Wahyu yang Diterima oleh Yohanes 18:1-24
18 Selepas itu, aku nampak satu lagi malaikat turun dari syurga. Malaikat itu mempunyai kekuasaan yang besar, dan bumi diterangi kemuliaannya.
2 Dia berseru dengan suara yang lantang, “Dia sudah jatuh! Babilon Besar sudah jatuh!+ Dia sudah menjadi tempat tinggal roh-roh jahat dan tempat naungan bagi setiap burung yang najis dan yang dibenci. Dia juga menjadi tempat yang dipenuhi udara* yang beracun!+
3 Semua bangsa telah menjadi mangsa kepada wainnya+ yang menimbulkan nafsu* untuk melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* dan raja-raja di bumi telah melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral+ dengannya. Para saudagar di bumi menjadi kaya kerana wanita ini mengumpulkan barangan mewah tanpa rasa malu.”
4 Aku mendengar satu lagi suara dari syurga berkata, “Keluarlah daripadanya, hai umat-Ku,+ jika kamu tidak mahu turut menanggung dosa-dosanya, dan jika kamu tidak mahu menerima sebahagian daripada tulah-tulahnya.+
5 Hal ini demikian kerana dosanya sudah bertimbun-timbun sampai ke syurga,+ dan Tuhan akan menghakiminya atas semua perbuatannya yang jahat.*+
6 Perlakukanlah dia sebagaimana dia telah memperlakukan orang lain.+ Balaslah dia dua kali ganda bagi hal-hal yang telah dilakukannya.+ Isikanlah cawannya+ dengan minuman yang dua kali lebih banyak daripada minuman yang disediakannya.+
7 Sejauh mana dia memuliakan diri sendiri dan hidup mewah tanpa rasa malu, sejauh itulah dia harus diseksa dan meratap, kerana dia asyik berkata dalam hatinya, ‘Aku duduk sebagai ratu, dan aku bukan seorang balu. Tidak mungkin aku akan meratap.’+
8 Itulah sebabnya dalam masa satu hari, tulah-tulahnya akan datang: Kematian, ratapan, dan kebuluran. Dia akan dimusnahkan dengan api+ kerana Tuhan Yehuwa* yang menghakiminya itu perkasa.+
9 “Apabila raja-raja di bumi melihat asap daripada api yang membakarnya, mereka akan menangis dan memukul dada dengan sedih kerana apa yang berlaku kepadanya. Merekalah yang telah melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral* dengannya dan hidup mewah tanpa rasa malu bersamanya.
10 Mereka akan berdiri dari jauh kerana mereka takut akan penderitaannya dan berkata, ‘Alangkah malangnya, alangkah malangnya, hai Babilon, kota yang besar+ dan kuat, kerana dalam masa satu jam, hukumanmu sudah tiba!’
11 “Para saudagar di bumi juga menangis dan meratap kerananya. Hal itu demikian kerana tiada lagi orang yang akan membeli semua barang dagangan mereka.
12 Barang dagangan ini termasuk emas, perak, batu permata, mutiara, kain linen bermutu tinggi, kain ungu, kain sutera, kain merah marak, segala sesuatu yang diperbuat daripada kayu wangi, segala sesuatu yang diperbuat daripada gading, kayu yang berharga, tembaga, besi, dan marmar.
13 Terdapat juga kayu manis, rempah-ratus India, kemenyan, minyak wangi, kemenyan putih, wain, minyak zaitun, tepung bermutu tinggi, gandum, lembu, biri-biri, kuda, kereta kuda, hamba, dan manusia.
14 Ya, hal-hal baik yang didambakannya sudah meninggalkannya. Semua makanan yang sedap dan barangan yang cantik telah lenyap daripadanya dan tidak akan dijumpai lagi.
15 “Para saudagar yang menjual barang-barang itu dan yang menjadi kaya kerananya, akan berdiri dari jauh kerana mereka takut akan penderitaannya. Mereka akan menangis dan meratap
16 sambil berkata, ‘Alangkah malangnya, alangkah malangnya, hai kota besar yang berpakaian kain linen bermutu tinggi, kain ungu, dan kain merah marak yang dihiasi dengan banyak perhiasan emas, batu permata, dan mutiara,+
17 kerana dalam satu jam, kekayaan yang begitu banyak sudah dibinasakan!’
“Setiap kapten kapal, setiap orang yang belayar, dan anak-anak kapal, serta semua orang yang mempunyai mata pencarian di laut, berdiri dari jauh
18 dan berseru semasa melihat asap daripada api yang membakarnya. Mereka berkata, ‘Kota manakah yang seperti kota besar itu?’
19 Mereka menghamburkan debu ke atas kepala mereka sambil berseru, menangis, dan meratap. Mereka berkata, ‘Alangkah malangnya, alangkah malangnya, hai kota besar itu! Di situlah orang yang memiliki kapal-kapal di laut menjadi kaya disebabkan kekayaan kota itu. Tetapi dalam satu jam, dia telah dibinasakan!’+
20 “Bergembiralah, hai syurga,+ umat suci Tuhan,+ para rasul, dan para nabi, kerana Tuhan telah menjatuhkan hukuman kepadanya bagi pihak kamu!”+
21 Kemudian satu malaikat yang perkasa mengangkat sebuah batu yang kelihatan seperti batu kisaran besar, lalu mencampakkannya ke dalam laut. Dia berkata, “Demikianlah kota Babilon yang besar akan dicampakkan dengan begitu cepat dan tidak akan dijumpai lagi.+
22 Suara penyanyi yang memainkan kecapi, pemain seruling, pemain trompet, dan para pemuzik yang lain, tidak akan kedengaran di dalammu lagi. Para pekerja yang mahir dalam apa jua bidang tidak akan dijumpai di dalammu lagi, dan bunyi batu kisaran pun tidak akan kedengaran di dalammu lagi.
23 Tiada cahaya pelita yang akan bersinar di dalammu lagi, dan tiada suara pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang akan kedengaran di dalammu lagi. Hal ini demikian kerana saudagar-saudagarmu ialah orang yang berpangkat tinggi di bumi, dan semua bangsa disesatkan kerana amalan-amalan sihirmu.+
24 Ya, darah nabi-nabi, darah umat suci Tuhan,+ dan darah semua orang yang telah dibunuh di bumi, dijumpai di dalam kota itu.”+