Ulangan 24:1-22

  • Perkahwinan dan perceraian (1-5)

  • Menghormati nyawa (6-9)

  • Berbelas kasihan terhadap orang miskin (10-18)

  • Peraturan tentang memungut sisa hasil tuaian (19-22)

24  “Jika seorang lelaki mengahwini seorang wanita tetapi kemudian membenci isterinya itu kerana mendapati bahawa isterinya telah melakukan sesuatu yang tidak senonoh, dia harus memberikan surat cerai kepada isterinya+ lalu menyuruh isterinya pergi dari rumah.+ 2  Setelah itu, wanita itu boleh berkahwin lagi dengan lelaki lain.+ 3  Tetapi jika lelaki yang kedua itu juga membencinya dan memberikan surat cerai kepadanya lalu menyuruhnya pergi dari rumah, atau jika lelaki yang kedua itu meninggal, 4  lelaki yang pertama itu tidak boleh berkahwin dengannya lagi kerana wanita itu telah mencemari dirinya. Jika lelaki itu berbuat demikian, hal itu merupakan sesuatu yang dibenci oleh Yehuwa. Kamu tidak boleh melakukan dosa di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu sebagai warisan. 5  “Jika seorang lelaki baru sahaja berkahwin, dia tidak boleh berkhidmat sebagai askar atau melakukan tugas-tugas lain. Dia harus diberi pengecualian selama satu tahun, supaya dia dapat tinggal di rumah bersama isterinya dan supaya isterinya bersukacita.+ 6  “Jangan mengambil batu giling atau batu kisaran seseorang sebagai jaminan hutang+ kerana jika kamu berbuat begitu, kamu merampas mata pencarian orang itu.* 7  “Jika seseorang didapati menculik orang sebangsanya dan menindas serta menjual orang itu,+ penculik itu harus dihukum mati.+ Dengan demikian, kamu akan menyingkirkan apa yang jahat dalam kalangan kamu.+ 8  “Jika wabak kusta* berlaku dalam kalangan kamu, kamu harus mentaati segala yang diarahkan oleh imam Lewi kepada kamu.+ Kamu harus mematuhi dengan teliti perintah yang aku sampaikan kepada mereka. 9  Ingatlah apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa, Tuhan kamu, terhadap Miryam dalam perjalanan kamu keluar dari Mesir.+ 10  “Jika kamu memberikan pinjaman kepada orang lain,+ jangan masuk ke dalam rumahnya untuk mengambil apa yang ingin diberikannya kepada kamu sebagai jaminan. 11  Kamu harus tunggu di luar dan membiarkan orang itu membawa keluar apa yang ingin diberikannya kepada kamu sebagai jaminan. 12  Jika orang itu berada dalam kesusahan, jangan simpan jubah yang diberikannya kepada kamu sebagai jaminan sehingga keesokan hari.+ 13  Kamu harus kembalikan jubah itu kepadanya sebaik sahaja matahari terbenam supaya dia dapat memakainya untuk tidur.+ Dengan itu, dia akan meminta Tuhan untuk memberkati kamu, dan Yehuwa akan berkenan kepada kamu. 14  “Jangan menipu pekerja upahan yang miskin dan yang berada dalam kesusahan, sama ada dia merupakan orang sebangsa kamu atau orang asing yang tinggal di salah sebuah kota di negeri kamu.+ 15  Kamu harus membayar upahnya setiap hari+ sebelum matahari terbenam kerana dia miskin dan dia memerlukan upah itu untuk menyara hidupnya. Jika kamu tidak membayar upahnya, dia akan mengadu kepada Yehuwa tentang kamu dan kamu akan dinyatakan berdosa.+ 16  “Bapa tidak patut dihukum mati kerana dosa anak, dan anak tidak patut dihukum mati kerana dosa bapa.+ Setiap orang harus dihukum mati kerana dosanya sendiri.+ 17  “Jangan mengabaikan hak orang asing dan anak yatim,+ dan jangan mengambil jubah seorang balu sebagai jaminan hutangnya.+ 18  Ingatlah bahawa kamu pernah menjadi hamba di Mesir, dan Yehuwa, Tuhan kamu, telah menyelamatkan kamu dari sana.+ Itulah sebabnya aku memberikan perintah ini kepada kamu. 19  “Setelah kamu selesai menuai hasil di ladang kamu dan kamu terlupa membawa seberkas gandum atau bijirin lain, jangan kembali untuk mengambilnya. Biarkanlah semua itu untuk orang asing, anak yatim, dan balu.+ Dengan demikian, Yehuwa, Tuhan kamu, akan memberkati segala usaha kamu.+ 20  “Setelah kamu selesai memukul dahan-dahan pokok zaitun untuk mendapatkan buahnya, jangan kembali untuk melakukan perkara yang sama. Biarkanlah buah-buah yang tertinggal itu untuk orang asing, anak yatim, dan balu.+ 21  “Setelah kamu selesai mengumpulkan anggur dari ladang kamu, jangan kembali untuk mengumpulkan buah yang tertinggal. Biarkanlah buah-buah yang tertinggal itu untuk orang asing, anak yatim, dan balu. 22  Ingatlah bahawa kamu pernah menjadi hamba di Mesir. Itulah sebabnya aku memberikan perintah ini kepada kamu.

Nota Kaki

Atau “kamu seolah-olah meragut nyawa orang itu.”
Perkataan Ibrani untuk “kusta” mempunyai maksud yang luas. Perkataan ini boleh merangkumi pelbagai jenis penyakit kulit yang dapat berjangkit, sama ada pada manusia, pakaian, atau dinding rumah.