Ulangan 4:1-49

  • Orang Israel dinasihati untuk mematuhi Tuhan (1-14)

    • Jangan lupa akan perbuatan Tuhan (9)

  • Harus menyembah Yehuwa sahaja (15-31)

  • Tiada Tuhan lain kecuali Yehuwa (32-40)

  • Kota perlindungan di sebelah timur Sungai Yordan (41-43)

  • Pengenalan kepada Hukum (44-49)

4  “Hai umat Israel, dengarkanlah hukum dan ketetapan yang aku ajarkan kepada kamu, supaya kamu terus hidup+ dan dapat menduduki tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu, kepada kamu. 2  Jangan tambahkan sesuatu kepada apa yang aku perintahkan dan jangan mengambil keluar sesuatu daripadanya.+ Patuhilah perintah-perintah Yehuwa, Tuhan kamu, yang aku sampaikan kepada kamu. 3  “Kamu sendiri telah melihat apa yang dilakukan oleh Yehuwa terhadap mereka yang menyembah Baal di Peor. Setiap orang yang menyembah Baal di Peor+ telah dibinasakan oleh Yehuwa, Tuhan kamu. 4  Tetapi kamu yang setia kepada Yehuwa, Tuhan kamu, tetap hidup sampai hari ini. 5  Aku sudah mengajar kamu hukum dan ketetapan itu,+ seperti yang telah diperintahkan oleh Yehuwa, Tuhanku. Patuhilah semua hukum dan peraturan itu di tanah yang akan kamu duduki. 6  Kamu mesti mematuhi semuanya dengan bersungguh-sungguh.+ Dengan demikian, kebijaksanaan+ dan pengertian+ kamu akan menjadi nyata di hadapan bangsa-bangsa lain. Apabila mereka mendengar tentang semua hukum itu, mereka akan berkata, ‘Bangsa yang besar itu sesungguhnya bijaksana dan berpengertian.’+ 7  Sememangnya, bangsa besar manakah yang mempunyai tuhan yang begitu dekat apabila diperlukan sebagaimana Yehuwa, Tuhan kita, dekat dengan kita? Dia mendengarkan kita setiap kali kita berseru kepada-Nya.+ 8  Bangsa besar manakah yang mempunyai hukum dan ketetapan yang begitu adil seperti Hukum* yang aku sampaikan kepada kamu hari ini?+ 9  “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah supaya kamu tidak lupa akan perkara yang sudah kamu lihat dengan mata kamu sendiri. Simpanlah semua perkara itu dalam hati kamu seumur hidup kamu, dan beritahulah anak cucu kamu tentangnya.+ 10  Pada hari kamu berdiri di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu, di Gunung Horeb, Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Kumpulkanlah umat ini. Aku mahu mereka mendengar firman-Ku+ supaya mereka belajar untuk takut dan hormat kepada-Ku+ seumur hidup mereka, dan supaya mereka mengajar anak-anak mereka untuk berbuat demikian.’+ 11  “Maka kamu semua datang dan berdiri di kaki gunung. Pada masa itu, gunung bernyala dan nyala api itu sampai ke langit. Gunung itu diliputi kegelapan dan awan tebal.+ 12  Kemudian Yehuwa berfirman kepada kamu dari dalam api itu.+ Ketika Dia berfirman, kamu mendengar suara-Nya+ tetapi tidak melihat-Nya dalam bentuk apa pun.+ 13  Dia telah memberitahu kamu tentang perjanjian-Nya,+ iaitu Sepuluh Hukum,+ dan mengarahkan kamu untuk mematuhi hukum itu. Selepas itu, Dia menuliskan hukum-hukum itu pada dua keping batu tulis.+ 14  Pada masa itu, Yehuwa menyuruh aku untuk mengajar kamu tentang hukum dan ketetapan-Nya. Patuhilah semua itu di tanah yang akan kamu duduki. 15  “Pada hari Yehuwa berfirman kepada kamu dari dalam api di Gunung Horeb, kamu tidak melihat-Nya dalam apa-apa bentuk pun. Oleh itu, berwaspadalah 16  supaya kamu tidak berdosa. Jangan membuat patung atau lambang dalam apa-apa bentuk pun, sama ada dalam bentuk lelaki atau perempuan,+ 17  atau binatang di darat, atau burung di langit,+ 18  atau binatang yang menjalar, atau ikan di dalam air.+ 19  Semasa kamu melihat ke langit dan nampak matahari, bulan, bintang, dan segala sesuatu di langit, jangan tergoda untuk bersujud dan menyembah benda-benda itu.+ Yehuwa, Tuhan kamu, telah memberikan benda-benda itu kepada bangsa-bangsa lain di bawah langit. 20  Tetapi Yehuwa telah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat yang bagaikan relau yang bernyala, supaya kamu menjadi umat pilihan-Nya,*+ sebagaimana keadaan kamu hari ini. 21  “Yehuwa menjadi murka terhadapku kerana kamu semua,+ dan Dia bersumpah bahawa aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan untuk memasuki tanah yang baik itu, yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu sebagai warisan kamu.+ 22  Aku akan mati di tempat ini; aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan.+ Tetapi kamu semua akan menyeberanginya dan menduduki tanah yang baik itu. 23  Ingatlah baik-baik perjanjian yang telah dibuat oleh Yehuwa dengan kamu.+ Jangan membuat patung dalam apa-apa bentuk pun, seperti yang telah dilarang oleh Yehuwa, Tuhan kamu.+ 24  Hal ini demikian kerana Yehuwa, Tuhan kamu, adalah seperti api yang memusnahkan,+ dan Dia menghendaki orang untuk menyembah Dia sahaja.+ 25  “Apabila kamu sudah tinggal lama di tanah itu dan sudah beranak cucu, jangan membuat patung+ apa pun atau melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa untuk membangkitkan kemurkaan-Nya.+ Jika kamu melakukan dosa sebegitu, 26  kamu pasti akan dilenyapkan dengan segera. Pada hari ini, aku menyuruh langit dan bumi menjadi saksi terhadap kamu bahawa jika kamu berbuat demikian, kamu pasti akan dibinasakan, dan tidak akan tinggal lama di tanah yang akan kamu duduki di seberang Sungai Yordan itu.+ 27  Yehuwa akan mencerai-beraikan kamu antara bangsa-bangsa lain.+ Selepas Yehuwa mengusir kamu, hanya segelintir daripada kamu yang akan selamat.+ 28  Di sana, kamu akan menyembah tuhan-tuhan yang dibuat dengan tangan manusia,+ tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu, yang tidak dapat melihat, mendengar, makan, atau menghidu. 29  “Tetapi jika kamu mencari Yehuwa, Tuhan kamu, dengan sepenuh hati dan segenap jiwa,+ kamu pasti akan menemui-Nya.+ 30  Apabila semua itu terjadi dan kamu sangat menderita, kamu akan kembali kepada Yehuwa, Tuhan kamu, dan mentaati-Nya.+ 31  Yehuwa, Tuhan kamu, ialah Tuhan yang berbelas kasihan.+ Dia tidak akan meninggalkan kamu atau membiarkan kamu dihapuskan. Dia tidak akan melupakan perjanjian-Nya dengan nenek moyang kamu, yang telah dibuat-Nya dengan sumpah.+ 32  “Selidikilah masa lampau, masa sebelum kamu dilahirkan. Periksalah dari satu hujung langit ke hujung yang lain. Sejak hari Tuhan menciptakan manusia di bumi, pernahkah perkara sehebat ini berlaku? Pernahkah sesiapa mendengar tentang perkara sebegini?+ 33  Pernahkah ada bangsa yang tetap hidup setelah mendengar Tuhan berfirman dari dalam api, sebagaimana yang telah kamu alami?+ 34  Atau pernahkah Tuhan membawa keluar sebuah bangsa daripada bangsa lain seperti yang dilakukan-Nya terhadap kamu di Mesir? Tuhan telah mendatangkan peperangan+ dan melakukan banyak tanda, mukjizat,+ dan perbuatan yang dahsyat,+ di depan mata kamu sendiri. Ya, Yehuwa, Tuhan kamu, telah menghulurkan tangan-Nya yang kuat dan perkasa+ demi kamu. 35  Segala perkara itu berlaku di hadapan kamu supaya kamu tahu bahawa Yehuwalah Tuhan yang benar.+ Tiada Tuhan lain kecuali Dia.+ 36  Dia membenarkan kamu mendengar suara-Nya dari syurga supaya Dia dapat membetulkan kamu. Dia membenarkan kamu melihat api-Nya yang besar di bumi, dan mendengar firman-Nya dari dalam api itu.+ 37  “Oleh sebab Dia mengasihi nenek moyang kamu dan memilih keturunan mereka untuk menjadi umat-Nya,+ Dia sendiri membawa kamu keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar. 38  Kamu telah melihat bagaimana Dia mengusir bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu, supaya Dia dapat membawa kamu ke tanah mereka dan memberikan tanah itu kepada kamu sebagai warisan, seperti yang terjadi sekarang ini.+ 39  Maka pada hari ini, ketahuilah dan janganlah lupa bahawa Yehuwa ialah satu-satunya+ Tuhan yang benar di syurga dan di bumi.+ 40  Patuhilah hukum dan perintah Tuhan yang aku sampaikan kepada kamu hari ini, supaya kamu dan keturunan kamu hidup sejahtera dan tetap tinggal di tanah yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu, kepada kamu.”+ 41  Kemudian, Musa memilih tiga buah kota di sebelah timur Sungai Yordan.+ 42  Jika seseorang membunuh orang lain dengan tidak sengaja, dan dia tidak membenci orang itu,+ maka dia harus melarikan diri ke salah sebuah kota itu supaya dia tidak dibunuh.+ 43  Kota yang dipilih untuk suku Ruben ialah Bezer+ di padang belantara yang terletak di dataran tinggi. Kota yang dipilih untuk suku Gad pula ialah Ramot+ di Gilead, manakala kota yang dipilih untuk suku Manasye+ ialah Golan+ di Basan. 44  Musa memberikan Hukum+ kepada umat Israel. 45  Ya, selepas umat Israel keluar dari Mesir, Musa telah memberikan peringatan, peraturan, dan ketetapan, kepada mereka+ 46  semasa mereka berada dekat Sungai Yordan, di lembah di seberang kota Bet-peor,+ yang terletak di dalam wilayah Raja Sihon, orang Amori itu yang tinggal di Hesybon.+ Musa dan orang Israel telah mengalahkan raja itu selepas mereka keluar dari Mesir.+ 47  Selepas itu, mereka menduduki tanahnya dan juga tanah Raja Og+ di Basan. Kawasan jajahan kedua-dua raja orang Amori itu terletak di sebelah timur Sungai Yordan, 48  bermula dari Aroer+ yang terletak di pinggir Lembah* Arnon sampai ke Gunung Sion, iaitu Gunung Hermon,+ 49  termasuk kawasan Araba di timur Sungai Yordan sampai ke Laut Araba* dan kaki cerun Pisga.+

Nota Kaki

Lihat Kamus.
Atau “menjadi milik-Nya yang amat bernilai.”
Atau “Wadi.”
Iaitu, Laut Mati.