Yehezkiel 25:1-17

  • Nubuat tentang Ammon (1-7)

  • Nubuat tentang Moab (8-11)

  • Nubuat tentang Edom (12-14)

  • Nubuat tentang Filistia (15-17)

25  Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi,  “Anak manusia, pandanglah ke arah orang Ammon,+ dan bernubuatlah kepada mereka.+  Berkenaan mereka, engkau harus berkata, ‘Dengarlah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Sewaktu tempat suci-Ku dicemari, sewaktu negeri Israel menjadi gersang, dan sewaktu bangsa Yehuda dibuang negeri, kamu telah berkata ‘Baguslah!’  Oleh itu, Aku akan menyerahkan kamu ke dalam tangan penduduk daerah Timur, dan kamu akan menjadi milik mereka. Mereka akan mendirikan khemah dan membina petempatan di negeri kamu. Mereka akan makan hasil tanah kamu dan minum susu ternakan kamu.  Kota Raba+ akan Aku jadikan tempat menggembala unta dan negeri orang Ammon akan Aku jadikan tempat rehat bagi ternakan, supaya kamu tahu bahawa Akulah Yehuwa.”’”  “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Kamu telah menghina negeri Israel dengan bertepuk tangan,+ menghentakkan kaki, dan bersukacita atas apa yang telah menimpa mereka.+  Oleh itu, Aku akan menghulurkan tangan-Ku dan menyerahkan kamu kepada bangsa-bangsa yang akan menjarah segala milik kamu. Aku akan membinasakan kamu sehingga bangsa kamu lenyap dan kamu tidak mempunyai negeri sendiri.+ Aku akan memusnahkan kamu, dan kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’  “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Kerana orang Moab+ dan Seir+ telah berkata, “Lihatlah! Bangsa Yehuda sama seperti bangsa-bangsa yang lain,”  Aku akan membiarkan musuh menyerang kota-kota di sempadan* Moab, termasuk kota-kota yang terbaik, iaitu Bet-yesimot, Baal-meon, dan bahkan Kiryataim.+ 10  Aku akan menyerahkan Moab dan Ammon kepada penduduk daerah Timur,+ dan orang Ammon tidak akan diingati lagi oleh bangsa-bangsa lain.+ 11  Aku juga akan melaksanakan penghakiman-Ku terhadap Moab,+ dan mereka pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’ 12  “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Edom telah membalas dendam terhadap bangsa Yehuda, dan perbuatan mereka itu ialah dosa yang besar.+ 13  Oleh itu, Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, berfirman, “Aku juga akan menghulurkan tangan-Ku untuk memusnahkan Edom. Aku akan membunuh orang Edom dan ternakan mereka, supaya negeri mereka menjadi gersang.+ Penduduk mereka dari Teman sampai ke Dedan akan dibunuh dengan pedang.+ 14  ‘Aku akan menggunakan umat-Ku Israel untuk melakukan pembalasan terhadap Edom.+ Mereka akan membuat Edom merasai kemarahan-Ku dan kemurkaan-Ku, dan Edom akan tahu bagaimana rasanya apabila Aku melakukan pembalasan,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.”’ 15  “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Orang Filistin selalu memusuhi Israel. Orang Filistin membenci mereka, dan mencari peluang untuk membalas dendam dan memusnahkan mereka.+ 16  Oleh itu, Aku Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, berfirman, “Aku akan menghulurkan tangan-Ku dan menyerang orang Filistin.+ Aku akan memusnahkan orang Kreti+ dan membinasakan setiap orang yang masih hidup di persisiran pantai.+ 17  Aku akan melakukan pembalasan terhadap mereka dan menghukum mereka dengan marah. Apabila mereka merasai pembalasan-Ku, mereka pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.”’”

Nota Kaki

Atau “menyerang lereng.”