Wahyu yang Diterima oleh Yohanes 9:1-21
9 Selepas itu, malaikat kelima meniup trompetnya,+ lalu aku nampak sebuah bintang yang sudah jatuh dari langit ke bumi. Bintang itu diberi kunci lubang yang menghala ke jurang yang dalam.*+
2 Bintang tersebut membuka lubang yang menghala ke jurang yang dalam itu lalu asap mula keluar daripadanya. Asap yang keluar daripada lubang itu bagaikan asap yang keluar daripada relau yang besar. Matahari dan udara pun menjadi gelap+ kerana asap itu.
3 Belalang-belalang juta kemudiannya keluar dari dalam asap itu lalu turun ke bumi.+ Kuasa yang diberikan kepada belalang-belalang itu sama seperti kuasa yang dimiliki oleh kala jengking di bumi.
4 Kawanan belalang itu diberitahu supaya tidak merosakkan rumput, pokok-pokok, ataupun tanaman hijau lain di bumi. Kawanan belalang itu hanya dibenarkan untuk mencederakan orang yang tidak mempunyai meterai Tuhan pada dahi mereka.+
5 Belalang-belalang itu tidak dibenarkan untuk membunuh mereka, tetapi dibenarkan untuk menyeksa mereka selama lima bulan. Seksaan yang disebabkan oleh belalang-belalang itu seperti seksaan yang dialami oleh seseorang yang disengat kala jengking.+
6 Pada masa itu, orang akan mencari maut, tetapi mereka langsung tidak dapat menemuinya. Mereka ingin sekali mati, tetapi maut akan melarikan diri daripada mereka.
7 Belalang-belalang itu kelihatan seperti kuda yang bersedia untuk berperang.+ Di atas kepala belalang-belalang itu ada sesuatu yang kelihatan seperti mahkota emas, dan muka belalang-belalang itu kelihatan seperti muka manusia.
8 Rambut belalang-belalang itu seperti rambut wanita, dan gigi belalang-belalang itu seperti gigi singa.+
9 Perisai dada belalang-belalang itu seperti perisai dada besi, dan bunyi sayap belalang-belalang itu bagaikan bunyi kereta-kereta kuda yang ditarik oleh banyak kuda yang sedang mara untuk berperang.+
10 Belalang-belalang itu juga mempunyai ekor dan sengat seperti kala jengking. Dengan ekor itu, belalang berkuasa untuk menyakiti orang selama lima bulan.+
11 Belalang-belalang itu diperintah oleh seorang raja, iaitu malaikat yang berkuasa atas jurang yang dalam.+ Dalam bahasa Ibrani, namanya Abadon,* dan dalam bahasa Yunani, namanya Apolion.*
12 Bencana yang pertama sudah berlalu. Tetapi lihatlah! Dua lagi bencana+ akan datang selepas hal-hal itu.
13 Selepas itu, malaikat yang keenam+ meniup trompetnya,+ lalu aku mendengar suara dari tanduk-tanduk mazbah emas+ yang ada di hadapan Tuhan.
14 Suara itu berkata kepada malaikat keenam yang memegang trompet, “Lepaskanlah keempat-empat malaikat yang terikat di Sungai Efrat, sungai besar itu.”+
15 Keempat-empat malaikat itu pun dibebaskan. Mereka sudah dipersiapkan untuk membunuh satu pertiga daripada umat manusia pada jam, hari, bulan, dan tahun, yang sudah ditentukan.
16 Aku mendengar bahawa pasukan askar berkuda itu berjumlah 200 juta askar.
17 Dalam penglihatan, beginilah rupa para penunggang kuda dan kuda mereka: Perisai dada mereka berwarna merah api, biru tua, dan kuning seperti belerang. Kepala kuda-kuda itu seperti kepala singa,+ dan api, asap, dan belerang, keluar daripada mulut kuda-kuda itu.
18 Satu pertiga daripada manusia dibunuh oleh tiga tulah, iaitu api, asap, dan belerang, yang keluar daripada mulut kuda-kuda itu.
19 Kuasa kuda-kuda itu terdapat di dalam mulut dan pada ekor. Ekor kuda-kuda itu seperti ular dan mempunyai kepala yang dapat mencederakan orang.
20 Tetapi manusia lain yang tidak dibunuh oleh tulah-tulah itu tidak bertaubat daripada perbuatan mereka.* Mereka tidak berhenti menyembah roh-roh jahat dan berhala yang diperbuat daripada emas, perak, tembaga, batu, dan kayu, yang tidak dapat melihat, mendengar, atau berjalan.+
21 Mereka tidak bertaubat daripada dosa mereka, malah mereka terus membunuh, mengamalkan ilmu sihir, melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* dan mencuri.