Yehezkiel 20:1-49

  • Sejarah tentang pemberontakan bangsa Israel (1-32)

  • Janji tentang pemulihan bangsa Israel (33-44)

  • Nubuat tentang selatan (45-49)

20  Pada hari ke-10, bulan kelima, tahun ketujuh, beberapa orang pemimpin Israel datang lalu duduk di hadapanku untuk meminta petunjuk daripada Yehuwa. 2  Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, 3  “Anak manusia, katakanlah kepada para pemimpin Israel itu, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan yang hidup, Tuhan Yang Berdaulat: “Adakah kamu datang untuk meminta petunjuk daripada-Ku? ‘Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri bahawa Aku tidak akan menjawab kamu,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.”’ 4  “Sudahkah engkau bersedia untuk menghakimi mereka? Wahai anak manusia, sudahkah engkau bersedia untuk menghakimi mereka? Beritahulah mereka tentang perbuatan jijik yang dilakukan oleh nenek moyang mereka.+ 5  Katakanlah kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Pada hari Aku memilih bangsa Israel,+ Aku juga bersumpah kepada keturunan Yakub, dan Aku mengizinkan mereka untuk mengenali-Ku di Mesir.+ Ya, Aku bersumpah kepada mereka dan berfirman, ‘Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’ 6  Pada hari itu, Aku bersumpah bahawa Aku akan membawa mereka keluar dari Mesir, dan memimpin mereka ke tanah yang telah Aku pilih bagi mereka, iaitu ke tanah yang melimpah dengan susu dan madu.+ Ya, tanah itu ialah tanah yang tercantik antara semua tanah. 7  Kemudian Aku berfirman kepada mereka, ‘Kamu haruslah membuang semua benda jijik yang ada di hadapanmu. Janganlah menajiskan diri kamu dengan berhala-berhala yang menjijikkan* dari Mesir.+ Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’+ 8  “‘“Tetapi mereka memberontak terhadap-Ku dan enggan mendengarkan firman-Ku. Mereka tidak membuang benda jijik yang ada di hadapan mereka dan tidak meninggalkan berhala-berhala dari Mesir yang menjijikkan.+ Oleh itu, Aku berjanji bahawa Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku terhadap mereka dan membiarkan mereka merasai kemurkaan-Ku di Mesir. 9  Namun, Aku bertindak demi nama-Ku agar nama-Ku tidak dicemuh oleh bangsa-bangsa dalam kalangan mereka.+ Aku telah membawa mereka keluar dari Mesir di hadapan bangsa-bangsa itu sehingga mereka* mengenal Aku kerana perbuatan-Ku itu.+ 10  Itulah sebabnya Aku membawa mereka keluar dari Mesir dan memimpin mereka ke padang belantara.+ 11  “‘“Kemudian Aku memberi mereka perintah-Ku dan ketetapan-Ku,+ yang memberikan hidup kepada sesiapa sahaja yang mematuhinya.+ 12  Aku juga menetapkan hari Sabat sebagai tanda antara Aku dengan mereka.+ Dengan demikian, mereka pasti akan tahu bahawa Aku, Yehuwa, telah menyucikan mereka. 13  “‘“Tetapi bangsa Israel memberontak terhadap-Ku di padang belantara.+ Mereka mengingkari perintah-Ku dan menolak ketetapan-Ku, yang memberikan hidup kepada sesiapa sahaja yang mematuhinya. Mereka sama sekali mencemarkan hari-hari Sabat-Ku. Maka Aku bersumpah bahawa Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku terhadap mereka di padang belantara untuk membinasakan mereka.+ 14  Aku bertindak demi nama-Ku supaya nama-Ku tidak dicemuh oleh bangsa-bangsa lain, yang telah menyaksikan bagaimana Aku membawa mereka* keluar dari Mesir.+ 15  Aku juga bersumpah di padang belantara bahawa Aku tidak akan membawa mereka ke tanah yang telah Aku berikan kepada mereka,+ iaitu tanah yang melimpah dengan susu dan madu,+ ya, tanah yang tercantik antara semua tanah. 16  Aku akan berbuat demikian kerana hati mereka tertarik dengan patung-patung berhala mereka yang menjijikkan, lalu mereka menolak ketetapan-Ku, mengingkari perintah-Ku, dan mencemarkan hari-hari Sabat-Ku.+ 17  “‘“Tetapi Aku mengasihani mereka. Maka Aku tidak membinasakan mereka, dan Aku tidak membunuh mereka di padang belantara. 18  Aku berfirman kepada anak-anak mereka di padang belantara,+ ‘Janganlah berpegang pada peraturan nenek moyang kamu.+ Jangan ikut hukum mereka, dan jangan najiskan diri kamu dengan patung-patung berhala yang menjijikkan. 19  Aku, Yehuwa, ialah Tuhan kamu. Patuhilah perintah-Ku dan turutilah ketetapan-Ku. Hendaklah kamu melakukan semua ini.+ 20  Sucikanlah hari-hari Sabat-Ku,+ kerana hari-hari itu ialah tanda antara Aku dengan kamu. Dengan demikian, kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’+ 21  “‘“Tetapi anak-anak mereka mula memberontak terhadap-Ku.+ Mereka tidak mematuhi ketetapan-Ku dan tidak melaksanakan perintah-Ku, yang memberikan hidup kepada sesiapa sahaja yang mematuhinya. Mereka juga mencemarkan hari-hari Sabat-Ku. Maka Aku bersumpah bahawa Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku terhadap mereka dan membiarkan mereka merasai kemurkaan-Ku di padang belantara.+ 22  Tetapi Aku menahan diri-Ku+ dan bertindak demi nama-Ku+ agar nama-Ku tidak dicemuh oleh bangsa-bangsa lain, yang telah menyaksikan bagaimana Aku menyelamatkan mereka.* 23  Aku juga bersumpah kepada mereka di padang belantara bahawa Aku akan mencerai-beraikan mereka dalam kalangan bangsa-bangsa lain di negeri asing,+ 24  kerana mereka mengingkari ketetapan-Ku dan menolak perintah-Ku. Mereka mencemarkan hari-hari Sabat-Ku, dan menyembah berhala-berhala jijik+ yang disembah oleh nenek moyang mereka.+ 25  Aku membiarkan mereka mengikut peraturan yang buruk dan ketetapan yang tidak dapat memberikan hidup.+ 26  Aku juga membiarkan mereka membakar anak-anak sulung mereka di dalam api.*+ Ya, Aku membiarkan mereka menajiskan diri dengan korban-korban mereka agar mereka binasa. Dengan demikian, mereka pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.”’ 27  “Oleh itu, wahai anak manusia, beritahulah bangsa Israel, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Nenek moyang kamu juga menghina Aku dengan cara yang sama. Mereka tidak setia kepada-Ku. 28  Aku membawa mereka ke tanah yang telah Aku janjikan kepada mereka.+ Tetapi apabila mereka nampak bukit-bukit tinggi dan pokok yang rimbun di situ,+ mereka mula mempersembahkan korban dan persembahan yang menjijikkan. Mereka mempersembahkan korban yang berbau harum* dan mencurahkan korban wain mereka di situ. 29  Maka Aku bertanya kepada mereka, ‘Mengapakah kamu pergi ke tempat tinggi ini? (Tempat itu masih dipanggil Tempat Tinggi sehingga hari ini.)’”’+ 30  “Sekarang katakanlah kepada bangsa Israel, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Adakah kamu menajiskan diri kamu seperti nenek moyang kamu yang tidak setia kepada-Ku* dan menyembah patung-patung berhala yang menjijikkan?+ 31  Kamu masih menajiskan dirimu sehingga hari ini. Ya, kamu masih mempersembahkan korban kepada berhala-berhala jijik kamu dengan membakar anak-anak lelaki kamu di dalam api.*+ Tetapi pada waktu yang sama, kamu datang untuk meminta petunjuk daripada-Ku. Patutkah Aku menjawab kamu, hai orang Israel?”’+ “‘Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri,’ firman Yehuwa, Tuhan yang hidup, Tuhan Yang Berdaulat, ‘bahawa Aku tidak akan menjawab kamu.+ 32  Kamu berfikir, “Marilah kita jadi seperti bangsa-bangsa lain, seperti keluarga-keluarga di negeri asing, yang menyembah kayu dan batu.”+ Tetapi hal itu pasti tidak akan berlaku.’” 33  “‘Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri,’ firman Yehuwa, Tuhan yang hidup, Tuhan Yang Berdaulat, ‘bahawa Aku akan menjadi raja yang memerintah kamu dengan tangan-Ku yang perkasa, dengan lengan-Ku yang terentang, dan dengan rasa marah yang meluap-luap.+ 34  Aku akan mengumpulkan kamu daripada bangsa-bangsa lain dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri tempat kamu tercerai-berai. Aku akan berbuat demikian dengan tangan-Ku yang perkasa, dengan lengan-Ku yang terentang, dan dengan rasa marah yang meluap-luap.+ 35  Aku akan membawa kamu ke padang belantara bangsa-bangsa, dan Aku akan bersemuka dengan kamu di sana lalu Aku akan menghakimi kamu.+ 36  “‘Sebagaimana Aku menghakimi nenek moyang kamu di padang belantara Mesir, Aku juga akan menghakimi kamu,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. 37  ‘Aku akan menyuruh kamu lalu di bawah tongkat gembala+ dan Aku akan membawa kamu dalam ikatan perjanjian. 38  Aku akan menyingkirkan orang dalam kalangan kamu yang memberontak dan berdosa terhadap-Ku.+ Aku akan membawa mereka keluar dari tempat mereka tinggal sebagai orang asing, tetapi mereka tidak akan masuk ke dalam negeri Israel.+ Demikianlah kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’ 39  “Hai bangsa Israel, inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Pergilah! Sembahlah berhala kamu yang menjijikkan!+ Selepas itu, meskipun kamu enggan mendengar firman-Ku, kamu tidak dapat mencemarkan nama suci-Ku dengan korban-korbanmu dan berhala-berhalamu yang menjijikkan.’+ 40  “‘Di gunung suci-Ku, iaitu di atas sebuah gunung yang tinggi di Israel,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, ‘seluruh bangsa Israel akan menyembah Aku, dan Aku akan berkenan kepada mereka di sana.+ Kamu harus memberi Aku sumbangan dan pemberian kamu yang terbaik, iaitu semua persembahan kamu yang suci.+ 41  Oleh sebab kamu mempersembahkan korban berbau harum yang menyenangkan hati-Ku, Aku akan berkenan kepada kamu semasa Aku mengumpulkan kamu daripada bangsa-bangsa lain dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri tempat kamu tercerai-berai.+ Dengan demikian, Aku akan menyatakan kesucian-Ku di hadapan bangsa-bangsa lain.’+ 42  “‘Kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa+ apabila Aku membawa kamu ke negeri Israel,+ iaitu negeri yang telah Aku janjikan kepada nenek moyang kamu. 43  Di sana, kamu akan ingat segala perbuatan dan tindakan kamu yang telah menajiskan diri kamu.+ Kamu akan membenci diri kamu sendiri kerana segala kejahatan yang kamu lakukan itu.+ 44  Wahai bangsa Israel, Aku akan bertindak demi nama-Ku+ dan tidak memperlakukan kamu setimpal dengan perbuatan kamu yang jahat dan kejam. Dengan demikian, kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.” 45  Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi, 46  “Anak manusia, lihatlah ke arah selatan dan buatlah pengumuman ke arah itu. Bernubuatlah kepada hutan di kawasan selatan. 47  Katakanlah kepada hutan itu, ‘Dengarlah firman Yehuwa. Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Aku akan menyalakan api yang akan membakar setiap pokok di dalammu,+ baik pokok yang hijau mahupun pokok yang kering. Api yang membara ini tidak akan dipadamkan,+ dan semua orang dari selatan sampai ke utara akan merasai bahang api itu. 48  Semua orang akan tahu bahawa Aku, Yehuwa, telah menyalakan api itu sehingga tidak dapat dipadamkan.”’”+ 49  Aku berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat! Mereka berkata bahawa aku selalu bercakap dalam bahasa kiasan.”

Nota Kaki

Lihat nota kaki bagi Yeh 6:4.
Iaitu, orang Israel.
Iaitu, orang Israel.
Iaitu, orang Israel.
Atau “menyuruh anak-anak sulung mereka melintasi api.”
Atau “yang menyenangkan hati.”
Atau “yang melakukan pelacuran rohani.”
Atau “dengan menyuruh anak-anak lelaki kamu melintasi api.”