ezion-geber.+ “Kemudian kita membelok lalu mengambil jalan yang menuju ke padang belantara Moab.+  Yehuwa berfirman lagi kepadaku, ‘Jangan bermusuhan atau berperang dengan orang Moab, yang merupakan keturunan Lot.+ Aku tidak akan memberi kamu mana-mana bahagian daripada tanah mereka, kerana Aku sudah memberikan Ar kepada mereka sebagai warisan mereka. 10  (Dahulu orang Emim+ tinggal di situ. Mereka ialah sebuah bangsa yang besar dan kuat, dan mereka berbadan tinggi seperti orang Enak. 11  Orang Refaim+ juga berbadan tinggi seperti orang Enak,+ dan orang Moab menamakan mereka orang Emim. 12  Sebelumnya orang Hori+ tinggal di Seir, tetapi sekarang keturunan Esau yang tinggal di sana, kerana orang Hori telah dibinasakan oleh keturunan Esau.+ Demikianlah yang akan dilakukan oleh orang Israel kepada tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada mereka.) 13  Sekarang pergilah ke seberang Lembah* Zered.’ Oleh itu kita pun menyeberangi Lembah Zered.+ 14  Kita telah menyeberangi Lembah Zered selepas meninggalkan Kades-barnea selama 38 tahun. Pada waktu itu, sepertimana yang difirmankan oleh Yehuwa, generasi yang layak menjadi askar semuanya sudah lenyap daripada kalangan orang Israel.+ 15  Yehuwa telah menentang mereka dengan tangan-Nya yang berkuasa sehingga mereka semua binasa.+ 16  “Sejurus selepas generasi yang layak menjadi askar lenyap daripada kalangan orang Israel,+ 17  Yehuwa berfirman lagi kepadaku, 18  ‘Pada hari ini kamu semua akan melalui kawasan orang Moab, iaitu Ar. 19  Kamu akan tiba dekat kawasan orang Ammon, yang merupakan keturunan Lot, tetapi jangan ganggu atau bergaduh dengan mereka. Aku tidak akan memberi kamu mana-mana bahagian daripada tanah mereka, kerana Aku sudah memberikan tanah itu kepada mereka sebagai warisan mereka.+ 20  (Tanah itu juga dianggap sebagai tanah orang Refaim. Dahulu orang Refaim+ tinggal di situ, dan orang Ammon menamakan mereka orang Zamzumim. 21  Mereka ialah sebuah bangsa yang besar dan kuat, dan mereka berbadan tinggi seperti orang Enak.+ Tetapi Yehuwa menghapuskan mereka di hadapan orang Ammon, supaya orang Ammon dapat menduduki tanah itu. 22  Demikian juga yang dilakukan oleh Tuhan bagi keturunan Esau, yang sekarang tinggal di Seir.+ Dia menghapuskan orang Hori+ di hadapan keturunan Esau, supaya mereka dapat menduduki tanah Seir sampai hari ini. 23  Tanah Gaza+ diduduki oleh orang Awim. Tetapi orang Kaftorim+ yang datang dari Kaftor* telah menghapuskan mereka lalu menduduki tanah itu.) 24  “‘Sekarang pergilah ke seberang Lembah Arnon.+ Aku akan menyerahkan Sihon,+ raja Hesybon, orang Amori itu, ke dalam tangan kamu. Pergilah berperang dengannya dan rampaslah tanahnya. 25  Mulai hari ini Aku akan menyebabkan semua penduduk bumi dicengkam rasa takut apabila mendengar tentang kamu. Mereka akan menggeletar ketakutan dan dicengkam perasaan cemas kerana kamu.’+ 26  “Kemudian aku menghantar beberapa orang utusan dari padang belantara Kedemot+ untuk menghadap Sihon, raja Hesybon, dengan pesanan* berikut:+ 27  ‘Benarkanlah hamba semua melalui negeri tuanku. Hamba semua hanya akan berjalan melalui jalan besar, dan tidak akan menyimpang ke kiri atau ke kanan.+ 28  Jika hamba semua makan atau minum apa-apa dari kawasan tuanku, hamba semua akan membayarnya. Hamba semua hanya mahu melalui negeri tuanku, 29  sehingga hamba semua menyeberangi Sungai Yordan untuk memasuki tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa, Tuhan hamba semua, kepada hamba semua. Keturunan Esau yang tinggal di Seir dan orang Moab yang tinggal di Ar sudah membenarkan hamba semua melalui tanah mereka.’ 30  Tetapi Sihon, raja Hesybon, tidak membenarkan kita melalui tanahnya. Yehuwa telah membiarkan dia berkeras hati+ supaya dapat menyerahkannya ke dalam tangan kita, seperti yang sudah berlaku sampai sekarang.+ 31  “Kemudian Yehuwa berfirman lagi kepadaku, ‘Aku akan menyerahkan Sihon dan tanahnya kepada kamu. Maka pergilah dan taklukilah tanahnya.’+ 32  Apabila Sihon keluar bersama semua tenteranya untuk menyerang kita di Yahas,+ 33  Yehuwa, Tuhan kita, telah menyerahkannya kepada kita, sehingga kita dapat mengalahkannya, putera-puteranya, dan semua rakyatnya. 34  Pada masa itu, kita menawan dan memusnahkan semua kotanya, serta membunuh semua lelaki, perempuan, dan kanak-kanak di situ. Kita tidak membiarkan seorang pun hidup.+ 35  Kita hanya mengambil ternakan dan barang-barang berharga dari kota-kota itu. 36  Kita telah menawan semua kota, dari Aroer,+ yang terletak di bahagian tepi Lembah Arnon (termasuk kota yang terletak di lembah itu), sampai ke kota Gilead. Kita menawan semuanya, kerana Yehuwa, Tuhan kita, telah menyerahkan semua kota itu kepada kita.+ 37  Namun kita tidak mendekati tanah orang Ammon,+ kawasan Lembah Yabok,+ kota-kota di kawasan pergunungan, dan semua tempat lain yang dilarang oleh Yehuwa, Tuhan kita.

Nota Kaki

Atau “Wadi.”
Iaitu, Pulau Kreta.
Atau “dengan tawaran perdamaian.”