Yehezkiel 26:1-21

  • Nubuat tentang Tirus (1-21)

    • Tempat untuk menjemur jala (5, 14)

    • Batu dan tanah dibuang ke dalam air (12)

26  Pada hari pertama tahun ke-11, Yehuwa berfirman kepadaku, 2  “Anak manusia, Tirus telah berkata tentang Yerusalem,+ ‘Kini pintu gerbang bangsa-bangsa sudah musnah!+ Baguslah! Inilah peluang keemasan aku. Aku akan menjadi kaya!’ 3  Oleh itu, Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat berfirman, ‘Hai Tirus, Aku akan menentang engkau. Aku akan membawa banyak bangsa untuk menyerang engkau. Mereka akan datang seperti ombak yang tidak henti-henti. 4  Mereka akan merobohkan tembokmu dan memusnahkan menara-menaramu.+ Aku akan mengikis tanahmu dan menjadikan engkau sebuah batu yang gondol dan licin. 5  Engkau akan menjadi seperti tempat di tengah laut yang digunakan untuk menjemur jala.’+ “‘Memandangkan Aku telah mengatakannya,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, ‘engkau pasti akan dijarah oleh bangsa-bangsa. 6  Pendudukmu yang tinggal di desa akan dibunuh dengan pedang, dan orang pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’ 7  “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Hai Tirus, Aku akan menyuruh Raja Nebukadnezar* dari Babilon untuk menyerang engkau dari arah utara.+ Raja yang agung+ itu akan datang dengan kuda-kuda,+ kereta kuda,+ pasukan berkuda, dan angkatan tentera yang sangat besar. 8  Dengan pedang, dia akan membinasakan pendudukmu yang tinggal di desa. Dia akan membina sebuah tembok, membuat timbunan tanah, dan menyusun perisai untuk melawan engkau. 9  Dia akan memecahkan tembok engkau dengan kayu pelantaknya,* dan merobohkan menara-menara engkau dengan kapaknya.* 10  Dia akan membawa kuda yang sangat banyak sehingga engkau akan ditutupi debu. Apabila dia memasuki pintu gerbangmu, bunyi deruman pasukan berkudanya, kereta-kereta kudanya, dan roda-rodanya akan menyebabkan tembok kotamu bergoncang. Mereka seperti pasukan tentera yang menyerbu kota yang temboknya telah runtuh. 11  Kaki kuda-kudanya akan memijak-mijak semua jalanmu.+ Dia akan membunuh pendudukmu dengan pedang, dan semua tiangmu yang besar akan dijatuhkan. 12  Mereka akan merampas harta milikmu, menjarah semua barang niagamu,+ merobohkan tembok-tembokmu, dan menghancurkan rumah-rumah mewahmu. Kemudian mereka akan membuang batu, kayu, dan tanahmu ke dalam air.’ 13  “‘Aku akan menghentikan nyanyianmu, dan bunyi kecapimu tidak akan kedengaran lagi.+ 14  Engkau akan menjadi seperti sebuah batu yang licin dan gondol, dan engkau akan menjadi tempat untuk menjemur jala.+ Engkau tidak akan dibina semula lagi kerana Aku, Yehuwa, telah mengatakannya,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. 15  “Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, berfirman kepada Tirus, ‘Bukankah pulau-pulau akan menggigil apabila mereka mendengar bunyi kejatuhanmu, apabila orang dibunuh di dalammu, dan apabila orang yang hampir mati mengeluh?+ 16  Semua pemimpin laut akan turun dari takhta mereka lalu menanggalkan pakaian yang bersulam dan jubah* mereka. Mereka akan menggigil ketakutan. Mereka akan duduk di tanah dan memandangmu dengan terkejut sehingga mereka tidak henti-henti menggigil.+ 17  Mereka akan menyanyikan lagu ratapan+ bagimu. Inilah lagu mereka: “Wahai kota yang terpuji, dahulu engkau dan pendudukmu menguasai laut,+Dan engkau menakutkan semua penduduk bumi! Tetapi kini engkau sudah musnah+ dan tidak lagi didiami oleh orang dari laut. 18  Pulau-pulau akan menggigil ketakutan pada hari kejatuhanmu,Pulau-pulau di laut akan gelisah apabila engkau sudah tiada.”’+ 19  “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Aku akan memusnahkan engkau dan menjadikan engkau seperti kota yang tidak berpenduduk, dan Aku akan menutupi engkau dengan air yang banyak sehingga engkau tenggelam.+ Pada masa itu, 20  Aku akan membawa engkau bersama orang lain ke kuburan, iaitu ke tempat orang yang telah mati pada zaman dahulukala. Engkau akan tinggal di tempat yang paling dalam bersama orang yang turun ke kuburan.+ Tempat itu seperti tempat-tempat yang telah lama dimusnahkan, dan engkau tidak akan didiami. Kemudian Aku akan memuliakan* tempat tinggal orang yang hidup. 21  “‘Aku akan membawa malapetaka kepada engkau secara tiba-tiba, dan engkau akan lenyap.+ Orang akan mencari-cari engkau, tetapi engkau tidak akan ditemui lagi,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.”

Nota Kaki

Harfiah, “Nebukadrezar,” ejaan lain bagi nama ini.
Atau “dengan mesin yang digunakan untuk merobohkan tembok.”
Atau “pedangnya.”
Atau “jubah tidak berlengan.”
Atau “menghiasi.”