Ulangan 25:1-19

  • Peraturan tentang hukuman sebat (1-3)

  • Jangan menutup mulut lembu yang sedang mengirik (4)

  • Seorang balu harus berkahwin dengan saudara mendiang suaminya (5-10)

  • Dilarang mencengkam kemaluan orang (11, 12)

  • Alat penimbang dan alat penyukat yang tepat (13-16)

  • Orang Amalek harus dilenyapkan (17-19)

25  “Jika terdapat pertikaian antara dua orang, mereka harus pergi berjumpa dengan para hakim.+ Kemudian para hakim akan mengadili perkara mereka, lalu orang yang jahat akan dinyatakan bersalah tetapi orang yang baik akan dinyatakan tidak bersalah.+ 2  Jika orang yang jahat itu patut dihukum sebat,+ hakim akan menyuruh orang itu meniarap lalu orang itu harus disebat di hadapan hakim. Jumlah sebatan harus setimpal dengan kejahatan yang dilakukannya. 3  Dia boleh disebat sehingga 40 kali,+ tetapi tidak lebih daripada itu. Dia tidak patut disebat lebih daripada itu agar dia tidak dimalukan di hadapan umum. 4  “Jangan menutup mulut lembu dengan berangus semasa lembu itu sedang mengirik biji-bijian.+ 5  “Jika beberapa orang saudara tinggal berdekatan satu sama lain, dan salah seorang daripada mereka meninggal tanpa mempunyai anak lelaki, balunya tidak boleh berkahwin dengan orang lain yang bukan daripada keluarga mendiang suaminya. Saudara orang yang sudah meninggal itu harus melaksanakan kewajipannya dan mengahwini balu itu.+ 6  Kemudian anak sulung yang dilahirkan balu tersebut harus dianggap sebagai anak orang yang sudah meninggal itu,+ supaya nama orang itu tidak akan lenyap daripada kalangan umat Israel.+ 7  “Tetapi jika saudara orang yang sudah meninggal itu tidak mahu berkahwin dengan balu itu, balu itu harus pergi kepada para pemimpin di pintu gerbang kota dan berkata, ‘Saudara mendiang suami saya tidak mahu melakukan kewajipannya untuk berkahwin dengan saya. Oleh itu, nama mendiang suami saya akan lenyap daripada kalangan umat Israel.’ 8  Para pemimpin kota harus memanggil orang itu dan bercakap dengannya. Tetapi jika dia berkeras dan berkata, ‘Saya tidak mahu mengahwini balu itu,’ 9  maka balu itu harus menghampiri orang itu di hadapan para pemimpin. Kemudian balu itu harus menanggalkan salah satu kasut orang itu,+ meludahi mukanya, dan berkata, ‘Inilah yang harus dilakukan terhadap orang yang tidak mahu memberikan keturunan kepada saudaranya.’ 10  Selepas itu, di seluruh Israel, keluarga orang itu akan dikenali sebagai ‘Keluarga orang yang kasutnya ditanggalkan.’ 11  “Jika dua orang lelaki bergaduh, dan isteri salah seorang lelaki itu mencuba melindungi suaminya dengan menghulurkan tangannya lalu mencengkam kemaluan lelaki yang bergaduh dengan suaminya itu, 12  kamu harus memotong tangan wanita itu. Jangan berasa kasihan terhadapnya. 13  “Jangan simpan dua jenis batu timbangan*+ di dalam kantung kamu, iaitu satu yang besar dan satu yang kecil. 14  Jangan simpan dua jenis bekas penyukat*+ di dalam rumah kamu, iaitu satu yang besar dan satu yang kecil. 15  Kamu harus menggunakan alat penimbang dan alat penyukat yang tepat. Dengan demikian, kamu akan hidup lama di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu.+ 16  Yehuwa, Tuhan kamu, sangat membenci orang yang melakukan perkara tidak jujur sebegini.+ 17  “Ingatlah akan apa yang telah dilakukan oleh orang Amalek terhadap kamu semasa kamu dalam perjalanan keluar dari Mesir.+ 18  Mereka tidak takut akan Tuhan. Ketika kamu penat dan lesu dalam perjalanan itu, mereka telah menyerang orang yang ketinggalan di barisan belakang kamu. 19  Maka selepas Yehuwa, Tuhan kamu, memberi kamu tanah itu, dan selepas Yehuwa memberi kamu keamanan daripada musuh di sekeliling kamu,+ kamu harus melenyapkan orang Amalek dari muka bumi ini.+ Dengan demikian, mereka tidak akan dikenang sama sekali. Jangan lupa untuk melakukan hal ini.

Nota Kaki