Wahyu yang Diterima oleh Yohanes 8:1-13

  • Meterai ketujuh dibuka (1-6)

  • Empat trompet pertama ditiup (7-12)

  • Tiga bencana diumumkan (13)

8  Semasa Anak Bebiri+ membuka meterai yang ketujuh,+ syurga menjadi senyap selama kira-kira setengah jam. 2  Kemudian aku melihat tujuh malaikat+ berdiri di hadapan Tuhan, dan mereka diberi tujuh buah trompet. 3  Kemudian, satu lagi malaikat datang lalu berdiri di hadapan mazbah+ dengan memegang bekas kemenyan*+ yang diperbuat daripada emas. Dia diberi banyak kemenyan agar dia dapat mempersembahkan kemenyan itu di atas mazbah emas+ yang terletak di hadapan takhta Tuhan semasa umat suci berdoa kepada Tuhan. 4  Doa+ umat suci Tuhan dan asap kemenyan dari tangan malaikat itu sama-sama naik ke hadirat Tuhan. 5  Tetapi malaikat itu segera mengambil bekas kemenyan tersebut dan mengisinya dengan sedikit api dari mazbah lalu mencampakkan api tersebut ke bumi. Kemudian, bunyi guruh dan suara-suara kedengaran, kilat sabung-menyabung,+ dan gempa bumi berlaku. 6  Tujuh malaikat yang memegang tujuh trompet+ itu bersedia untuk meniup trompet mereka. 7  Malaikat pertama meniup trompetnya, lalu hujan batu dan api bercampur darah turun ke bumi.+ Api membakar satu pertiga daripada bumi, satu pertiga daripada pokok-pokok, dan semua tumbuhan hijau yang lain.+ 8  Selepas itu, malaikat kedua meniup trompetnya, lalu sesuatu yang kelihatan seperti sebuah gunung besar yang bernyala-nyala dicampakkan ke dalam laut.+ Satu pertiga daripada laut menjadi darah,+ 9  satu pertiga daripada makhluk hidup di laut mati,+ dan satu pertiga daripada kapal-kapal musnah. 10  Selepas itu, malaikat ketiga meniup trompetnya, lalu sebuah bintang besar yang bernyala-nyala seperti pelita jatuh dari langit dan menimpa mata air dan satu pertiga daripada sungai-sungai.+ 11  Nama bintang itu ialah Tanaman Pahit. Satu pertiga daripada air menjadi pahit, dan banyak orang mati kerana minum air yang pahit itu.+ 12  Selepas itu, malaikat keempat meniup trompetnya, lalu satu pertiga daripada matahari,+ satu pertiga daripada bulan, dan satu pertiga daripada bintang-bintang terpukul sehingga satu pertiga daripada semua itu tidak dapat bersinar.+ Maka satu pertiga daripada waktu siang dan satu pertiga daripada waktu malam tidak mempunyai cahaya. 13  Kemudian aku melihat seekor burung helang yang terbang tinggi di tengah langit, dan aku mendengar burung helang itu berkata dengan suara yang lantang, “Malang, malang, malanglah+ mereka yang tinggal di bumi apabila mereka mendengar bunyi tiupan trompet daripada tiga malaikat lain yang akan segera meniup trompet!”+

Nota Kaki

Atau “bekas perbaraan.”