Yehezkiel 16:1-63

  • Kasih Tuhan terhadap Yerusalem (1-63)

    • Yerusalem seperti anak yang ditinggalkan lalu ditemui (1-7)

    • Tuhan menghiasinya dan membuat perjanjian perkahwinan dengannya (8-14)

    • Yerusalem menjadi tidak setia (15-34)

    • Dihukum kerana curang (35-43)

    • Dibandingkan dengan Samaria dan Sodom (44-58)

    • Tuhan ingat akan perjanjian-Nya (59-63)

16  Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi,  “Anak manusia, beritahulah Yerusalem tentang perbuatannya yang menjijikkan.+  Katakanlah, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, kepada Yerusalem: “Engkau berasal dari tanah Kanaan, dan di situlah engkau dilahirkan. Bapamu orang Amori,+ dan ibumu orang Het.+  Pada hari engkau dilahirkan, tiada sesiapa pun memotong tali pusatmu atau memandikan engkau dengan air supaya engkau bersih. Engkau juga tidak digosok dengan garam dan tidak dibalut dengan kain.  Tiada sesiapa pun mengasihani engkau dan mahu melakukan hal-hal itu bagimu. Ya, tiada sesiapa pun yang berbelas kasihan terhadapmu. Sebaliknya, engkau dibuang di padang rumput kerana engkau dibenci pada hari engkau dilahirkan.  “‘“Ketika Aku lalu di situ, Aku nampak engkau menggeliat dalam darahmu, dan ketika engkau berbaring di situ, Aku berfirman, ‘Hiduplah!’ Ya, Aku berfirman kepadamu, ‘Hiduplah!’  Aku membuat engkau menjadi sangat banyak, seperti tumbuhan yang bertunas di padang. Engkau membesar dan menjadi tinggi serta memakai perhiasan yang terbaik. Buah dadamu sudah terbentuk dan rambutmu sudah tumbuh, tetapi engkau masih telanjang dan bogel.”’  “‘Ketika Aku lalu dan nampak engkau, Aku sedar bahawa engkau sudah cukup dewasa untuk bercinta. Maka Aku menutupi tubuhmu yang bogel dengan jubah-Ku.+ Aku juga mengangkat sumpah dan membuat perjanjian denganmu,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, ‘dan engkau menjadi milik-Ku.  Kemudian Aku memandikan engkau dengan air dan mencuci darah yang ada padamu. Aku juga menyapu engkau dengan minyak.+ 10  Setelah itu, Aku mengenakan pakaian bersulam padamu, memberimu selipar kulit* yang terbaik, dan membalutmu dengan kain linen yang bermutu tinggi. Aku juga mengenakan pakaian yang mahal padamu. 11  Aku memberi engkau perhiasan dan memakaikan gelang-gelang pada tanganmu dan kalung pada lehermu. 12  Aku juga memberimu cincin hidung, dan mengenakan anting-anting pada telingamu dan mahkota yang indah pada kepalamu. 13  Engkau selalu menghiasi dirimu dengan emas dan perak. Pakaianmu disulam dan diperbuat daripada kain linen bermutu tinggi dan bahan-bahan yang mahal. Makananmu ialah tepung yang terbaik, madu, dan minyak. Engkau menjadi sangat cantik sehingga layak menjadi ratu.’”+ 14  “‘Engkau* menjadi semakin terkenal antara bangsa-bangsa lain+ kerana engkau begitu cantik. Kecantikanmu begitu sempurna kerana Aku memberikan kemuliaan kepadamu,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.” 15  “‘Tetapi engkau mula bergantung pada kecantikanmu,+ dan engkau menjadi pelacur setelah engkau terkenal.+ Engkau melacurkan diri dengan sesiapa sahaja yang lalu di hadapanmu.+ Engkau menyerahkan dirimu kepada sesiapa sahaja yang menginginkan engkau. 16  Engkau mengambil pakaianmu dan membuat tempat-tempat tinggi yang berwarna-warni, iaitu tempat engkau melacurkan dirimu.+ Perkara-perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan tidak seharusnya terjadi. 17  Engkau juga mengambil perhiasan emas dan perak yang Aku berikan kepadamu lalu membentuk patung-patung lelaki, dan engkau berbuat cabul dengan patung itu.+ 18  Engkau mengambil pakaian-pakaian bersulammu dan menutupi mereka* dengannya. Engkau juga mempersembahkan minyak-Ku dan kemenyan-Ku kepada mereka.+ 19  Aku telah memberi engkau minyak, madu, dan roti yang diperbuat daripada tepung terbaik sebagai makanan. Tetapi engkau pula mempersembahkannya kepada mereka sebagai korban yang berbau harum untuk menyenangkan hati mereka.+ Inilah apa yang telah berlaku,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.” 20  “‘Belum cukupkah engkau melacurkan diri? Anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan yang telah engkau lahirkan bagi-Ku,+ engkau korbankan kepada patung-patung berhala.+ 21  Engkau membunuh anak-anak lelaki-Ku, dan mempersembahkan mereka sebagai korban dengan membakar mereka di dalam api.*+ 22  Sepanjang waktu engkau melakukan perbuatan yang jijik dan melacurkan diri, engkau tidak pernah ingat tentang masa kecilmu, ketika engkau telanjang dan bogel dan menggeliat dalam darahmu sendiri. 23  Alangkah malangnya engkau! Ya, alangkah malangnya engkau kerana engkau telah melakukan segala kejahatan itu!’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. 24  ‘Engkau mendirikan tempat pemujaan dan tempat ibadat untuk dirimu di setiap dataran kota. 25  Engkau membina tempat-tempat ibadat di setiap jalan besar. Engkau mencemari kecantikanmu dengan menawarkan tubuhmu* kepada sesiapa sahaja yang lalu di situ.+ Engkau tidak henti-henti melacur.+ 26  Engkau melacur dengan jiranmu yang bernafsu buas, iaitu orang Mesir,+ dan engkau membuat Aku murka kerana engkau asyik melacur. 27  Sekarang Aku akan menghulurkan tangan-Ku dan menghukummu. Aku akan mengurangkan makananmu+ dan menyerahkan engkau kepada wanita-wanita yang membencimu,+ iaitu orang Filistin, yang berasa jijik terhadap perbuatan maksiatmu.+ 28  “‘Kerana engkau masih tidak puas, engkau melacur dengan orang Assyria.+ Tetapi setelah engkau melacurkan dirimu dengan mereka, engkau masih tidak puas. 29  Oleh itu, engkau lebih giat lagi melacur. Engkau menjadi pelacur di tanah Kanaan* dan melacur dengan orang Kasdim.+ Tetapi engkau masih tidak puas. 30  Betapa teruknya* hatimu!’* firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. ‘Engkau melakukan semua ini seperti seorang pelacur yang tidak tahu malu!+ 31  Tetapi meskipun engkau mendirikan tempat pemujaan di setiap jalan besar dan membuat tempat ibadat untuk dirimu di setiap dataran kota, engkau tidak seperti pelacur yang lain kerana engkau menolak bayaran. 32  Engkau ialah isteri yang curang terhadap suamimu dan berzina dengan orang yang tidak dikenali!+ 33  Semua pelacur mendapat hadiah daripada kekasih mereka,+ tetapi engkau pula memberikan hadiah kepada orang yang mengejarmu dengan penuh nafsu.+ Engkau memberikan rasuah kepada orang dari pelbagai tempat supaya mereka datang dan menidurimu.+ 34  Engkau jauh berbeza dengan wanita-wanita lain yang melacurkan diri. Tiada sesiapa yang melacurkan diri seperti engkau! Engkau tidak meminta bayaran, sebaliknya engkau yang memberikan bayaran. Caramu sungguh berbeza.’ 35  “Oleh itu, hai pelacur,+ dengarlah firman Yehuwa. 36  Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Engkau telah memuaskan nafsumu yang buas dan mendedahkan tubuhmu sewaktu engkau melacur dengan kekasihmu dan semua patung berhalamu yang jijik.*+ Engkau juga telah mempersembahkan darah anak-anak lelakimu kepada semua patung itu.+ 37  Maka Aku akan mengumpulkan semua kekasihmu yang telah engkau puaskan, baik kekasih yang engkau sukai mahupun kekasih yang engkau benci. Aku akan mengumpulkan mereka semua dari semua tempat untuk menentangmu. Aku akan mendedahkan tubuhmu kepada mereka, dan mereka akan melihat tubuhmu yang bogel.+ 38  “‘Aku akan menghukum engkau seperti orang menghukum wanita yang berzina+ dan wanita yang menumpahkan darah.+ Aku akan menumpahkan darahmu dengan rasa marah dan cemburu.+ 39  Aku akan menyerahkan engkau ke dalam tangan mereka. Mereka akan merobohkan tempat pemujaanmu dan tempat ibadatmu.+ Mereka akan menanggalkan pakaianmu+ dan merampas perhiasanmu yang indah.+ Engkau akan dibiarkan dalam keadaan yang bogel dan telanjang. 40  Mereka akan membawa sekumpulan orang kepada engkau,+ lalu engkau akan direjam dengan batu+ dan dibunuh dengan pedang.+ 41  Rumah-rumahmu akan dibakar dengan api,+ dan engkau akan dihukum di hadapan ramai wanita. Aku akan menghentikan pelacuranmu,+ dan engkau tidak akan memberikan bayaran lagi. 42  Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku sehingga Aku puas hati+ dan tidak marah lagi.+ Kemudian barulah Aku tenang dan tidak sakit hati.’ 43  “‘Engkau tidak ingat keadaanmu pada masa kecilmu+ dan engkau membuat Aku marah dengan melakukan semua hal ini. Itulah sebabnya sekarang engkau akan menerima padahnya,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, ‘dan engkau tidak akan meneruskan perbuatan maksiatmu. Engkau akan menghentikan semua amalanmu yang menjijikkan. 44  “‘Lihatlah! Semua orang akan menggunakan peribahasa ini apabila mereka terfikir tentang engkau: “Seperti ibunya, begitu juga anak perempuannya!”+ 45  Engkau seperti ibumu yang membenci suaminya dan anak-anaknya. Engkau seperti saudara-saudara perempuanmu yang membenci suami mereka dan anak-anak mereka. Ibumu orang Het, dan bapamu orang Amori.’”+ 46  “‘Kakakmu ialah Samaria,+ yang tinggal di sebelah utaramu* dengan anak-anak perempuannya.*+ Adik perempuanmu ialah Sodom,+ yang tinggal di sebelah selatanmu* dengan anak-anak perempuannya.+ 47  Engkau bukan sahaja mengikut haluan mereka dan amalan mereka yang menjijikkan, tetapi dalam masa yang singkat, engkau juga berkelakuan lebih jahat daripada mereka.+ 48  Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri,’ firman Yehuwa, Tuhan yang hidup, Tuhan Yang Berdaulat, ‘bahawa adikmu Sodom dan anak-anak perempuannya tidak pernah melakukan apa yang engkau lakukan dan apa yang telah dilakukan oleh anak-anak perempuanmu. 49  Lihatlah! Inilah kesalahan adikmu Sodom: Dia dan anak-anak perempuannya+ sombong.+ Makanan mereka berlimpah-limpah,+ dan mereka hidup senang-lenang.+ Biarpun begitu, mereka enggan membantu orang yang miskin dan hidup susah.+ 50  Mereka angkuh+ dan terus melakukan apa yang jijik di depan mata-Ku.+ Maka memang patut Aku membinasakan mereka.+ 51  “‘Dosa Samaria+ pun tidak sampai separuh daripada dosamu. Perbuatan jijikmu jauh lebih banyak daripada perbuatan jijik mereka. Engkau terus melakukan hal-hal yang jijik sehingga mereka kelihatan baik jika dibandingkan dengan engkau.+ 52  Sekarang engkau harus menanggung malu kerana engkau telah membela perbuatan kakakmu dan adikmu. Dosamu lebih berat daripada dosa mereka, dan mereka lebih baik daripadamu. Ya, engkau harus menanggung rasa hina dan malu kerana engkau telah membuat kakakmu dan adikmu kelihatan baik.’ 53  “‘Aku akan mengumpulkan orang yang telah ditawan, iaitu orang Sodom dan anak-anak perempuannya dan orang Samaria dan anak-anak perempuannya. Aku juga akan mengumpulkan orang dalam kalanganmu yang telah ditawan bersama-sama mereka+ 54  supaya engkau menanggung malu. Engkau akan berasa malu kerana engkau telah melegakan hati mereka dengan perbuatanmu. 55  Adikmu Sodom dan anak-anak perempuannya akan balik kepada keadaan asal mereka. Kakakmu Samaria dan anak-anak perempuannya juga akan balik kepada keadaan asal mereka. Demikian juga, engkau dan anak-anak perempuanmu akan balik kepada keadaan asal kamu.+ 56  Bukankah engkau langsung tidak menyebut tentang adikmu Sodom ketika engkau sombong, 57  iaitu sebelum kejahatanmu didedahkan?+ Sekarang orang di sekitarmu, iaitu orang Siria dan negeri-negeri jirannya serta orang Filistin,+ akan mencela dan menghinamu. 58  Engkau akan menanggung akibat daripada perbuatan maksiatmu dan amalanmu yang jijik,’ firman Yehuwa.” 59  “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Aku akan memperlakukan engkau sesuai dengan apa yang telah engkau lakukan,+ kerana engkau telah memungkiri janjimu* dan melanggar perjanjian-Ku.+ 60  Tetapi Aku akan ingat akan perjanjian yang telah Aku buat dengan engkau ketika engkau masih kecil, dan Aku akan membuat perjanjian yang kekal denganmu.+ 61  Engkau akan ingat akan perbuatanmu dan berasa malu+ apabila engkau mengalu-alukan kakak dan adik perempuanmu. Aku akan menyerahkan mereka kepadamu sebagai anak-anak perempuan, tetapi bukan kerana perjanjianmu.’ 62  “‘Aku akan membuat perjanjian denganmu, dan engkau pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa. 63  Kemudian apabila Aku mengampunkan segala dosamu,* engkau akan ingat perbuatanmu dan berasa sangat malu.+ Engkau tidak akan berani membuka mulutmu kerana engkau begitu malu,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.”

Nota Kaki

Atau “kulit anjing laut.”
Harfiah, “Namamu.”
Iaitu, patung-patung lelaki itu.
Atau “dengan menyuruh mereka melintasi api.”
Harfiah, “mengangkangkan kakimu.”
Atau “tanah para pedagang.”
Atau “lemahnya.”
Atau mungkin, “Betapa marahnya Aku terhadapmu!”
Lihat nota kaki bagi Yeh 6:4.
Harfiah, “di sebelah kirimu.”
Mungkin merujuk kepada pekan-pekan di sekelilingnya.
Harfiah, “di sebelah kananmu.”
Atau “sumpahmu.”
Atau “Aku menebus engkau.”