Wahyu yang Diterima oleh Yohanes 1:1-20

  • Penyingkapan daripada Tuhan melalui Yesus (1-3)

  • Salam kepada tujuh sidang (4-8)

    • “Aku ialah Alfa dan Omega” (8)

  • Di bawah ilham, Yohanes berada pada hari Tuan (9-11)

  • Penglihatan tentang Yesus yang dimuliakan (12-20)

1  Penyingkapan daripada Yesus Kristus yang disampaikan oleh Tuhan kepadanya,+ agar dia dapat menunjukkan kepada hamba-hamba Tuhan+ hal-hal yang mesti segera berlaku. Yesus mengutus malaikatnya untuk menyampaikan perkhabaran itu dalam bentuk lambang kepada Yohanes, hamba Tuhan.*+ 2  Yohanes memberikan kesaksian tentang segala sesuatu yang dilihat olehnya. Dia memberikan kesaksian tentang firman Tuhan dan tentang kesaksian yang diberikan oleh Yesus Kristus. 3  Berbahagialah orang yang membaca nubuat ini dengan suara yang lantang, dan berbahagialah orang yang mendengar kata-kata dalam nubuat ini dan mematuhi apa yang tertulis dalamnya+ kerana waktu yang ditetapkan sudah dekat. 4  Daripada Yohanes kepada tujuh buah sidang+ di daerah Asia: Semoga kamu dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada “Dia yang sekarang ada, yang dahulu ada, dan yang akan datang,”+ dan daripada tujuh daya+ yang ada di hadapan takhta-Nya, 5  serta daripada Yesus Kristus. Yesus Kristus ialah “Saksi yang Setia,”+ “yang pertama sekali dibangkitkan dalam kalangan orang mati,”+ dan “Pemerintah atas raja-raja di bumi.”+ Dia mengasihi kita+ dan membebaskan kita daripada dosa-dosa kita melalui darahnya.+ 6  Dia menjadikan kita raja+ dan imam*+ yang mengabdi kepada Tuhannya dan Bapanya. Semoga kemuliaan dan kuasanya berkekalan buat selama-lamanya. Amin. 7  Lihatlah! Dia datang dengan awan+ dan semua orang akan melihatnya, termasuk orang yang telah menusuknya. Semua suku bangsa di bumi akan memukul dada dengan sedih kerananya.+ Ya, Amin. 8  Tuhan Yehuwa* berfirman, “Aku ialah Alfa dan Omega,*+ dan Aku ialah Tuhan Yang Maha Kuasa.+ Akulah yang sekarang ada, yang dahulu ada, dan yang akan datang.” 9  Aku Yohanes, saudara kamu yang merupakan pengikut Yesus.+ Aku mengalami kesengsaraan+ dan menanggung penderitaan dengan tabah+ bersama-sama kamu, dan aku akan memerintah bersama-sama kamu dalam Kerajaan Tuhan.+ Aku berada di Pulau Patmos kerana aku bercakap tentang Tuhan dan memberikan kesaksian tentang Yesus. 10  Di bawah ilham kuasa suci Tuhan,* aku berada pada hari Tuan. Kemudian, aku mendengar suara kuat seperti bunyi trompet di belakang aku. Suara itu 11  berkata, “Tuliskanlah apa yang kamu nampak dalam sebuah gulungan lalu kirimkanlah gulungan itu kepada tujuh buah sidang, iaitu sidang di Efesus,+ Smirna,+ Pergamus,+ Tiatira,+ Sardis,+ Filadelfia,+ dan Laodikia.”+ 12  Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang sedang bercakap kepadaku. Apabila aku berbuat demikian, aku nampak tujuh buah kaki pelita emas,+ 13  dan di tengah-tengah tujuh kaki pelita itu ada seseorang yang kelihatan seperti anak manusia.+ Dia memakai sehelai jubah yang panjangnya sampai ke kaki, dan dadanya dililiti sehelai kain pengikat yang diperbuat daripada emas. 14  Selain itu, kepala dan rambutnya sangat putih, seputih salji, dan matanya seperti api yang bernyala-nyala.+ 15  Kakinya seperti tembaga tulen+ yang bernyala dalam relau api, dan suaranya seperti deruman air terjun yang besar. 16  Di dalam tangan kanannya ada tujuh buah bintang,+ dan daripada mulutnya keluar sebilah pedang bermata dua yang tajam dan panjang.+ Mukanya terang seperti matahari yang memancar dengan terik.+ 17  Selepas aku melihatnya, aku rebah di depan kakinya seperti orang mati. Dia meletakkan tangan kanannya padaku lalu berkata, “Janganlah takut. Akulah yang Pertama+ dan yang Terakhir.+ 18  Akulah dia yang hidup.+ Aku pernah mati+ tetapi lihatlah, kini aku hidup buat selama-lamanya.+ Aku mempunyai kunci maut dan kunci Kuburan.*+ 19  Oleh itu, tuliskanlah perkara-perkara yang telah kamu lihat, dan perkara-perkara yang sedang berlaku, serta perkara-perkara yang akan berlaku kelak. 20  Apa yang kamu nampak tadi, iaitu tujuh buah bintang di dalam tangan kananku dan tujuh buah kaki pelita emas itu, merupakan suatu rahsia suci: Tujuh buah bintang itu melambangkan malaikat-malaikat* dalam tujuh buah sidang, dan tujuh buah kaki pelita itu melambangkan tujuh buah sidang tersebut.+

Nota Kaki

Atau “hamba Yesus.”
Harfiah, “kerajaan, imam.”
Atau “A dan Z.” Alfa dan Omega ialah abjad pertama dan terakhir dalam bahasa Yunani.
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Atau “utusan-utusan.”