Yehezkiel 22:1-31

  • Yerusalem, kota yang berhutang darah (1-16)

  • Israel seperti sisa leburan yang tidak bernilai (17-22)

  • Bangsa Israel dan pemimpin mereka dikutuk (23-31)

22  Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi,  “Anak manusia, sudahkah engkau bersedia untuk mengumumkan penghakiman atas kota+ yang penuh dengan hutang darah itu? Sudahkah engkau bersedia untuk memberitahu kota itu segala perbuatan jijiknya?+  Hendaklah engkau berkata, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Wahai kota yang penuh dengan hutang darah,+ masamu sudah dekat!+ Engkau telah mencemarkan dirimu dengan membuat patung-patung berhala yang menjijikkan.*+  Engkau berdosa kerana engkau telah menumpahkan darah.+ Engkau menjadi najis kerana berhala-berhalamu yang menjijikkan.+ Akhirmu sudah dekat. Engkau sendiri telah mempercepat saat penghakimanmu. Itulah sebabnya Aku akan membuat engkau menjadi bahan hinaan dan ejekan bangsa-bangsa di serata bumi.+  Namamu tercemar dan engkau penuh dengan kekacauan.+ Oleh itu, semua negeri, baik yang dekat mahupun yang jauh, akan mengejek engkau.  Hai Yerusalem, lihatlah! Semua pemimpin Israel di dalammu menggunakan kuasa mereka untuk menumpahkan darah.+  Pendudukmu menghina ibu bapa mereka.+ Mereka menipu penduduk asing, dan menindas balu dan anak yatim.”’”+  “‘Engkau menghina tempat-tempat suci-Ku dan mencemarkan hari-hari Sabat-Ku.+  Dalam kalangan pendudukmu, ada pemfitnah yang suka menumpahkan darah.+ Mereka makan makanan yang telah dipersembahkan di atas gunung-gunungmu dan melakukan maksiat.+ 10  Di dalammu, ada orang yang meniduri isteri bapa mereka.+ Ada juga yang meniduri wanita yang datang haid, yang berada dalam keadaan najis.+ 11  Selain itu, ada lelaki yang melakukan perbuatan yang jijik dengan isteri orang lain.+ Ada juga yang menodai menantu perempuannya dengan perbuatan maksiat,+ dan ada yang meniduri kakak atau adiknya, iaitu anak perempuan bapanya.+ 12  Tambahan lagi, ada yang menerima rasuah untuk membunuh orang.+ Engkau meminjamkan wang+ dan mengenakan faedah untuk mengaut keuntungan.+ Engkau memeras ugut orang untuk mendapatkan wang. Ya, engkau sudah melupakan Aku sama sekali,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. 13  “‘Lihatlah! Aku berasa jijik terhadap engkau kerana engkau mengaut keuntungan secara tidak jujur dan kerana engkau membunuh orang. 14  Adakah engkau akan tetap berani* atau adakah tanganmu akan kekal kuat apabila Aku menghukummu?+ Aku, Yehuwa, telah berfirman dan Aku akan melakukan apa yang telah Aku firmankan. 15  Aku akan mencerai-beraikan engkau dalam kalangan bangsa-bangsa lain di negeri asing,+ dan Aku akan menghentikan perbuatan najis engkau.+ 16  Engkau akan dimalukan di hadapan bangsa-bangsa, dan engkau pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’”+ 17  Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi, 18  “Anak manusia, bangsa Israel telah menjadi seperti sisa leburan yang tidak berharga di mata-Ku. Mereka seperti tembaga, timah putih, besi, dan timah hitam* yang tersisa selepas perak dimurnikan di dalam relau.+ 19  “Oleh itu, inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Oleh sebab kamu semua telah menjadi seperti sisa leburan yang tidak bernilai,+ Aku akan mengumpulkan kamu di dalam kota Yerusalem. 20  Sebagaimana orang mengumpulkan perak, tembaga, besi, timah hitam, dan timah putih di dalam relau dan menghembuskan api untuk meleburkannya, demikian juga Aku akan mengumpulkan kamu dengan rasa marah lalu Aku akan menghembuskan api kemarahan-Ku untuk meleburkan kamu.+ 21  Ya, Aku akan mengumpulkan kamu semua dan menghembuskan api kemarahan-Ku+ supaya kamu lebur di dalam kota itu.+ 22  Sebagaimana perak dileburkan di dalam relau, demikian juga kamu akan dileburkan di dalam kota itu. Kamu akan tahu bahawa Aku, Yehuwa, telah melampiaskan kemarahan-Ku terhadapmu.’” 23  Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi, 24  “Anak manusia, beritahulah kota itu, ‘Engkau seperti tanah yang kotor, yang tidak mendapat hujan pada hari Tuhan menjatuhkan hukuman. 25  Nabi-nabimu telah berkomplot di dalammu.+ Mereka seperti singa yang mengaum semasa mencabik mangsanya.+ Mereka membunuh orang, merampas harta dan barangan bernilai, serta menyebabkan banyak wanita menjadi balu. 26  Imam-imammu melanggar hukum-Ku,+ dan mereka selalu mencemarkan tempat-tempat suci-Ku.+ Mereka tidak membezakan apa yang suci daripada apa yang tidak suci.+ Mereka tidak mengajarkan perbezaan antara apa yang bersih dengan apa yang najis.+ Mereka enggan menyambut hari-hari Sabat-Ku, dan mereka menghina Aku. 27  Para pemimpinmu seperti serigala yang menerkam mangsanya. Mereka menumpahkan darah dan membunuh orang untuk mengaut keuntungan dengan cara yang tidak jujur,+ 28  tetapi nabi-nabimu telah menyembunyikan perbuatan jahat mereka seperti orang menyapu cat putih pada dinding yang rosak. Nabi-nabimu mendapat penglihatan yang palsu dan membuat ramalan+ yang tidak benar. Mereka juga berkata, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat,” padahal Yehuwa tidak berfirman kepada mereka. 29  Penduduk negerimu memperdaya orang dan merompak.+ Mereka menindas orang yang miskin dan berkekurangan. Mereka juga memperdaya orang asing dan memperlakukan mereka dengan tidak adil.’ 30  “‘Aku mencari seorang lelaki dalam kalangan mereka yang akan membaiki tembok batu, atau yang akan berdiri di hadapan-Ku, di bahagian tembok yang sudah runtuh, supaya negeri itu tidak binasa,+ tetapi Aku tidak menemui seorang pun. 31  Maka Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku terhadap mereka dan membinasakan mereka dengan api kemarahan-Ku. Aku akan memperlakukan mereka setimpal dengan perbuatan mereka sendiri,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.”

Nota Kaki

Lihat nota kaki bagi Yeh 6:4.
Atau “Adakah hatimu akan tetap bertahan?”
Atau “plumbum.”