Yehezkiel 40:1-49

  • Yehezkiel dibawa ke Israel dalam sebuah penglihatan (1, 2)

  • Yehezkiel nampak Rumah Tuhan dalam penglihatan itu (3, 4)

  • Halaman dan pintu gerbang (5-47)

    • Pintu gerbang timur di halaman luar (6-16)

    • Halaman luar; pintu gerbang yang lain (17-26)

    • Halaman dalam dan pintu-pintu gerbang (27-37)

    • Bilik-bilik yang digunakan untuk khidmat di Rumah Tuhan (38-46)

    • Mazbah (47)

  • Anjung Rumah Tuhan (48, 49)

40  Pada tahun ke-25 kami dibuang negeri,+ iaitu pada tahun ke-14 selepas kota Yerusalem ditawan, pada awal tahun, hari ke-10 bulan itu,+ kuasa suci Yehuwa menguasaiku,* dan Dia membawa aku ke kota itu.+ 2  Dalam penglihatan-penglihatan daripada Tuhan, Dia membawa aku ke negeri Israel dan menempatkan aku di atas sebuah gunung yang sangat tinggi.+ Di selatan gunung itu, terdapat sesuatu yang kelihatan seperti sebuah kota. 3  Apabila Dia membawa aku ke sana, aku nampak seorang lelaki yang berkilauan seperti tembaga.+ Dia sedang berdiri di pintu gerbang sambil memegang tali linen* dan kayu pengukur.*+ 4  Lelaki itu berkata kepadaku, “Anak manusia, lihatlah dengan teliti, dengarlah baik-baik, dan perhatikanlah segala yang akan aku tunjukkan kepadamu, kerana itulah sebabnya engkau dibawa ke sini. Beritahulah bangsa Israel segala-gala yang engkau nampak.”+ 5  Aku nampak sebuah tembok mengelilingi bahagian luar Rumah Tuhan.* Lelaki itu memegang sebatang kayu pengukur yang panjangnya enam hasta dan mula mengukur tembok itu. (Hasta ini satu tapak tangan lebih panjang daripada hasta biasa.*) Tinggi tembok itu sama dengan panjang satu kayu pengukur, dan ukuran tebalnya pun sama. 6  Kemudian dia pergi ke pintu gerbang yang menghadap ke arah timur+ dan menaiki tangganya. Dia mula mengukur kawasan ambang pintu itu, dan lebarnya berukuran satu kayu pengukur. Lebar ambang pintu yang satu lagi juga berukuran satu kayu pengukur. 7  Setiap bilik pengawal berukuran satu kayu pengukur panjang dan satu kayu pengukur lebar. Jarak antara setiap bilik pengawal ialah lima hasta.+ Ambang pintu dekat anjung pintu gerbang yang menghadap ke arah Rumah Tuhan berukuran satu kayu pengukur. 8  Dia mengukur anjung pintu yang menghadap ke arah Rumah Tuhan, dan ukurannya ialah satu kayu pengukur. 9  Setelah itu, dia mengukur anjung itu, dan ukurannya ialah lapan hasta. Dia juga mengukur tiang-tiang di tepi anjung itu, dan ukurannya ialah dua hasta. Itulah anjung pintu yang terletak dekat pintu gerbang yang menghadap ke arah Rumah Tuhan. 10  Ada tiga buah bilik pengawal di setiap sisi pintu gerbang timur. Ketiga-tiga bilik itu sama besar, dan tiang-tiang di setiap sisinya juga mempunyai ukuran yang sama. 11  Kemudian dia mengukur jalan masuk ke pintu gerbang, dan ukurannya ialah 10 hasta lebar, manakala pintu gerbang itu pula berukuran 13 hasta lebar. 12  Di hadapan bilik-bilik pengawal itu, terdapat kawasan yang berpagar, yang berukuran satu hasta pada setiap sisi. Setiap sisi bilik pengawal itu pula berukuran enam hasta. 13  Kemudian dia mengukur jarak dari bumbung* salah sebuah bilik pengawal sampai ke bumbung bilik yang di seberangnya, dan jaraknya ialah 25 hasta. Pintu masuk bilik-bilik itu saling bertentangan.+ 14  Lalu dia mengukur tiang-tiang di situ, dan tiang-tiang itu berukuran 60 hasta tinggi. Dia juga mengukur tiang-tiang yang terletak di sisi pintu gerbang yang mengelilingi halaman Rumah Tuhan. 15  Jarak dari depan pintu masuk gerbang sampai ke depan anjung pintu yang menghadap ke arah Rumah Tuhan berukuran 50 hasta. 16  Pada setiap sisi pintu gerbang, terdapat tingkap yang berbingkai,+ baik pada bilik-bilik pengawal mahupun pada tiang-tiang. Ukuran bingkai di sebelah luar tingkap lebih kecil daripada ukuran di sebelah dalamnya. Bahagian dalam anjung juga mempunyai tingkap pada setiap sisinya. Pada setiap tiang, terdapat ukiran pokok palma.+ 17  Kemudian, lelaki itu membawa aku ke halaman luar. Di situ, aku nampak bilik-bilik makan*+ dan lantai yang berbatu di sekeliling halaman itu. Terdapat 30 buah bilik makan di situ. 18  Lebar lantai berbatu itu mempunyai ukuran yang sama dengan panjang pintu-pintu gerbang di situ, dan lantai itu lebih rendah daripada lantai di halaman dalam. 19  Lalu dia mengukur jarak* dari hadapan pintu gerbang rendah sampai ke garis sempadan halaman dalam. Jaraknya ialah 100 hasta, baik dari pintu gerbang timur mahupun dari pintu gerbang utara. 20  Kemudian dia mengukur panjang dan lebar pintu gerbang di halaman luar yang menghadap ke arah utara. 21  Terdapat tiga buah bilik pengawal di setiap sisinya. Tiang-tiang dan anjungnya mempunyai ukuran yang sama dengan pintu gerbang yang pertama, iaitu 50 hasta panjang dan 25 hasta lebar. 22  Tingkap-tingkap, anjung, dan ukiran pokok palmanya+ mempunyai ukuran yang sama dengan yang terdapat pada pintu gerbang timur. Selepas menaiki tujuh anak tangga, orang akan nampak anjung pintu gerbang ini. 23  Di halaman dalam, terdapat sebuah pintu gerbang yang berhadapan dengan pintu gerbang utara; sebuah lagi berhadapan dengan pintu gerbang timur. Dia mengukur jarak antara kedua-dua pintu gerbang yang saling berhadapan itu, dan jaraknya ialah 100 hasta. 24  Kemudian dia membawa aku ke arah selatan, dan aku nampak sebuah pintu gerbang di situ.+ Dia mengukur tiang-tiang dan anjungnya, dan ukurannya sama dengan pintu-pintu gerbang yang lain. 25  Terdapat tingkap-tingkap pada setiap sisi pintu gerbang itu dan juga pada anjungnya. Tingkap-tingkap itu sama dengan tingkap-tingkap lain. Ukuran pintu gerbang itu ialah 50 hasta panjang dan 25 hasta lebar. 26  Selepas menaiki tujuh anak tangga,+ orang akan nampak anjung pintu gerbang itu. Terdapat ukiran pokok palma pada tiang-tiang yang terletak di anjung itu, satu ukiran pada setiap tiang. 27  Di halaman dalam, terdapat sebuah pintu gerbang yang menghadap ke arah selatan. Dia mengukur jarak dari halaman dalam sampai ke pintu gerbang itu, dan jaraknya ialah 100 hasta. 28  Selepas itu, dia membawa aku ke halaman dalam melalui pintu gerbang selatan. Dia mengukur pintu gerbang itu, dan ukurannya sama dengan pintu-pintu gerbang yang lain. 29  Bilik-bilik pengawal, tiang-tiang, dan anjungnya mempunyai ukuran yang sama dengan yang terdapat di pintu gerbang lain. Terdapat tingkap-tingkap pada setiap sisi pintu gerbang itu dan juga pada anjungnya. Ukuran pintu gerbang itu ialah 50 hasta panjang dan 25 hasta lebar.+ 30  Semua pintu gerbang di halaman dalam mempunyai anjung yang berukuran 25 hasta panjang dan 5 hasta lebar. 31  Anjung itu menghadap ke arah halaman luar, dan tiang-tiangnya juga mempunyai ukiran pokok palma.+ Terdapat lapan anak tangga yang menuju ke pintu gerbang itu.+ 32  Selepas itu, dia membawa aku ke halaman dalam dari arah timur. Dia mengukur pintu gerbang itu, dan ukurannya sama dengan pintu-pintu gerbang yang lain. 33  Bilik-bilik pengawal, tiang-tiang, dan anjungnya mempunyai ukuran yang sama dengan yang terdapat di pintu gerbang lain. Terdapat tingkap-tingkap pada setiap sisi pintu gerbang itu dan juga pada anjungnya. Ukuran pintu gerbang itu ialah 50 hasta panjang dan 25 hasta lebar. 34  Anjung itu menghadap ke arah halaman luar, dan kedua-dua tiangnya mempunyai ukiran pokok palma. Terdapat lapan anak tangga yang menuju ke pintu gerbang itu. 35  Selepas itu, dia membawa aku ke pintu gerbang utara.+ Dia mengukur pintu gerbang itu, dan ukurannya sama dengan pintu-pintu gerbang yang lain. 36  Bilik-bilik pengawal, tiang-tiang, dan anjungnya mempunyai ukuran yang sama dengan yang terdapat di pintu gerbang lain. Terdapat tingkap-tingkap pada setiap sisinya. Ukuran pintu gerbang itu ialah 50 hasta panjang dan 25 hasta lebar. 37  Kedua-dua tiang di anjung menghadap ke arah halaman luar, dan terdapat ukiran pokok palma padanya. Terdapat lapan anak tangga yang menuju ke pintu gerbang itu. 38  Sebuah bilik makan dan pintu masuknya terletak dekat tiang pintu-pintu gerbang, iaitu dekat tempat mencuci korban bakar.+ 39  Terdapat dua buah meja pada setiap sisi anjung pintu gerbang. Di situlah binatang untuk korban ganti rugi,+ korban bakar,+ dan korban dosa disembelih.+ 40  Terdapat empat buah meja pada satu sisi pintu gerbang utara: Dua buah meja di luar pintu itu, dan dua lagi di sebelah lain anjung pintu itu. 41  Semuanya ada lapan buah meja, iaitu empat di satu sisi, dan empat lagi di sisi yang sebelah. Binatang yang akan dikorbankan disembelih di atas meja-meja itu. 42  Empat buah meja yang digunakan untuk korban bakar diperbuat daripada batu yang sudah dipotong. Setiap meja berukuran satu hasta setengah panjang, satu hasta setengah lebar, dan satu hasta tinggi. Alatan-alatan yang digunakan untuk menyembelih korban bakar dan korban-korban lain diletakkan di atas meja-meja itu. 43  Semua daging yang akan dipersembahkan juga diletakkan di atas meja-meja itu. Terdapat rak yang ukurannya selebar satu tapak tangan dipasang pada sekeliling dinding. 44  Di luar pintu gerbang yang terletak di halaman dalam, terdapat bilik-bilik makan untuk para penyanyi.+ Bilik-bilik itu terletak dekat pintu gerbang utara dan menghadap ke arah selatan. Bilik makan yang lain pula terletak dekat pintu gerbang timur dan menghadap ke arah utara. 45  Dia berkata kepadaku, “Bilik makan yang menghadap ke arah selatan adalah untuk kegunaan para imam yang bertanggungjawab atas khidmat di Rumah Tuhan.+ 46  Bilik makan yang menghadap ke arah utara adalah untuk kegunaan para imam yang bertanggungjawab atas khidmat di mazbah.+ Mereka ialah keturunan Zadok+ daripada suku Lewi yang dilantik untuk menghadap Yehuwa dan berkhidmat kepada-Nya.”+ 47  Kemudian dia mengukur halaman dalam. Halaman itu berbentuk segi empat sama, dan ukurannya ialah 100 hasta panjang dan 100 hasta lebar. Sebuah mazbah terletak di depan Rumah Tuhan. 48  Selepas itu, dia membawa aku ke anjung Rumah Tuhan.+ Dia mengukur tiang di anjung itu, dan tiang itu berukuran lima hasta pada satu sisi dan lima hasta pada sisi yang sebelah. Pintu di anjung itu pula berukuran tiga hasta lebar pada satu sisi dan tiga hasta lebar pada sisi yang sebelah. 49  Anjung itu berukuran 20 hasta panjang dan 11* hasta lebar. Orang dapat memasuki anjung itu dengan menaiki tangga. Di sisi pintu anjung itu, terdapat tiang-tiang, satu di setiap sisi.+

Nota Kaki

Atau “tangan Yehuwa ada di atas aku.”
Atau “flaks.”
Harfiah, “rumah.” Dari bab 40-48, perkataan ini juga boleh merujuk kepada sekelompok bangunan dalam kawasan Rumah Tuhan.
Merujuk kepada hasta yang panjang (1 hasta + 1 tapak tangan). Lihat Lampiran B14.
Mungkin merujuk kepada bahagian atas dinding bilik pengawal.
Atau “aku nampak bilik-bilik.”
Harfiah, “lebar.”
Atau mungkin, “12.”