Ulangan 5:1-33
5 Kemudian Musa mengumpulkan semua orang Israel lalu berkata kepada mereka, “Hai umat Israel, dengarlah dan pelajarilah semua peraturan dan ketetapan yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini. Patuhilah semua hukum dan peraturan itu dengan bersungguh-sungguh.
2 Yehuwa, Tuhan kita, telah membuat perjanjian dengan kita di Horeb.+
3 Yehuwa tidak membuat perjanjian itu dengan nenek moyang kita, tetapi dengan kita semua. Ya, Dia telah membuat perjanjian itu dengan kita semua yang hidup hari ini.
4 Yehuwa telah berfirman kepada kamu dari dalam api di gunung itu secara bersemuka.+
5 Pada masa itu, aku menjadi perantara antara Yehuwa dengan kamu+ untuk menyampaikan firman Yehuwa kepada kamu, kerana kamu takut kepada api itu dan enggan mendaki gunung tersebut.+ Dia berfirman,
6 “‘Akulah Yehuwa, Tuhan kamu, yang membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba.+
7 Jangan menyembah tuhan-tuhan lain.* Sembahlah Aku sahaja.+
8 “‘Jangan membuat patung+ atau lambang yang menyerupai apa-apa pun yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air di bawah bumi.
9 Jangan bersujud atau tergoda untuk menyembah semua itu,+ kerana Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. Sembahlah Aku sahaja.+ Aku menghukum orang yang membenci Aku. Kerana dosa bapa, Aku akan menghukum keturunannya sehingga generasi yang ketiga dan keempat.+
10 Tetapi Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada beribu-ribu generasi yang mengasihi Aku dan mematuhi perintah-Ku.
11 “‘Jangan menggunakan nama-Ku, iaitu Yehuwa, secara sembarangan+ kerana Aku, Yehuwa, akan menghukum sesiapa yang menyalahgunakan nama-Ku.+
12 “‘Jangan lupa untuk merayakan hari Sabat dan memandangnya sebagai hari yang suci, sebagaimana yang telah Aku, Yehuwa, Tuhan kamu, perintahkan kepada kamu.+
13 Selama enam hari kamu boleh bekerja.+
14 Tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat yang dikhaskan untuk Aku, Yehuwa, Tuhan kamu.+ Pada hari itu, kamu tidak boleh bekerja,+ begitu juga dengan anak lelaki dan anak perempuan kamu, hamba lelaki dan hamba perempuan kamu, lembu dan keldai serta ternakan kamu yang lain, dan orang asing yang menetap di kota-kota kamu.+ Dengan demikian hamba lelaki dan hamba perempuan kamu juga dapat berehat.+
15 Ingatlah bahawa Aku, Yehuwa, telah membebaskan kamu daripada perhambaan di Mesir. Aku telah menghulurkan tangan-Ku yang kuat dan perkasa untuk menyelamatkan kamu.+ Itulah sebabnya Aku, Yehuwa, memerintahkan kamu untuk merayakan hari Sabat.
16 “‘Hormatilah ibu bapa kamu,+ sebagaimana yang telah Aku, Yehuwa, Tuhan kamu, perintahkan kepada kamu. Dengan itu kamu akan panjang umur dan hidup makmur di tanah yang Aku, Yehuwa, berikan kepada kamu.+
17 “‘Jangan membunuh.+
18 “‘Jangan berzina.+
19 “‘Jangan mencuri.+
20 “‘Jangan memberikan kesaksian palsu tentang orang lain.+
21 “‘Jangan mengingini kepunyaan orang lain, sama ada isterinya,+ rumahnya, ladangnya, hamba lelakinya, hamba perempuannya, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimilikinya.’+
22 “Yehuwa telah memberikan semua hukum tersebut kepada kamu semasa kamu berkumpul di gunung itu. Dengan suara yang kuat, Dia telah berfirman kepada kamu dari dalam api dan awan tebal.+ Hanya hukum-hukum itu yang telah diberikan-Nya, dan Dia telah menuliskan hukum-hukum itu pada dua keping batu tulis lalu memberikannya kepadaku.+
23 “Sebaik sahaja kamu mendengar suara dari dalam awan tebal di gunung yang diliputi api itu,+ semua ketua suku dan pemimpin kamu segera datang kepadaku.
24 Mereka berkata, ‘Yehuwa, Tuhan kita, telah menunjukkan kemuliaan dan kekuasaan-Nya kepada kita semua. Kita telah mendengar suara-Nya dari dalam api itu.+ Hari ini kita telah melihat bahawa seseorang boleh tetap hidup meskipun Tuhan sudah berfirman kepadanya.+
25 Tetapi jika kami terus mendengar suara Yehuwa, Tuhan kita, kami pasti akan mati. Kami tidak mahu mati dibinasakan oleh api yang dahsyat itu!
26 Pernahkah ada sesiapa yang tetap hidup setelah mendengar Tuhan yang hidup berfirman dari dalam api, sebagaimana yang telah kami alami?
27 Kamulah yang pergi menghadap Yehuwa, Tuhan kita, dan mendengar segala yang difirmankan oleh-Nya. Kemudian beritahulah kami segala yang difirmankan oleh Yehuwa kepadamu. Kami akan mendengar dan mematuhi perintah itu.’+
28 “Apabila Yehuwa mendengar kata-kata kamu itu, Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Aku sudah mendengar apa yang dikatakan oleh umat ini kepadamu. Semua yang dikatakan oleh mereka itu baik.+
29 Alangkah baiknya jika mereka sentiasa takut dan hormat kepada-Ku+ dan mematuhi segala perintah-Ku,+ supaya mereka dan keturunan mereka sejahtera selama-lamanya!+
30 Beritahulah mereka, “Kembalilah ke khemah kamu masing-masing.”
31 Tetapi engkau harus tinggal di sini bersama-Ku. Aku akan memberitahu engkau segala perintah, peraturan, dan ketetapan-Ku, yang harus engkau ajarkan kepada mereka. Mereka harus mematuhinya di tanah yang akan Aku berikan kepada mereka.’
32 Pastikanlah bahawa kamu semua mematuhi setiap perintah yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu.+ Janganlah menyimpang daripadanya, baik ke kiri mahupun ke kanan.+
33 Ikutlah sepenuhnya haluan yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepada kamu.+ Dengan itu, kamu akan panjang umur dan hidup makmur di tanah yang akan kamu duduki itu.+
Nota Kaki
^ Atau “Jangan memberontak terhadap Aku dengan menyembah tuhan-tuhan lain.”