Yehezkiel 35:1-15

  • Nubuat tentang pergunungan Seir (1-15)

35  Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi,  “Anak manusia, pandanglah ke arah pergunungan Seir+ dan bernubuatlah tentangnya.+  Katakanlah, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Hai pergunungan Seir, Aku akan melawan engkau. Aku akan menghulurkan tangan-Ku untuk menentang engkau dan menjadikan engkau tanah yang tandus dan gersang.+  Aku akan menyebabkan kota-kotamu menjadi reruntuhan, dan engkau akan menjadi tanah yang tandus dan gersang.+ Barulah engkau akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.  Engkau sentiasa memusuhi umat Israel,+ dan semasa mereka ditimpa bencana, iaitu pada waktu mereka menerima hukuman terakhir, engkau membiarkan mereka dibunuh.”’+  “‘Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri,’ firman Yehuwa, Tuhan yang hidup, Tuhan Yang Berdaulat, ‘bahawa Aku akan menyebabkan darahmu ditumpahkan, dan maut* akan memburumu.+ Ya, maut akan memburumu kerana engkau membenci darah orang yang engkau tumpahkan.+  Aku akan menyebabkan kawasan pergunungan Seir menjadi tandus dan gersang,+ dan Aku akan membunuh sesiapa sahaja yang lalu di sana dan datang dari sana.  Aku akan memenuhi pergunungan itu dengan mayat. Mayat orang yang telah dibunuh dengan pedang akan bergelimpangan di bukitmu, di lembahmu, dan di semua anak sungaimu.  Aku akan menjadikan negerimu tandus dan gersang buat selama-lamanya. Tidak ada sesiapa pun yang akan tinggal di kota-kotamu,+ dan kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’ 10  “Meskipun Aku, Yehuwa, ada di situ, engkau berkata, ‘Kedua-dua bangsa dan kedua-dua negeri ini akan menjadi milikku. Kita akan menaklukinya.’+ 11  ‘Maka Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri,’ firman Yehuwa, Tuhan yang hidup, Tuhan Yang Berdaulat, ‘bahawa Aku akan memperlakukan engkau sesuai dengan kemarahan, kebencian, dan kecemburuan yang engkau tunjukkan terhadap mereka.+ Aku akan membuat mereka mengenali-Ku ketika Aku menghakimi engkau. 12  Pada masa itu, engkau akan tahu bahawa Aku, Yehuwa, telah mendengar semua hinaan yang telah engkau lontarkan terhadap gunung-gunung Israel. Engkau telah berkata, “Tanah mereka sudah menjadi gersang dan sekaranglah peluang kita untuk membinasakan mereka.” 13  Kamu semua bercakap besar di hadapan-Ku, dan tidak henti-henti menghina Aku.+ Aku telah mendengar semua kata-kata kamu.’ 14  “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Seluruh bumi akan bersorak-sorai semasa Aku menjadikan engkau tempat yang tandus dan gersang, 15  kerana engkau bersorak-sorai semasa warisan bangsa Israel menjadi gersang. Wahai pergunungan Seir, demikianlah caranya Aku akan memperlakukan engkau.+ Ya, seluruh Edom+ akan menjadi reruntuhan yang terbiar dan orang pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’”

Nota Kaki

Atau “pertumpahan darah.”