Ulangan 9:1-29
9 “Dengarlah, hai umat Israel. Pada hari ini, kamu akan menyeberangi Sungai Yordan+ untuk memasuki dan menakluki tanah milik bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu.+ Kota-kota mereka sangat besar dan tembok-tembok mereka menjulang tinggi sampai ke langit.+
2 Keturunan Enak yang tinggal di sana tinggi dan perkasa,+ seperti yang sudah kamu tahu. Malah kamu mendengar orang berkata, ‘Tiada sesiapa pun yang dapat melawan orang Enak.’
3 Namun ketahuilah bahawa pada hari ini, Yehuwa, Tuhan kamu, yang seperti api yang memusnahkan,+ akan mendahului kamu+ dan membinasakan mereka semua. Yehuwa akan mengalahkan mereka di depan mata kamu, supaya kamu dapat mengusir mereka dengan cepat lalu menghapuskan mereka semua, seperti yang telah dijanjikan-Nya.+
4 “Selepas Yehuwa, Tuhan kamu, mengusir mereka di depan mata kamu, jangan berkata dalam hati kamu, ‘Yehuwa telah membawa kami ke tanah ini dan membiarkan kami menaklukinya kerana kami melakukan apa yang benar.’+ Ketahuilah bahawa Yehuwa telah mengusir bangsa-bangsa itu kerana kejahatan yang dilakukan oleh mereka.+
5 Yehuwa membenarkan kamu menduduki tanah itu bukan kerana kamu baik atau melakukan apa yang benar. Tetapi Yehuwa telah mengusir bangsa-bangsa itu dari hadapan kamu kerana mereka jahat,+ dan kerana Dia ingin menepati perjanjian yang telah dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu, iaitu Abraham,+ Ishak,+ dan Yakub.+
6 Ya, ketahuilah bahawa Yehuwa memberikan tanah yang subur itu kepada kamu bukan kerana kamu telah melakukan apa yang benar. Sebenarnya, kamu umat yang keras kepala!+
7 “Ingatlah dan jangan sekali-kali lupa bahawa kamu telah membangkitkan kemurkaan Yehuwa, Tuhan kamu, semasa kamu berada di padang belantara.+ Sejak kamu meninggalkan Mesir sampai kamu tiba di tempat ini, kamu asyik memberontak terhadap Yehuwa,+
8 bahkan di Horeb pun kamu menyebabkan Yehuwa murka. Yehuwa begitu murka sehingga Dia mahu membinasakan kamu semua.+
9 Aku telah mendaki gunung di situ untuk menerima batu-batu tulis+ yang mengandungi kata-kata perjanjian yang dibuat oleh Yehuwa dengan kamu.+ Aku berada di atas gunung itu selama 40 hari dan 40 malam,+ dan sepanjang masa itu, aku tidak makan atau minum apa-apa pun.
10 Kemudian Yehuwa memberikan dua keping batu tulis itu kepadaku. Dengan tangan-Nya sendiri, Yehuwa menulisi batu tersebut dengan segala yang telah difirmankan-Nya kepada kamu dari dalam api itu, iaitu semasa kamu* berkumpul di kaki gunung itu.+
11 Selepas 40 hari dan 40 malam, Yehuwa memberikan dua keping batu yang mengandungi kata-kata perjanjian-Nya itu kepadaku.
12 Selepas itu, Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Turunlah dengan segera kerana umat yang engkau bawa keluar dari Mesir itu telah melakukan dosa yang besar.+ Cepat sekali mereka menyimpang daripada jalan yang telah Aku perintahkan kepada mereka. Mereka telah membuat sebuah berhala logam untuk diri mereka sendiri.’+
13 Kemudian Yehuwa berfirman lagi kepadaku, ‘Aku telah memperhatikan umat ini, dan Aku tahu benar bahawa umat ini memang degil.+
14 Jadi biarlah Aku membinasakan mereka dan melenyapkan mereka dari muka bumi ini. Setelah itu, Aku akan menjadikan engkau sebuah bangsa yang lebih kuat dan lebih besar daripada mereka.’+
15 “Kemudian aku turun dari gunung itu sambil membawa dua keping batu tulis yang mengandungi kata-kata perjanjian Tuhan.+ Pada masa itu, api yang bernyala-nyala kelihatan di gunung tersebut.+
16 Aku nampak bahawa kamu telah berdosa terhadap Yehuwa, Tuhan kamu. Kamu telah membuat sebuah patung anak lembu daripada logam untuk diri kamu sendiri, dan dengan begitu cepat kamu telah menyimpang daripada jalan yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepada kamu.+
17 Maka aku melemparkan batu-batu tulis yang aku bawa itu sehingga hancur berkecai di depan mata kamu semua.+
18 Selepas itu, sekali lagi aku bersujud di hadapan Yehuwa selama 40 hari dan 40 malam. Aku tidak makan dan minum apa-apa pun.+ Aku berbuat demikian kerana kamu telah melakukan dosa yang besar terhadap Yehuwa. Kamu telah melakukan perkara yang jahat di mata-Nya dan menyebabkan Dia murka.
19 Aku sangat takut kerana Yehuwa begitu murka terhadap kamu+ sehingga Dia ingin melenyapkan kamu semua. Tetapi kali itu pun Yehuwa mendengarkan aku.+
20 “Yehuwa juga begitu murka terhadap Harun sehingga Dia ingin membinasakannya.+ Tetapi pada masa itu aku telah merayu bagi pihak Harun.
21 Kamu telah berdosa kerana membuat patung anak lembu itu.+ Maka aku mengambil patung itu dan membakarnya di dalam api lalu menghancurkannya dan menumbuknya sehingga menjadi serbuk. Selepas itu, aku membuang serbuk tersebut ke dalam sungai yang mengalir dari gunung itu.+
22 “Selain itu, kamu juga telah menyebabkan Yehuwa murka semasa kamu berada di Tabera,+ Masah,+ dan Kibrot-hataawa.+
23 Kemudian Yehuwa menyuruh kamu meninggalkan Kades-barnea.+ Dia berfirman, ‘Pergilah dan taklukilah tanah yang akan Aku berikan kepada kamu itu!’ Tetapi sekali lagi kamu memberontak terhadap Yehuwa, Tuhan kamu.+ Kamu tidak mematuhi perintah-Nya dan tidak beriman kepada-Nya.+
24 Sejak aku mengenal kamu, kamu sentiasa memberontak terhadap Yehuwa.
25 “Maka aku terus bersujud di hadapan Yehuwa selama 40 hari dan 40 malam itu,+ kerana aku tahu bahawa Yehuwa ingin membinasakan kamu semua.
26 Aku berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa dan berkata, ‘Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, janganlah membinasakan umat-Mu. Mereka ialah umat pilihan-Mu,*+ yang telah Engkau selamatkan dari Mesir dengan tangan-Mu yang perkasa. Ya, dengan kuasa-Mu yang besar, Engkau telah menebus mereka semua.+
27 Ingatlah akan hamba-hamba-Mu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub.+ Janganlah bertumpu kepada kedegilan, kejahatan, dan dosa umat ini.+
28 Jika Engkau membinasakan mereka, orang Mesir mungkin akan berkata, “Yehuwa tidak mampu membawa umat-Nya ke tanah yang telah dijanjikan-Nya kepada mereka. Dia telah membawa mereka ke padang belantara dan membinasakan mereka di sana, kerana Dia membenci mereka.”+
29 Ingatlah bahawa mereka ialah umat pilihan-Mu,*+ yang telah Engkau selamatkan dengan tangan-Mu yang kuat dan perkasa.’+