Yehezkiel 37:1-28

  • Penglihatan tentang lembah yang dipenuhi tulang (1-14)

  • Dua batang kayu yang akan digabungkan (15-28)

    • Satu bangsa dipimpin oleh seorang raja (22)

    • Perjanjian damai yang kekal buat selama-lamanya (26)

37  Yehuwa mencurahkan kuasa suci-Nya ke atas aku,* lalu kuasa suci Yehuwa membawa aku ke tengah-tengah sebuah dataran+ yang penuh dengan tulang. 2  Dia membawa aku mengelilingi dataran itu. Aku nampak banyak sekali tulang bertaburan di dataran itu, dan tulang-tulang itu sangat kering.+ 3  Dia bertanya kepadaku, “Anak manusia, dapatkah tulang-tulang ini hidup semula?” Aku menjawab, “Hanya Engkaulah yang tahu jawapannya, ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.”+ 4  Oleh itu, Dia berfirman kepadaku, “Bernubuatlah tentang tulang-tulang itu dan katakanlah, ‘Hai tulang-tulang kering, dengarlah firman Yehuwa: 5  “‘Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, berfirman kepada kamu, “Aku akan menghembuskan nafas ke dalam kamu supaya kamu dapat hidup semula.+ 6  Aku akan memberi kamu urat dan daging, dan Aku juga akan memberi kamu kulit. Aku akan memberi kamu nafas dan kamu akan hidup semula. Barulah kamu akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.”’” 7  Aku pun bernubuat seperti yang telah disuruh. Sebaik sahaja aku bernubuat, aku mendengar bunyi derak-derik, dan tulang-tulang itu mula bersambung antara satu sama lain. 8  Lalu aku nampak tulang-tulang itu mula berurat dan berdaging, serta diliputi kulit, tetapi belum bernafas. 9  Kemudian Tuhan berfirman kepadaku, “Bernubuatlah kepada angin. Wahai anak manusia, bernubuatlah dan katakanlah kepada angin, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Hai angin,* datanglah dari keempat-empat arah dan bertiuplah ke arah orang yang telah dibunuh itu supaya mereka dapat hidup semula.”’” 10  Aku pun bernubuat seperti yang telah disuruh. Nafas itu pun masuk ke dalam tulang-tulang itu, dan mereka mula hidup dan berdiri.+ Mereka seperti sebuah pasukan tentera yang sangat besar. 11  Kemudian Tuhan berfirman kepadaku, “Anak manusia, tulang-tulang ini ialah seluruh bangsa Israel.+ Mereka berkata, ‘Tulang-tulang kami kering, dan harapan kami sudah lenyap.+ Kami sudah ditinggalkan.’ 12  Jadi bernubuatlah dan katakanlah kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Wahai umat-Ku, Aku akan membuka kuburan kamu+ dan membangkitkan kamu dari situ. Aku akan membawa kamu ke negeri Israel.+ 13  Wahai umat-Ku, kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa apabila Aku membuka kuburan kamu dan membangkitkan kamu dari situ.”’+ 14  ‘Aku akan menghembuskan nafas-Ku ke dalam* kamu dan kamu akan hidup semula,+ lalu Aku akan menempatkan kamu di negeri kamu. Kamu akan tahu bahawa Aku, Yehuwa, telah berfirman, dan Aku telah melaksanakannya,’ firman Yehuwa.” 15  Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi, 16  “Anak manusia, ambillah sebatang kayu dan tuliskan kata-kata ini di atasnya, ‘Untuk Yehuda dan orang Israel yang ada bersamanya.’+ Kemudian ambillah sebatang kayu lagi dan tuliskan kata-kata ini di atasnya, ‘Untuk Yusuf, iaitu Efraim, dan seluruh bangsa Israel yang ada bersamanya.’+ 17  Kemudian gabungkanlah kedua-dua batang kayu itu supaya menjadi satu.+ 18  Apabila bangsamu berkata kepada engkau, ‘Beritahulah kami erti semua ini!’ 19  beritahulah mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Aku akan mengambil kayu Yusuf, iaitu kayu di dalam tangan Efraim, dan suku-suku Israel yang ada bersamanya, lalu Aku akan menggabungkan kayu itu dengan kayu Yehuda. Aku akan menggabungkan kedua-dua batang kayu itu+ supaya menjadi satu di dalam tangan-Ku.”’ 20  Peganglah kayu-kayu yang mengandungi tulisanmu itu supaya orang dapat melihatnya. 21  “Selepas itu, beritahulah mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Aku akan mengumpulkan orang Israel yang berada dalam kalangan bangsa-bangsa. Ya, Aku akan mengumpulkan mereka dari setiap arah dan membawa mereka ke negeri mereka.+ 22  Aku akan menyatukan mereka di negeri mereka,+ iaitu di pergunungan Israel, dan mereka akan dipimpin oleh seorang raja.+ Mereka tidak akan menjadi dua bangsa lagi, dan tidak akan terbahagi kepada dua kerajaan lagi.+ 23  Mereka tidak lagi menajiskan diri dengan dosa-dosa mereka, dan dengan berhala-berhala yang jijik* dan amalan yang jijik.+ Aku akan membebaskan mereka daripada dosa mereka yang menyebabkan mereka tidak setia kepada Aku, dan Aku akan menyucikan mereka. Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Tuhan mereka.+ 24  “‘“Hamba-Ku Daud akan menjadi raja mereka,+ dan mereka akan dipimpin oleh seorang gembala.+ Mereka akan mematuhi ketetapan-Ku dan menuruti perintah-Ku dengan teliti.+ 25  Mereka akan tinggal di negeri yang telah Aku berikan kepada hamba-Ku Yakub, iaitu tempat tinggal nenek moyang mereka.+ Mereka dan anak cucu mereka akan tinggal di situ buat selama-lamanya,+ dan hamba-Ku Daud akan menjadi pemimpin mereka buat selama-lamanya.+ 26  “‘“Aku akan membuat perjanjian damai dengan mereka,+ dan perjanjian ini akan kekal buat selama-lamanya. Aku akan membawa mereka ke negeri mereka dan melipatgandakan bilangan mereka.+ Aku juga akan menempatkan Rumah-Ku di tengah-tengah mereka buat selama-lamanya. 27  Khemah-Ku akan ada bersama mereka. Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.+ 28  Bangsa-bangsa akan tahu bahawa Aku, Yehuwa, menyucikan Israel apabila Rumah-Ku ada bersama mereka buat selama-lamanya.”’”+

Nota Kaki

Atau “Tangan Yehuwa ada di atas aku.”
Atau “nafas.”
Atau “memberikan kuasa suci-Ku kepada.”
Lihat nota kaki bagi Yeh 6:4.