Ulangan 22:1-30

  • Menghormati milik orang lain: Binatang (1-4)

  • Dilarang memakai pakaian lawan jantina (5)

  • Kebaikan hati terhadap binatang (6, 7)

  • Pagar di sekeliling bumbung (8)

  • Padanan yang dilarang (9-11)

  • Rumbai-rumbai pada hujung pakaian (12)

  • Hukum tentang perbuatan seks yang dilarang (13-30)

22  “Jika kamu nampak lembu atau bebiri saudaramu berkeliaran, jangan berpura-pura tidak tahu.+ Sebaliknya, kamu harus kembalikan binatang itu kepada saudaramu. 2  Tetapi jika saudaramu tinggal jauh, atau jika kamu tidak tahu siapa pemilik binatang itu, kamu harus membawa binatang itu ke rumah kamu. Apabila saudaramu datang mencari binatang itu, kamu harus menyerahkan binatang itu kepadanya.+ 3  Demikian juga yang harus dilakukan jika kamu menjumpai keldai, pakaian, atau apa-apa sahaja milik saudaramu. Janganlah pergi begitu sahaja. 4  “Jika kamu nampak keldai atau lembu saudaramu terjatuh di jalan, jangan pergi begitu sahaja. Kamu mesti membantu saudaramu membangunkan binatang itu semula.+ 5  “Orang perempuan tidak boleh memakai pakaian orang lelaki, dan orang lelaki tidak boleh memakai pakaian orang perempuan. Hal ini demikian kerana Yehuwa, Tuhan kamu, membenci orang yang melakukan hal sebegitu. 6  “Jika kamu sedang berjalan lalu kamu nampak sarang burung di atas pokok atau di atas tanah, dan induk burung sedang mengerami telurnya atau sedang bersama anak-anaknya, jangan mengambil induk burung itu bersama anak-anaknya.+ 7  Kamu harus melepaskan induk burung itu. Tetapi kamu boleh mengambil anak-anak burung itu. Dengan demikian, kamu akan panjang umur dan hidup sejahtera. 8  “Jika kamu membina rumah baharu, kamu harus memasang pagar di sekeliling bumbung rumah itu.*+ Dengan demikian, kamu dan keluarga kamu tidak akan berhutang darah jika seseorang terjatuh dari situ. 9  “Kamu tidak boleh menabur benih lain di ladang anggur kamu.+ Jika kamu menabur benih lain, segala hasil ladang itu harus dikhaskan untuk khemah suci. 10  “Kamu tidak boleh pasangkan seekor lembu dengan seekor keldai pada satu bajak.+ 11  “Kamu tidak boleh memakai pakaian yang dibuat daripada bulu dan linen dalam satu tenunan.+ 12  “Kamu harus menjahit rumbai-rumbai pada hujung pakaian kamu.+ 13  “Jika seorang lelaki berkahwin dengan seorang gadis dan bersetubuh dengannya, tetapi kemudian lelaki itu tidak mengasihinya lagi 14  dan menuduhnya melakukan perbuatan yang tidak senonoh serta memburukkan namanya dengan berkata, ‘Saya sudah mengahwini wanita ini dan semasa saya bersetubuh dengannya, saya mendapati bahawa dia bukan seorang dara,’ 15  maka ibu bapa wanita itu harus berjumpa dengan para pemimpin di pintu gerbang kota, lalu menunjukkan bukti keperawanan anak mereka. 16  Bapa wanita itu harus berkata kepada para pemimpin, ‘Saya telah mengahwinkan anak saya kepada lelaki ini, tetapi dia tidak mengasihinya lagi, 17  dan menuduhnya melakukan perbuatan yang tidak senonoh dengan berkata, “Saya mendapati bahawa anak kamu bukan seorang dara.” Tetapi inilah bukti bahawa anak saya seorang dara pada waktu itu.’ Kemudian, ibu bapa wanita itu harus membentangkan kain yang mempunyai bukti keperawanan anak mereka itu di hadapan para pemimpin kota. 18  Maka para pemimpin kota+ itu harus menghukum lelaki itu.+ 19  Mereka juga akan mendenda lelaki itu sebanyak 100 syekel* perak. Kemudian, wang itu harus diberikan kepada bapa wanita tersebut kerana lelaki itu telah memburukkan nama seorang anak dara Israel.+ Wanita itu akan tetap menjadi isterinya dan tidak boleh diceraikan seumur hidupnya. 20  “Sebaliknya, jika tuduhan lelaki itu benar, dan tidak ada bukti bahawa wanita itu ialah seorang dara, 21  maka para pemimpin kota harus membawa wanita itu ke depan pintu rumah bapanya. Kemudian semua penduduk kota itu harus merejamnya sampai mati, kerana dia telah melakukan perbuatan yang memalukan di Israel,+ iaitu perbuatan seks yang tidak bermoral semasa dia masih tinggal di rumah bapanya.+ Dengan demikian, kamu akan menyingkirkan kejahatan daripada kalangan kamu.+ 22  “Jika seorang lelaki didapati berzina dengan isteri orang lain, kedua-dua orang yang berzina itu mesti dihukum mati.+ Dengan demikian, kamu akan menyingkirkan kejahatan daripada kalangan umat Israel. 23  “Jika seorang anak dara sudah bertunang, dan seorang lelaki menemuinya di kota lalu bersetubuh dengannya, 24  kamu harus membawa mereka berdua ke luar kota dan merejam mereka sampai mati. Gadis itu mesti dihukum mati kerana dia tidak berteriak meminta tolong walaupun dia berada di dalam kota. Lelaki itu juga mesti dihukum mati kerana dia telah mencabuli kehormatan isteri orang lain.+ Dengan demikian, kamu akan menyingkirkan kejahatan daripada kalangan kamu. 25  “Tetapi jika seorang anak dara sudah bertunang, dan seorang lelaki menemuinya di luar kota lalu merogolnya, maka hanya lelaki itu yang harus dihukum mati. 26  Hal itu sama seperti apabila seseorang menyerang orang lain dan membunuhnya. Gadis itu pula tidak harus dihukum kerana dia tidak melakukan dosa yang menyebabkan dia patut dihukum mati.+ 27  Gadis itu dirogol di luar kota, dan walaupun dia telah berteriak meminta tolong, tiada sesiapa pun yang dapat menyelamatkannya. 28  “Jika seorang lelaki menemui seorang anak dara yang belum bertunang, lalu merogolnya dan hal itu diketahui,+ 29  maka lelaki itu harus memberikan 50 syekel perak kepada bapa gadis itu, dan gadis itu akan menjadi isterinya.+ Hal ini demikian kerana dia telah mencabuli kehormatan gadis itu, dan dia tidak boleh menceraikan gadis itu seumur hidupnya. 30  “Tiada seorang pun yang boleh mengambil isteri bapanya untuk dijadikan isterinya sendiri, kerana perbuatan itu menghina bapanya.+

Nota Kaki

Pada masa itu, kebanyakan rumah mempunyai bumbung yang rata. Orang boleh berjalan, tidur, atau menyambut tetamu, di situ.