Wahyu yang Diterima oleh Yohanes 14:1-20
14 Kemudian aku nampak Anak Bebiri+ berdiri di atas Gunung Sion.+ Bersama-samanya ada 144,000 orang+ yang pada dahi mereka tertulis namanya dan nama Bapanya.+
2 Aku mendengar bunyi yang keluar dari syurga. Bunyinya seperti deruman air terjun yang besar dan seperti bunyi guruh yang kuat. Bunyi yang aku dengar adalah seperti suara penyanyi-penyanyi yang bernyanyi sambil memainkan kecapi.
3 Mereka bernyanyi di hadapan takhta, empat makhluk hidup,+ dan penatua-penatua.+ Lagu mereka seolah-olah sebuah lagu baharu+ yang tidak dapat dipelajari oleh sesiapa pun kecuali 144,000 orang+ itu yang telah dibeli dari bumi.
4 Merekalah orang yang tidak menajiskan diri dengan wanita. Sebenarnya, mereka seperti anak dara.+ Merekalah orang yang terus mengikuti Anak Bebiri tidak kira ke mana sahaja dia pergi.+ Merekalah yang dibeli+ daripada kalangan umat manusia sebagai hasil pertama+ untuk dipersembahkan kepada Tuhan dan kepada Anak Bebiri.
5 Mulut mereka tidak mengucapkan dusta, dan mereka tidak bercela.+
6 Selepas itu, aku melihat satu lagi malaikat yang terbang di tengah langit. Dia mempunyai berita baik yang kekal untuk diisytiharkan kepada orang yang tinggal di bumi, iaitu kepada setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum.+
7 Malaikat itu berkata dengan suara yang lantang, “Takutlah kepada Tuhan dan muliakanlah Dia kerana masa penghakiman-Nya sudah tiba.+ Sembahlah Dia yang menjadikan langit, bumi, laut,+ dan mata air.”
8 Kemudian, malaikat yang kedua menyusul sambil berkata, “Dia sudah jatuh! Babilon Besar+ sudah jatuh!+ Dialah yang membuat semua bangsa minum wain yang menimbulkan nafsu* untuk melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral* dengannya!”+
9 Selepas itu, malaikat yang ketiga menyusul sambil berseru dengan suara yang lantang, “Sesiapa yang menyembah binatang buas+ dan patungnya, dan menerima tanda pada dahi atau tangannya,+
10 juga akan minum wain kemurkaan Tuhan. Wain itu tidak dicampurkan dengan air dan akan dituangkan ke dalam cawan kemurkaan-Nya.+ Orang itu akan diseksa dengan api dan belerang+ di hadapan para malaikat suci dan Anak Bebiri.
11 Asap daripada api yang menyeksa mereka akan naik selama-lamanya.+ Siang dan malam, orang yang menyembah binatang buas dan patungnya, dan sesiapa yang menerima tanda nama binatang buas itu tidak dapat berehat.+
12 Dalam hal ini, umat suci Tuhan, iaitu mereka yang mematuhi perintah Tuhan dan yang tetap beriman+ kepada Yesus, perlu bertabah.”+
13 Kemudian aku mendengar suara dari syurga yang berkata, “Tuliskanlah hal ini: Mulai sekarang, berbahagialah pengikut-pengikut Tuan*+ kita yang sudah mati. Kuasa suci Tuhan berkata, ‘Ya, biarlah mereka berehat daripada kerja keras mereka, kerana Tuhan mengenang perbuatan baik mereka.’”*
14 Selepas itu aku nampak segumpal awan putih dan seseorang yang kelihatan seperti anak manusia+ sedang duduk di atas awan itu. Di atas kepalanya ada sebuah mahkota emas dan tangannya memegang sebilah sabit yang tajam.
15 Kemudian, satu lagi malaikat keluar dari Rumah Tuhan* sambil berseru dengan suara yang lantang kepada dia yang duduk di atas awan itu, “Gunakanlah sabitmu dan mulakanlah kerja menuai, kerana tuaian di bumi sudah masak dan masa menuai sudah tiba.”+
16 Maka dia yang duduk di atas awan itu mengayunkan sabitnya ke bumi, lalu tuaian di bumi dikumpulkan.
17 Satu lagi malaikat keluar dari Rumah Tuhan yang ada di syurga. Dia juga mempunyai sebilah sabit yang tajam.
18 Kemudian, satu lagi malaikat keluar dari mazbah dan dia berkuasa atas api. Dia berseru dengan suara yang lantang kepada malaikat yang mempunyai sabit yang tajam itu, “Ayunkanlah sabitmu yang tajam dan kumpulkanlah gugusan-gugusan anggur dari pokok-pokok anggur di bumi, kerana buah anggurnya sudah masak.”+
19 Maka malaikat itu mengayunkan sabitnya ke bumi dan mengumpulkan pokok-pokok anggur di bumi, lalu dia melemparkan pokok-pokok anggur itu ke dalam pemeras anggur besar yang melambangkan kemurkaan Tuhan.+
20 Buah-buah anggur itu diinjak-injak di luar kota, dan darah yang keluar dari tempat pemeras anggur itu mengalir sejauh kira-kira 300 kilometer* dan setinggi kekang kuda.