Yehezkiel 10:1-22
10 Semasa aku sedang melihat, aku nampak lantai di sebelah atas kepala kerub-kerub itu. Di atas lantai itu, ada sesuatu yang kelihatan seperti batu nilam yang menyerupai sebuah takhta.+
2 Tuhan berfirman kepada lelaki yang berpakaian linen itu,+ “Masuklah ke tengah-tengah roda+ di bawah kerub-kerub itu. Ambillah bara api+ dari antara kerub-kerub itu dan penuhilah kedua-dua tanganmu dengannya. Lalu hamburkanlah bara api itu ke atas kota.”+ Kemudian aku melihat lelaki itu pergi ke situ.
3 Semasa lelaki itu masuk, kerub-kerub itu berdiri di sebelah kanan Rumah Tuhan, dan halaman dalam rumah itu dipenuhi awan.
4 Kemudian cahaya kemuliaan Yehuwa+ terangkat dari kerub-kerub itu dan bergerak ke ambang pintu Rumah Tuhan. Rumah itu dipenuhi awan secara beransur-ansur,+ dan halaman itu menjadi sangat terang disebabkan kemuliaan Yehuwa.
5 Bunyi sayap kerub-kerub itu kedengaran sampai ke halaman luar. Bunyinya seperti suara Tuhan Yang Maha Kuasa semasa Dia berfirman.+
6 Lalu Dia memberikan perintah kepada lelaki yang berpakaian linen itu. Dia berfirman, “Ambillah api dari antara roda itu, dari antara kerub-kerub itu.” Maka lelaki itu masuk dan berdiri di sebelah roda itu.
7 Kemudian salah satu kerub memasukkan tangannya ke dalam api yang ada di antara kerub-kerub itu+ dan memberikan api itu kepada lelaki yang berpakaian linen.+ Lelaki itu pun mengambil api itu dengan kedua-dua tangannya lalu keluar.
8 Kerub-kerub itu mempunyai tangan seperti tangan manusia di bawah sayap-sayap mereka.+
9 Ketika aku memandang, aku nampak di sisi setiap kerub itu ada sebuah roda. Keempat-empat roda itu kelihatan seperti batu krisolit yang berkilau.+
10 Roda-roda itu sama bentuknya, dan binaannya seperti dua buah roda yang dipasang bersilang.
11 Roda-roda itu dapat bergerak ke empat arah tanpa perlu mengubah haluan. Ke mana sahaja kepala kerub-kerub itu* menghadap, ke sanalah roda-roda itu akan bergerak tanpa perlu mengubah haluan.
12 Seluruh badan kerub, belakang mereka, tangan mereka, dan sayap mereka penuh dengan mata. Keempat-empat roda di sisi mereka juga penuh dengan mata.+
13 Berkenaan roda-roda itu, aku mendengar suatu suara yang berseru, “Roda yang berputar!”
14 Setiap makhluk* mempunyai empat muka: Muka pertama ialah muka kerub, muka kedua ialah muka manusia, muka ketiga ialah muka singa, dan muka keempat ialah muka helang.+
15 Kerub-kerub itu sama dengan makhluk-makhluk hidup yang aku nampak di Sungai Khebar.+ Apabila kerub-kerub itu naik ke atas
16 dan bergerak, roda-roda itu akan bergerak di sisi mereka. Apabila kerub-kerub itu membentangkan sayap mereka dan naik dari tanah, roda-roda itu akan berada di sisi mereka tanpa mengubah haluan.+
17 Apabila mereka berhenti, roda-roda itu pun berhenti. Apabila mereka terangkat, roda-roda itu pun terangkat, kerana kuasa suci Tuhan yang menggerakkan makhluk-makhluk hidup itu juga ada di dalam roda-roda itu.
18 Kemudian cahaya kemuliaan Yehuwa+ meninggalkan ambang pintu Rumah Tuhan dan berhenti di atas kerub-kerub itu.+
19 Aku nampak kerub-kerub itu membentangkan sayap mereka dan naik dari tanah. Roda-roda itu juga bergerak di sisi mereka. Mereka berhenti di pintu masuk sebelah timur Rumah Yehuwa, dan cahaya kemuliaan Tuhan orang Israel berada di atas mereka.+
20 Inilah makhluk-makhluk hidup yang ada di bawah Tuhan orang Israel yang telah aku nampak di Sungai Khebar.+ Demikianlah aku mengetahui bahawa mereka ialah kerub.
21 Setiap makhluk itu mempunyai empat muka dan empat sayap. Mereka mempunyai tangan seperti tangan manusia di bawah sayap mereka.+
22 Muka-muka mereka kelihatan seperti muka-muka makhluk hidup yang telah aku nampak di Sungai Khebar.+ Mereka masing-masing bergerak lurus ke hadapan tanpa memusingkan badan.+