Ulangan 8:1-20

  • Berkat-berkat Yehuwa (1-9)

    • “Hidup bukan dengan roti sahaja” (3)

  • Jangan melupakan Yehuwa (10-20)

8  “Patuhilah segala perintah yang aku sampaikan kepada kamu hari ini dengan teliti. Dengan demikian, kamu dapat terus hidup+ dan bertambah banyak serta dapat masuk dan menakluki tanah yang telah dijanjikan oleh Yehuwa kepada nenek moyang kamu.+ 2  Ingatlah bahawa Yehuwa, Tuhan kamu, telah memimpin kamu dalam perjalanan jauh di padang belantara selama 40 tahun,+ kerana Dia ingin merendahkan hati kamu. Dia ingin menguji kamu+ untuk mengetahui isi hati kamu+ dan untuk mengetahui sama ada kamu akan mematuhi perintah-Nya atau tidak. 3  Dia telah merendahkan hati kamu dan membiarkan kamu kelaparan+ lalu memberi kamu manna,+ iaitu makanan yang tidak pernah kamu dan nenek moyang kamu lihat. Dengan itu, kamu sedar bahawa manusia mesti hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang keluar daripada mulut Yehuwa.+ 4  Selama 40 tahun itu, pakaian kamu tidak menjadi usang, dan kaki kamu tidak menjadi bengkak.+ 5  Kamu memang tahu bahawa seperti seorang bapa menegur ajar anak-anaknya, Yehuwa, Tuhan kamu, telah menegur ajar kamu.+ 6  “Oleh itu, patuhilah perintah yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu. Hiduplah menurut segala kehendak-Nya dan takutlah kepada-Nya. 7  Yehuwa, Tuhan kamu, sedang membawa kamu ke tanah yang subur itu.+ Tanah itu mempunyai banyak sungai,* mata air, dan sumber-sumber air yang lain, yang memancur dari bukit-bukit dan yang mengalir di kawasan dataran. 8  Di sana terdapat juga gandum, barli, pokok anggur, pokok ara, pokok delima,+ pokok zaitun, dan madu.+ 9  Di tanah itu, kamu akan mempunyai makanan yang berlimpah-limpah sehingga kamu tidak akan kekurangan apa-apa pun. Batu-batu di sana mengandungi besi, dan kamu dapat melombong tembaga dari bukit-bukit di situ. 10  “Apabila kamu puas menikmati makanan yang melimpah, kamu harus memuji Yehuwa, Tuhan kamu, kerana Dia telah memberikan tanah yang subur itu kepada kamu.+ 11  Berhati-hatilah agar kamu tidak melupakan Yehuwa, Tuhan kamu. Jangan gagal mematuhi semua perintah, ketetapan, dan peraturan-Nya, yang aku sampaikan kepada kamu hari ini. 12  Apabila kamu puas menikmati makanan yang melimpah, dan sudah membina rumah-rumah yang indah sebagai tempat tinggal kamu,+ 13  apabila ternakan kamu sudah menjadi banyak, dan emas, perak, dan segala harta kamu sudah bertambah banyak, 14  jangan menjadi sombong+ dan melupakan Yehuwa, Tuhan yang telah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu.+ 15  Ingatlah bahawa Dia telah memimpin kamu melalui padang belantara yang luas dan menakutkan itu,+ yang dihuni oleh ular berbisa dan kala jengking. Tempat itu tandus dan tidak berair, tetapi Dia telah menyebabkan air keluar dari bukit batu.+ 16  Dia juga telah memberi kamu manna+ untuk dimakan, iaitu makanan yang tidak pernah dilihat oleh nenek moyang kamu. Dia berbuat demikian untuk merendahkan hati kamu+ dan untuk menguji kamu, agar kamu dapat hidup makmur pada kemudian hari.+ 17  Jangan berkata dalam hati kamu, ‘Aku menjadi makmur kerana kuasa dan kekuatanku sendiri.’+ 18  Ingatlah bahawa Yehuwalah yang telah menjadikan kamu kuat dan menyebabkan kamu hidup makmur.+ Dia berbuat demikian kerana ingin menepati perjanjian yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu, seperti yang telah dilakukan-Nya sampai hari ini.+ 19  “Aku memberikan amaran ini kepada kamu: Jika kamu melupakan Yehuwa, Tuhan kamu, dan pergi kepada tuhan-tuhan lain untuk menyembah tuhan-tuhan itu, kamu pasti akan dibinasakan.+ 20  Sebagaimana Yehuwa, Tuhan kamu, melenyapkan bangsa-bangsa lain, Yehuwa juga akan melenyapkan kamu jika kamu tidak mematuhi firman-Nya.+

Nota Kaki

Atau “wadi.”