Yehezkiel 12:1-28

  • Perbuatan Yehezkiel melambangkan pembuangan Israel (1-20)

    • Bungkusan yang dibawa oleh orang yang dibuang negeri (1-7)

    • Pemimpin akan berangkat dalam kegelapan (8-16)

    • Makan roti dengan risau, minum air dengan takut (17-20)

  • Peribahasa terbukti palsu (21-28)

    • ‘Semua firman-Ku tidak akan ditunda-tunda’ (28)

12  Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi,  “Anak manusia, engkau hidup dalam kalangan bangsa yang suka memberontak. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak mahu melihat, dan mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mahu mendengar,+ kerana mereka bangsa yang suka memberontak.+  Oleh itu, anak manusia, kemaskanlah barang-barangmu seperti yang dilakukan oleh seseorang yang dibuang negeri. Berangkatlah pada waktu siang dan biarlah mereka nampak engkau berbuat demikian. Biarlah mereka nampak engkau meninggalkan rumahmu dan pergi ke tempat lain. Barangkali mereka akan mengerti, biarpun mereka bangsa yang suka memberontak.  Ya, biarlah mereka nampak engkau membawa barang-barang yang telah engkau kemaskan pada waktu siang. Biarlah mereka nampak engkau berangkat seperti seseorang yang ditawan dan dibuang negeri pada waktu petang.+  “Buatlah lubang pada dinding rumahmu lalu bawalah barang-barangmu keluar melalui lubang itu, dan biarlah mereka nampak engkau berbuat demikian.+  Biarlah mereka nampak engkau memikul barang-barangmu di atas bahu dan mengangkat semuanya dalam kegelapan. Tutuplah mukamu supaya engkau tidak dapat melihat tanah kerana perbuatanmu itu akan menjadi tanda bagi bangsa Israel.”+  Aku melakukan semuanya tepat seperti yang telah diperintahkan. Pada waktu siang, aku mengeluarkan barang-barangku yang telah dibungkus seperti yang dilakukan oleh orang yang dibuang negeri. Pada waktu petang, aku membuat lubang pada dinding rumahku dengan tanganku sendiri. Semasa hari sudah gelap, aku mengeluarkan barang-barangku dan memikulnya pada bahuku di depan mata mereka.  Pada waktu pagi, Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi,  “Anak manusia, bukankah bangsa Israel, bangsa yang suka memberontak itu, bertanya kepadamu, ‘Apakah yang sedang kamu lakukan?’ 10  Jadi jawablah mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Perkhabaran ini untuk para pemimpin+ di Yerusalem dan seluruh bangsa Israel yang tinggal di dalam kota itu.”’ 11  “Beritahulah mereka, ‘Perbuatanku akan menjadi tanda bagi kamu.+ Perbuatanku melambangkan apa yang akan berlaku kepada mereka. Mereka akan ditawan dan dibuang negeri.+ 12  Pemimpin mereka akan memikul barang-barangnya di atas bahu dan berangkat dalam kegelapan. Dia akan membuat lubang pada dinding rumahnya, dan membawa barang-barangnya keluar melalui lubang itu.+ Dia akan menutupi mukanya supaya dia tidak dapat melihat tanah.’ 13  Aku akan membentangkan jaring-Ku ke atas pemimpin itu dan menangkapnya.+ Kemudian Aku akan membawanya ke Babilon, ke negeri orang Kasdim, tetapi dia akan mati di situ tanpa melihat kota itu.+ 14  Aku akan mencerai-beraikan semua orang di sisinya, termasuk para pembantunya dan askar-askarnya, ke segala arah.+ Lalu Aku akan menghunuskan pedang dan mengejar mereka.+ 15  Mereka pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa apabila Aku mencerai-beraikan mereka dalam kalangan bangsa-bangsa lain di negeri asing. 16  Tetapi Aku akan membiarkan sebilangan kecil daripada mereka terselamat daripada serangan pedang, kebuluran, dan wabak penyakit. Dengan demikian, mereka dapat pergi dalam kalangan bangsa-bangsa lain dan menceritakan segala amalan jijik mereka kepada bangsa-bangsa itu. Kemudian barulah mereka akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.” 17  Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi, 18  “Anak manusia, engkau harus makan rotimu dengan rasa takut, dan minum airmu dengan rasa bimbang dan risau.+ 19  Beritahulah penduduk negeri itu, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, kepada penduduk Yerusalem di Israel: “Mereka akan makan roti dengan rasa risau dan minum air dengan rasa takut kerana negeri mereka akan menjadi gersang+ disebabkan perbuatan ganas semua orang yang tinggal di situ.+ 20  Kota-kota yang berpenduduk akan dihancurkan, dan negeri itu akan menjadi tandus,+ dan kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.”’”+ 21  Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi, 22  “Anak manusia, bukankah ada peribahasa di Israel yang berbunyi, ‘Hari demi hari berlalu, tetapi satu penglihatan pun tidak menjadi kenyataan’?+ 23  Maka beritahulah mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Aku akan menghapuskan peribahasa itu, dan peribahasa itu tidak akan diucapkan di Israel lagi.”’ Sebaliknya beritahulah mereka, ‘Hari sudah dekat,+ dan setiap penglihatan akan menjadi kenyataan.’ 24  Dalam kalangan bangsa Israel, tidak akan ada lagi penglihatan yang palsu atau ramalan yang menyesatkan.*+ 25  ‘“Aku, Yehuwa, akan berfirman, dan setiap firman-Ku akan dilaksanakan dan tidak akan ditunda-tunda.+ Hai bangsa yang suka memberontak, Aku akan melaksanakan apa yang Aku firmankan pada zamanmu,”+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.’” 26  Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi, 27  “Anak manusia, bangsa Israel berkata, ‘Penglihatannya itu tidak akan berlaku pada masa sekarang. Dia sedang bernubuat tentang apa yang akan berlaku jauh pada masa hadapan.’+ 28  Oleh itu, beritahulah mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “‘Semua firman-Ku pasti akan berlaku, dan tidak akan ditunda-tunda,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.”’”

Nota Kaki

Atau “yang menyenangkan hati pendengarnya.”