Yehezkiel 39:1-29
39 “Anak manusia, bernubuatlah tentang Gog,+ dan katakanlah kepadanya, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Wahai Gog, ketua pemimpin Mesekh dan Tubal,+ Aku akan melawan engkau.
2 Aku akan membuat engkau berpatah balik. Aku akan memimpin engkau keluar dari tempat yang terpencil di utara+ lalu membawa engkau ke pergunungan Israel.
3 Aku akan memukul busurmu sehingga terlepas dari tangan kirimu dan menjatuhkan anak panah dari tangan kananmu.
4 Engkau dan semua tenteramu serta orang yang mengikutimu akan rebah di atas pergunungan Israel.+ Kamu akan menjadi makanan kepada semua jenis burung pemangsa dan binatang-binatang liar di padang.”’+
5 “‘Engkau akan rebah di padang+ kerana Aku sendiri telah mengatakannya,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.
6 “‘Aku akan menurunkan api ke atas Magog dan pulau-pulau yang penduduknya hidup dengan aman.+ Lalu mereka pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.
7 Aku akan membuat nama suci-Ku terkenal dalam kalangan umat-Ku Israel, dan Aku tidak akan membiarkan nama suci-Ku dicemarkan lagi. Bangsa-bangsa pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa,+ Tuhan Israel Yang Suci.’+
8 “‘Ya, hal itu pasti akan terjadi, dan hari itu pasti akan tiba,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. ‘Inilah hari yang pernah Aku sebutkan.
9 Penduduk kota-kota Israel akan keluar dan menyalakan api dengan membakar pelbagai senjata, seperti perisai kecil,* perisai besar, busur, anak panah, belantan,* dan tombak. Mereka akan menggunakan semua itu sebagai bahan api+ selama tujuh tahun.
10 Mereka tidak usah mengumpulkan kayu api dari padang atau hutan kerana mereka akan menggunakan senjata itu sebagai bahan api.’
“‘Mereka akan menjarah harta orang yang dahulu menjarah mereka, dan merampas barangan orang yang dahulu merampas barangan mereka,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.
11 “‘Pada hari itu, Aku akan memberi Gog+ tempat perkuburan di sebuah lembah di Israel. Lembah itu terletak di sebelah timur dari laut dan digunakan oleh orang untuk lalu-lalang, tetapi sekarang lembah itu akan menghalang jalan mereka. Gog dan semua orang yang menyertainya akan dikebumikan di tempat itu, dan tempat itu akan dipanggil Lembah Hamon-Gog.*+
12 Bangsa Israel akan mengambil masa tujuh bulan untuk mengebumikan mereka supaya negeri itu tidak najis lagi.+
13 Semua penduduk negeri itu akan mengebumikan mereka, dan mereka akan menjadi masyhur pada hari Aku memuliakan diri-Ku sendiri,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.
14 “‘Orang akan dipilih untuk terus menjelajah negeri itu dan mengebumikan mayat-mayat yang masih terlantar di atas permukaan tanah supaya negeri itu tidak najis lagi. Mereka akan meneruskan pencarian mereka selama tujuh bulan.
15 Apabila orang yang menjelajah negeri itu nampak tulang manusia, mereka akan meletakkan tanda di sebelah tulang itu. Kemudian orang yang dipilih untuk melakukan kerja pengebumian akan mengebumikan tulang itu di Lembah Hamon-Gog.+
16 Di situ, terdapat juga sebuah kota yang dipanggil Hamona.* Mereka akan membersihkan negeri itu.’+
17 “Anak manusia, inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Katakanlah kepada setiap jenis burung dan semua binatang liar di padang, “Berkumpullah dan kemudian datanglah. Berhimpunlah di sekeliling korban besar yang telah Aku sediakan untuk kamu di atas pergunungan Israel.+ Kamu akan makan daging dan minum darah.+
18 Kamu akan makan daging para pahlawan dan minum darah para pemimpin dunia. Mereka seperti biri-biri jantan, anak biri-biri, kambing, dan lembu jantan. Ya, mereka seperti binatang-binatang yang gemuk di Basan.
19 Aku akan sediakan korban untuk kamu, dan kamu akan makan lemaknya sampai muak dan minum darahnya sampai mabuk.”’
20 “‘Di meja-Ku, kamu akan memakan kuda-kuda, penunggang kuda, askar yang gagah, dan para pahlawan sehingga kamu kenyang,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.
21 “‘Aku akan menunjukkan kemuliaan-Ku kepada bangsa-bangsa, dan mereka semua akan melihat kuasa-Ku dan hukuman yang akan Aku laksanakan dalam kalangan mereka.+
22 Mulai hari itu, bangsa Israel pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan mereka.
23 Bangsa-bangsa pasti akan tahu bahawa bangsa Israel dibuang negeri kerana mereka berbuat salah dan tidak setia terhadap-Ku.+ Oleh itu, Aku akan mengabaikan bangsa Israel+ dan menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh,+ dan mereka semua akan dibunuh dengan pedang.
24 Aku akan memperlakukan mereka setimpal dengan dosa dan perbuatan mereka yang najis. Ya, Aku akan mengabaikan mereka.’
25 “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Aku akan membawa pulang keturunan Yakub+ yang telah ditawan, dan menunjukkan belas kasihan kepada seluruh bangsa Israel.+ Aku akan mempertahankan nama suci-Ku dengan sungguh-sungguh.+
26 Setelah mereka dihina kerana mereka tidak setia kepada-Ku,+ mereka akan hidup dengan aman di negeri mereka, dan tidak ada sesiapa yang akan membuat mereka berasa takut.+
27 Aku akan mengumpulkan mereka daripada bangsa-bangsa dan membawa mereka pulang dari negeri-negeri musuh mereka.+ Aku juga akan menyucikan diri-Ku dalam kalangan mereka di hadapan bangsa-bangsa.’+
28 “‘Mereka pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan mereka, apabila Aku membiarkan mereka ditawan oleh bangsa-bangsa, dan apabila Aku membawa mereka pulang ke negeri mereka tanpa meninggalkan seorang pun di negeri pembuangan.+
29 Aku tidak akan mengabaikan bangsa Israel lagi,+ dan Aku akan mencurahkan kuasa suci-Ku ke atas mereka,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.”