Ulangan 30:1-20
30 “Apabila Yehuwa, Tuhan kamu, mencerai-beraikan kamu dalam kalangan bangsa-bangsa lain,+ dan semua berkat dan kutukan yang aku sebutkan+ menjadi kenyataan terhadap kamu, lalu kamu teringat akan semua itu,+
2 dan kamu serta keturunan kamu kembali kepada Yehuwa+ dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwa, dan mematuhi semua perintah-Nya yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini,+
3 Yehuwa akan berbelas kasihan terhadap kamu.+ Yehuwa, Tuhan kamu, akan membawa kamu pulang daripada pembuangan+ dan Dia akan mengumpulkan kamu semula dari negeri-negeri tempat Dia mencerai-beraikan kamu.+
4 Walaupun kamu tercerai-berai sampai ke hujung bumi, Yehuwa, Tuhan kamu, akan mengumpulkan kamu dan membawa kamu pulang.+
5 Yehuwa akan membawa kamu ke negeri yang dimiliki oleh nenek moyang kamu dahulu dan kamu akan mendudukinya semula. Dia akan menjadikan kamu makmur dan menjadikan bilangan kamu lebih banyak daripada bilangan nenek moyang kamu.+
6 Yehuwa, Tuhan kamu, akan memurnikan hati kamu dan hati keturunan kamu.+ Dengan itu, kamu akan mengasihi Yehuwa dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwa, dan kamu dapat tetap hidup.+
7 Yehuwa akan mendatangkan semua kutukan itu kepada musuh-musuh kamu yang telah membenci dan menganiaya kamu.+
8 “Kamu akan kembali kepada Yehuwa dan mendengar serta mematuhi segala perintah-Nya yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini.
9 Yehuwa, Tuhan kamu, akan menjadikan kamu sangat makmur dan memberkati segala usaha kamu.+ Dia akan melipatgandakan keturunan kamu, ternakan kamu, dan hasil tanaman kamu. Yehuwa akan berasa senang hati untuk menjadikan kamu makmur, sepertimana dia berasa senang hati untuk menjadikan nenek moyang kamu makmur.+
10 Kamu mesti mendengar dan mematuhi segala perintah dan peraturan Yehuwa yang tertulis dalam kitab Hukum* ini. Ya, kamu mesti kembali kepada Yehuwa, Tuhan kamu, dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwa.+
11 “Perintah yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini tidak terlalu susah untuk difahami dan tidak mustahil untuk dipatuhi.*+
12 Perintah itu bukannya di langit sehingga kamu perlu bertanya, ‘Siapakah yang akan naik ke sana dan membawanya turun supaya kami dapat mendengar dan mematuhinya?’+
13 Perintah itu juga bukannya di seberang laut sehingga kamu perlu bertanya, ‘Siapakah yang akan menyeberangi laut dan membawanya kepada kami supaya kami dapat mendengar dan mematuhinya?’
14 Sebenarnya perintah itu sangat dekat dengan kamu, seolah-olah di dalam mulut kamu dan dalam hati kamu,+ maka kamu dapat mematuhinya.+
15 “Pada hari ini, aku memberi kamu dua pilihan, iaitu pilihan antara berkat dan kehidupan atau kutukan dan kematian.+
16 Jika kamu mematuhi perintah Yehuwa yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini, iaitu dengan mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu,+ dan hidup menurut kehendak-Nya serta mematuhi peraturan dan ketetapan-Nya, maka kamu akan tetap hidup+ dan bilangan kamu akan menjadi banyak. Yehuwa, Tuhan kamu, akan memberkati kamu di tanah yang akan kamu duduki.+
17 “Namun jika kamu tidak taat kepada Tuhan dan jika hati kamu tergoda+ untuk berpaling daripada-Nya, lalu kamu pergi menyembah dan bersujud kepada tuhan-tuhan lain,+
18 kamu pasti akan binasa.+ Ya, aku memberikan amaran ini kepada kamu pada hari ini. Kamu tidak akan hidup lama di negeri yang akan kamu duduki di seberang Sungai Yordan.
19 Sekarang aku menjadikan langit dan bumi sebagai saksi bahawa aku memberi kamu dua pilihan, iaitu pilihan antara kehidupan dengan kematian, dan antara berkat dengan kutukan.+ Kamu harus memilih kehidupan supaya kamu dan keturunan kamu+ dapat tetap hidup.+
20 Kamu harus mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu,+ dan mematuhi firman-Nya serta berpaut pada-Nya,+ kerana Yehuwalah sumber kehidupan kamu dan Dia dapat memberi kamu umur yang panjang di tanah yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub.”+