Yehezkiel 41:1-26

  • Bilik Suci dan Bilik Maha Suci di Rumah Tuhan (1-4)

  • Dinding dan bilik-bilik di sekeliling rumah itu (5-11)

  • Bangunan di sebelah timur (12)

  • Bangunan-bangunan diukur (13-15a)

  • Bahagian dalam Bilik Suci dan Bilik Maha Suci (15b-26)

41  Kemudian dia membawa aku ke Bilik Suci,* dan mengukur tiang-tiang di situ. Tiang-tiang itu berukuran enam hasta* lebar pada satu sisi, dan enam hasta lebar pada sisi yang lain.  Pintu masuk bilik itu berukuran 10 hasta lebar, dan dinding di tepi pintu itu berukuran lima hasta pada satu sisi, dan lima hasta pada sisi yang lain. Dia juga mengukur bilik itu, dan ukurannya ialah 40 hasta panjang dan 20 hasta lebar.  Selepas itu, dia masuk ke dalam bilik yang lain* lalu mengukur tiang-tiang di tepi pintu masuk bilik itu. Tiang-tiang itu berukuran dua hasta tebal, dan pintu masuknya pula berukuran enam hasta lebar. Dinding di tepi pintu itu berukuran tujuh hasta.  Bilik itu menghadap ke arah Bilik Suci. Dia mengukur bilik itu, dan ukurannya ialah 20 hasta panjang dan 20 hasta lebar.+ Dia berkata kepadaku, “Bilik itu ialah Bilik Maha Suci.”+  Kemudian dia mengukur dinding Rumah Tuhan, dan ukurannya ialah enam hasta tebal. Bilik-bilik di sekeliling rumah itu pula berukuran empat hasta lebar.+  Bilik-bilik itu terdiri daripada tiga tingkat. Terdapat 30 buah bilik di setiap tingkat. Lantai di setiap tingkat dipasang pada lekuk yang ada pada dinding rumah itu, supaya tidak ada lubang dibuat pada dinding itu.+  Bilik-bilik di tingkat atas lebih lebar daripada bilik-bilik di tingkat tengah, dan bilik-bilik di tingkat tengah lebih lebar daripada bilik-bilik di tingkat bawah.+ Di kedua-dua sisi rumah itu, terdapat sebuah laluan melingkar* yang menghubungkan tingkat bawah, tingkat tengah, dan tingkat atas.  Aku nampak Rumah Tuhan dibina di atas sebuah asas yang lebih tinggi daripada lantai di sekelilingnya, dan asas bagi bilik-bilik di sekeliling rumah itu berukuran enam hasta tinggi, iaitu sepanjang satu kayu pengukur, dari lantai sampai ke sudut asas itu.  Dinding di luar bilik-bilik itu berukuran lima hasta lebar. Terdapat ruang terbuka* di sekeliling dinding itu. Ruang ini juga merupakan sebahagian daripada Rumah Tuhan. 10  Di antara rumah itu dan bilik-bilik makan,*+ terdapat sebuah kawasan yang berukuran 20 hasta lebar di setiap sisi rumah itu. 11  Di antara bilik-bilik di sekeliling Rumah Tuhan dan ruang terbuka itu, terdapat sebuah pintu masuk di sebelah utara dan sebuah lagi di sebelah selatan. Ruang terbuka di sekeliling rumah itu berukuran lima hasta lebar. 12  Bangunan di sebelah barat yang menghadap ke arah sebuah kawasan lapang berukuran 70 hasta lebar dan 90 hasta panjang. Dinding bangunan itu pula setebal lima hasta. 13  Dia mengukur Rumah Tuhan, dan rumah itu berukuran 100 hasta panjang. Kawasan lapang, bangunan,* dan dinding-dindingnya juga berukuran 100 hasta panjang. 14  Bahagian depan Rumah Tuhan yang menghadap ke arah timur dan kawasan lapang itu, semuanya berukuran 100 hasta lebar. 15  Di bahagian belakang Rumah Tuhan, dia mengukur panjang bangunan yang menghadap kawasan lapang itu dan beranda di kedua-dua sisi bangunan itu; semuanya berukuran 100 hasta. Selain itu, dia mengukur Bilik Suci, Bilik Maha Suci,+ dan anjung-anjung di halaman rumah itu, 16  berserta ambang pintu, tingkap yang berbingkai, dan beranda di ketiga-tiga kawasan itu. Dekat ambang pintu, terdapat kayu-kayu yang melapisi lantai di situ sampai ke tingkap yang berbingkai itu.+ Ukuran bingkai di sebelah luar tingkap itu lebih kecil daripada ukuran sebelah dalamnya.+ Tingkap-tingkap itu juga dilapisi dengan kayu. 17  Dia mengukur bahagian atas pintu masuk, bahagian dalam dan luar Rumah Tuhan, dan dinding di sekelilingnya. 18  Di situ terdapat ukiran kerub+ dan pokok palma,+ sebatang pokok palma di antara dua kerub. Setiap kerub mempunyai dua muka, 19  iaitu muka manusia dan muka singa. Muka manusia menghadap ke pokok palma di satu sisi, dan muka singa menghadap ke pokok palma di sisi yang lain.+ Ukiran itu terdapat di seluruh Rumah Tuhan. 20  Dari lantai sampai ke bahagian atas pintu masuk, terdapat ukiran kerub dan pokok palma pada dinding Rumah Tuhan. 21  Tiang-tiang pintu* di Rumah Tuhan berbentuk segi empat.+ Di depan tempat suci,* terdapat sesuatu seperti 22  mazbah yang diperbuat daripada kayu.+ Mazbah itu berukuran tiga hasta tinggi dan dua hasta panjang. Terdapat tiang-tiang di sudut mazbah itu. Asas* dan sisinya diperbuat daripada kayu. Kemudian dia berkata kepadaku, “Inilah meja yang ada di hadapan Yehuwa.”+ 23  Bilik Suci mempunyai dua buah pintu. Begitu juga dengan tempat suci itu.*+ 24  Setiap pintu mempunyai dua daun pintu yang dapat berpusing. 25  Terdapat ukiran kerub dan pokok palma pada pintu-pintu Rumah Tuhan, seperti yang terdapat pada dindingnya.+ Di sebelah luar rumah itu, di bahagian atas anjungnya, terdapat unjuran yang diperbuat daripada kayu. 26  Terdapat tingkap-tingkap yang berbingkai dan ukiran pokok palma pada unjuran itu, pada kedua-dua sisi anjung itu, dan pada bilik-bilik di sekeliling rumah itu. Ukuran bingkai di sebelah luar tingkap itu lebih kecil daripada ukuran di sebelah dalamnya.+

Nota Kaki

Atau “ke Rumah Tuhan.” Di bab 41 dan 42, ungkapan ini merujuk kepada Bilik Suci atau seluruh Rumah Tuhan (termasuk Bilik Suci dan Bilik Maha Suci).
Merujuk kepada hasta yang panjang. Lihat Lampiran B14.
Iaitu, Bilik Maha Suci.
Nampaknya merujuk kepada sebuah tangga yang melingkar.
Nampaknya ruang ini merujuk kepada laluan yang sempit di sekeliling Rumah Tuhan.
Atau “bilik-bilik.”
Iaitu, bangunan di sebelah barat Rumah Tuhan.
Nampaknya merujuk kepada pintu masuk Bilik Suci.
Nampaknya merujuk kepada Bilik Maha Suci.
Harfiah, “Panjang.”
Nampaknya merujuk kepada Bilik Maha Suci.