Yehezkiel 34:1-31
34 Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi,
2 “Anak manusia, bernubuatlah tentang gembala-gembala Israel. Bernubuatlah dan katakanlah kepada para gembala itu, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Malanglah gembala-gembala Israel!+ Kamu hanya mengenyangkan perut sendiri. Bukankah kamu harus memberikan makanan kepada kawanan kamu?+
3 Kamu menyembelih binatang yang paling gemuk, makan lemaknya, dan menggunakan bulunya untuk dijadikan pakaian kamu.+ Tetapi kamu tidak memberikan makanan kepada kawanan itu.+
4 Kamu tidak menguatkan yang lemah, atau mengubati yang sakit, atau membalut yang luka, atau membawa pulang yang sesat,+ atau mencari yang hilang. Sebaliknya, kamu memperlakukan kawanan itu dengan kejam dan zalim.+
5 Oleh itu, biri-biri itu tercerai-berai kerana tidak mempunyai gembala.+ Ya, kawanan itu tercerai-berai di padang dan menjadi makanan binatang buas.
6 Biri-biri-Ku berkeliaran di semua gunung dan bukit yang tinggi, dan tercerai-berai ke seluruh muka bumi. Tiada seorang pun mencari atau berusaha untuk mendapatkan biri-biri-Ku.
7 “‘“Hai para gembala, dengarlah firman Yehuwa,
8 ‘“Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri,” firman Yehuwa, Tuhan yang hidup, Tuhan Yang Berdaulat, “bahawa Aku akan bertindak kerana biri-biri-Ku telah menjadi mangsa dan makanan bagi binatang buas di padang, kerana biri-biri-Ku tidak mempunyai gembala, dan kerana para gembala-Ku tidak mencari biri-biri-Ku. Sebaliknya mereka asyik mengenyangkan perut sendiri dan tidak memberikan makanan kepada biri-biri-Ku.”’
9 Maka hai para gembala, dengarlah firman Yehuwa.
10 Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Aku akan menentang para gembala itu. Aku tidak lagi membenarkan mereka memberikan makanan* kepada biri-biri-Ku,+ dan Aku akan mengambil biri-biri-Ku daripada mereka.* Mereka tidak akan mengenyangkan perut mereka lagi. Aku akan menyelamatkan biri-biri-Ku daripada mulut mereka, dan biri-biri-Ku tidak akan menjadi makanan mereka lagi.’”
11 “‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Lihatlah! Aku sendiri akan mencari biri-biri-Ku, dan Aku akan menjaga mereka.+
12 Aku akan menjaga biri-biri-Ku seperti seorang gembala yang menjaga dan mengumpulkan biri-birinya yang tercerai-berai serta memberikan makanan kepada mereka.+ Pada hari yang berawan dan gelap-gelita, biri-biri-Ku tercerai-berai ke merata tempat. Namun, Aku akan menyelamatkan mereka dari semua tempat itu.+
13 Aku akan membawa mereka kembali daripada bangsa-bangsa dan dari negeri-negeri lain. Aku akan mengumpulkan mereka dan membawa mereka ke negeri mereka. Aku akan memberikan makanan kepada mereka di atas gunung-gunung Israel,+ di tempat yang berhampiran anak-anak sungai, dan di tempat yang boleh didiami di negeri itu.
14 Aku akan memberikan makanan kepada mereka di padang rumput yang baik,+ dan mereka akan meragut rumput di gunung-gunung Israel yang tinggi.+ Di situ, mereka akan berbaring dan makan rumput yang terbaik.”
15 “‘“Aku sendiri yang akan memberikan makanan kepada biri-biri-Ku+ dan memberi mereka tempat untuk berehat,”+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.
16 “Yang hilang akan Aku cari,+ yang sesat akan Aku bawa pulang, yang luka akan Aku balut, dan yang lemah akan Aku kuatkan. Tetapi yang gemuk dan yang kuat akan Aku binasakan. Aku akan menghakimi mereka dan menghukum mereka setimpal dengan perbuatan mereka.”
17 “‘Hai kawanan-Ku, inilah firman-Ku, Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Aku akan menghakimi biri-biri-Ku. Aku juga akan menghakimi biri-biri jantan dan kambing jantan.+
18 Tidak puaskah kamu makan rumput di padang rumput yang terbaik? Mengapakah kamu menginjak-injak rumput yang tidak dimakan? Selepas meminum air yang paling jernih, mengapakah kamu mengeruhkan air yang tidak diminum dengan menginjak-injaknya?
19 Haruskah biri-biri-Ku makan rumput yang telah kamu injak-injak dan minum air yang telah kamu keruhkan dengan kaki kamu?”
20 “‘Oleh itu Aku, Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, berfirman kepada mereka, “Lihatlah! Aku sendiri akan menjadi hakim antara biri-biri yang gemuk dengan biri-biri yang kurus.
21 Kamu menggunakan sisimu, bahumu, dan tandukmu untuk menolak biri-biri yang sakit sehingga mereka tercerai-berai ke tempat lain.
22 Tetapi Aku akan menyelamatkan biri-biri-Ku, dan mereka tidak akan menjadi mangsa lagi.+ Aku akan menghakimi biri-biri-Ku,
23 dan melantik seseorang untuk menjadi gembala mereka.+ Aku akan melantik hamba-Ku Daud+ untuk menjadi gembala mereka, dan dia akan memberi mereka makan. Ya, dia sendiri yang akan memberikan makanan kepada mereka dan menjadi gembala mereka.+
24 Aku, Yehuwa, akan menjadi Tuhan mereka,+ dan hamba-Ku Daud akan menjadi pemimpin mereka.+ Aku, Yehuwa, telah berfirman.
25 “‘“Aku akan membuat perjanjian damai dengan mereka.+ Aku akan mengusir semua binatang buas di negeri itu+ supaya mereka dapat tidur di hutan dan hidup di padang belantara dengan aman.+
26 Aku akan menyebabkan mereka dan kawasan di sekeliling bukit-Ku menjadi berkat.+ Aku juga akan menurunkan hujan tepat pada waktunya, dan berkat akan dicurahkan bagaikan air hujan.+
27 Pokok-pokok di ladang akan berbuah dan tanahnya akan mengeluarkan hasil.+ Mereka akan tinggal di negeri itu dengan aman. Apabila Aku mematahkan kuk mereka dan menyelamatkan mereka daripada perhambaan,+ barulah mereka akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.
28 Mereka tidak akan ditawan oleh bangsa-bangsa, dan binatang buas di bumi tidak akan membaham mereka. Sebaliknya, mereka akan tinggal dengan aman dan tidak ada sesiapa yang akan membuat mereka berasa takut.+
29 “‘“Aku akan memberikan sebuah ladang yang subur kepada mereka. Mereka tidak akan mati kebuluran di negeri itu+ dan tidak akan dimalukan oleh bangsa-bangsa lain.+
30 ‘Kemudian mereka akan tahu bahawa Aku menyertai mereka. Akulah Yehuwa, Tuhan mereka, dan umat Israel ialah umat-Ku,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.”’
31 “‘Wahai biri-biri-Ku,+ Aku mengambil berat terhadap kamu. Kamu hanyalah manusia biasa, tetapi Akulah Tuhan kamu,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.”