Wahyu yang Diterima oleh Yohanes 21:1-27

  • Langit baharu dan bumi baharu (1-8)

    • Tiada lagi kematian (4)

    • Semuanya jadi baharu (5)

  • Gambaran Yerusalem Baharu (9-27)

21  Kemudian aku melihat langit baharu dan bumi baharu.+ Langit lama dan bumi lama telah lenyap,+ dan laut+ pun tidak ada lagi. 2  Aku juga melihat kota suci itu, iaitu Yerusalem Baharu, turun dari syurga daripada Tuhan.+ Kota itu sudah disiapkan seperti pengantin perempuan yang telah berhias untuk menyambut bakal suaminya.+ 3  Ketika itu, aku mendengar suara lantang yang berseru dari takhta itu, “Lihatlah! Khemah Tuhan ada bersama manusia, dan Dia akan tinggal bersama mereka dan mereka akan menjadi umat-Nya. Tuhan sendiri akan menyertai mereka.+ 4  Dia akan menyapu semua air mata mereka,+ dan kematian tidak akan ada lagi.+ Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.+ Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.” 5  Dia yang duduk di atas takhta+ berfirman, “Lihatlah! Aku sedang menjadikan semuanya baharu.”+ Dia berfirman lagi, “Tuliskanlah hal ini, kerana kata-kata ini benar dan dapat dipercayai.” 6  Kemudian Dia berfirman kepadaku, “Hal-hal itu sudah terlaksana! Aku ialah Alfa dan Omega,* yang mula dan yang akhir.+ Aku akan memberikan air daripada mata air kehidupan kepada orang yang dahaga secara percuma.*+ 7  Sesiapa yang menang dalam pertempuran akan mewarisi semua ini. Aku akan menjadi Tuhannya dan dia akan menjadi anak-Ku. 8  Tetapi pengecut, orang yang tidak beriman,+ orang yang najis dan menjijikkan, pembunuh,+ orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,*+ orang yang mengamalkan ilmu sihir, penyembah berhala, dan semua pendusta,+ akan dibuang ke dalam tasik yang bernyala-nyala dengan api dan belerang.+ Tasik ini melambangkan kematian yang kedua.”+ 9  Salah satu daripada tujuh malaikat yang mempunyai tujuh buah mangkuk yang penuh dengan tujuh tulah terakhir itu+ datang dan berkata kepadaku, “Marilah, aku akan menunjukkan kepadamu pengantin perempuan, iaitu bakal isteri Anak Bebiri.”+ 10  Maka dia menggunakan kuasa suci Tuhan untuk membawa aku ke sebuah gunung yang besar dan tinggi. Dia menunjukkan kepadaku Yerusalem, kota suci itu, yang turun dari syurga daripada Tuhan+ 11  dan yang mempunyai kemuliaan Tuhan.+ Kegemilangan kota itu seperti batu permata yang amat bernilai, bagaikan batu jasper yang bersinar seperti kristal yang jernih.+ 12  Kota itu mempunyai tembok yang besar dan tinggi dan mempunyai 12 pintu gerbang yang padanya tertulis nama 12 suku Israel, dan terdapat 12 malaikat di pintu-pintu gerbang itu. 13  Di sebelah timur ada tiga pintu gerbang, di sebelah utara ada tiga pintu gerbang, di sebelah selatan ada tiga pintu gerbang, dan di sebelah barat ada tiga pintu gerbang.+ 14  Tembok kota itu juga mempunyai 12 batu asas, dan pada batu-batu itu tertulis 12 nama, iaitu nama 12 orang rasul+ Anak Bebiri. 15  Malaikat yang sedang bercakap kepadaku memegang sebatang galah emas untuk mengukur kota itu, pintu-pintu gerbangnya, dan temboknya.+ 16  Kota itu berbentuk segi empat, dan panjangnya sama dengan lebarnya. Dia mengukur kota itu dengan galahnya dan mendapati bahawa ukurannya kira-kira 2,220 kilometer.* Panjang, lebar, dan tingginya, semua sama. 17  Dia juga mengukur tembok kota itu dan mendapati bahawa ukurannya kira-kira 64 meter* menurut ukuran manusia, yang juga merupakan ukuran malaikat. 18  Tembok kota itu diperbuat daripada batu jasper,+ manakala kota itu diperbuat daripada emas tulen yang bagaikan kaca yang jernih. 19  Asas tembok kota itu dihiasi dengan pelbagai jenis batu permata:* Batu asas yang pertama ialah batu jasper, yang kedua batu nilam, yang ketiga batu kalsedoni, yang keempat batu zamrud, 20  yang kelima batu oniks, yang keenam batu sardius, yang ketujuh batu krisolit, yang kelapan batu beril, yang kesembilan batu topaz, yang kesepuluh batu krisopras, yang kesebelas batu hiasint, dan yang kedua belas batu kecubung. 21  Selain itu, 12 buah pintu gerbang itu berupa 12 mutiara; setiap pintu gerbang diperbuat daripada satu mutiara. Jalan utama di kota itu diperbuat daripada emas tulen, seperti kaca yang lut sinar. 22  Aku tidak nampak Rumah Tuhan di dalam kota itu kerana Yehuwa* Yang Maha Kuasa+ dan Anak Bebiri itu ialah Rumah Tuhan bagi kota itu. 23  Kota itu tidak memerlukan matahari ataupun bulan untuk menyinarinya, kerana kemuliaan Tuhan meneranginya,+ dan pelitanya ialah Anak Bebiri itu.+ 24  Cahaya daripada kota itu akan menerangi jalan yang ditempuh oleh bangsa-bangsa,+ dan raja-raja di bumi akan membawa kemuliaan mereka ke dalamnya. 25  Pintu gerbang kota itu tidak akan ditutup pada waktu siang, dan tidak ada waktu malam di situ.+ 26  Kemuliaan dan kehormatan bangsa-bangsa akan dibawa ke dalam kota itu.+ 27  Namun, apa jua yang najis dan sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan yang menjijikkan dan yang tidak jujur, sama sekali tidak boleh masuk ke dalam kota itu.+ Hanya orang yang nama mereka tertulis dalam kitab kehidupan Anak Bebiri akan masuk ke dalam kota itu.+

Nota Kaki

Atau “A dan Z.” Alfa dan Omega ialah abjad pertama dan terakhir dalam bahasa Yunani.
Atau “tanpa mengenakan bayaran.”
Lihat Kamus.
Harfiah, “12,000 stadium.” Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “144 hasta.” Lihat Lampiran B14.
Semua batu permata berikut mempunyai warna yang berbeza-beza. Kadangkala, terdapat pelbagai warna pada satu batu permata.