Yehezkiel 43:1-27

  • Cahaya kemuliaan Yehuwa memenuhi Rumah Tuhan (1-12)

  • Mazbah (13-27)

43  Kemudian dia membawa aku ke pintu gerbang yang menghadap ke arah timur.+ 2  Di situ, aku nampak cahaya kemuliaan Tuhan orang Israel datang dari arah timur.+ Suara Tuhan kedengaran seperti bunyi deruman air yang banyak,+ dan seluruh bumi diterangi cahaya kemuliaan-Nya.+ 3  Penglihatan ini sama seperti penglihatan yang aku nampak semasa aku* hendak memusnahkan kota itu. Penglihatan ini juga sama seperti apa yang aku nampak dekat Sungai Khebar.+ Kemudian, aku bersujud ke tanah. 4  Cahaya kemuliaan Yehuwa memasuki Rumah Tuhan melalui pintu gerbang yang menghadap ke arah timur.+ 5  Kuasa suci Tuhan* mengangkat aku dan membawa aku ke halaman dalam rumah itu, lalu aku nampak rumah itu dipenuhi dengan cahaya kemuliaan Yehuwa.+ 6  Aku mendengar suara dari dalam rumah itu, dan seorang lelaki datang kepadaku lalu berdiri di sebelahku.+ 7  Tuhan berfirman kepadaku, “Hai anak manusia, di sinilah terletaknya takhta-Ku+ dan tempat Aku meletakkan tapak kaki-Ku.+ Di sinilah Aku akan tinggal bersama orang Israel untuk selama-lamanya.+ Bangsa Israel dan raja-raja mereka tidak lagi akan mencemarkan nama-Ku yang suci+ dengan perbuatan mereka yang tidak setia* dan dengan mayat raja-raja mereka yang sudah mati. 8  Ambang pintu mereka diletakkan di sebelah ambang pintu-Ku, dan tiang pintu mereka diletakkan di sebelah tiang pintu-Ku, dengan hanya sebuah tembok yang memisahkan Aku daripada mereka.+ Mereka mencemarkan nama-Ku yang suci dengan perbuatan mereka yang jijik. Oleh itu, Aku membinasakan mereka semua kerana Aku murka.+ 9  Jika mereka berhenti melakukan perbuatan yang tidak setia* dan menjauhkan mayat raja-raja mereka daripada-Ku, Aku akan tinggal dalam kalangan mereka untuk selama-lamanya.+ 10  “Hai anak manusia, gambarkanlah rumah itu kepada bangsa Israel+ agar mereka berasa malu atas kesalahan mereka.+ Mereka harus meneliti reka bentuk rumah itu. 11  Jika mereka berasa malu atas segala yang dilakukan oleh mereka, engkau harus menunjukkan pelan rumah itu kepada mereka, termasuk aturan di situ, pintu-pintu masuknya, dan pintu-pintu keluarnya.+ Tunjukkanlah pelan rumah itu, peraturannya, dan hukumnya kepada mereka. Tulislah semuanya di depan mata mereka agar mereka dapat melihat pelan rumah itu dan mematuhi peraturannya.+ 12  Inilah hukum Rumah Tuhan. Seluruh kawasan di atas gunung itu ialah tempat yang paling suci.+ Ya, inilah hukum Rumah Tuhan! 13  “Inilah ukuran mazbah menurut unit hasta.+ (Hasta ini satu tapak tangan lebih panjang daripada hasta biasa.*) Tapaknya berukuran satu hasta tinggi, dan terdapat unjuran selebar satu hasta di sekelilingnya. Terdapat juga parit selebar satu jengkal* di sekelilingnya. Demikianlah ukuran tapak mazbah itu. 14  Dari bahagian atas tapak itu sampai ke aras pertama, ukurannya ialah dua hasta tinggi, dan terdapat unjuran selebar satu hasta di sekelilingnya. Dari aras pertama sampai ke aras kedua, ukurannya ialah empat hasta tinggi, dan terdapat unjuran selebar satu hasta di sekelilingnya. 15  Di mazbah itu, terdapat sebuah tempat untuk menyalakan api, dan tempat itu berukuran empat hasta tinggi. Pada keempat-empat sudutnya, ada bahagian yang menonjol seperti tanduk.+ 16  Tempat untuk menyalakan api itu berbentuk segi empat dan berukuran 12 hasta panjang dan 12 hasta lebar.+ 17  Aras kedua mazbah itu berukuran 14 hasta panjang dan 14 hasta lebar pada keempat-empat sisinya. Parit yang mengelilingi aras itu berukuran setengah hasta, dan tapak yang mengelilingi sisinya berukuran satu hasta. “Tangga mazbah itu menghadap ke arah timur.” 18  Kemudian dia berkata kepadaku, “Anak manusia, inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Inilah arahan-arahan yang harus diikuti semasa mazbah itu dibina supaya korban bakar dapat dipersembahkan di atasnya, dan darah dapat dipercikkan di atasnya.’+ 19  “‘Engkau haruslah mengambil seekor anak lembu jantan daripada kawanan lalu mempersembahkannya sebagai korban dosa.+ Korban ini haruslah diserahkan kepada imam-imam Lewi daripada keturunan Zadok,+ dan mereka akan menghadap-Ku dan berkhidmat kepada-Ku,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. 20  ‘Engkau haruslah mengambil sedikit darah lembu itu lalu menyapukannya pada tanduk di keempat-empat sisi mazbah itu, pada keempat-empat sudut aras kedua, dan pada parit yang mengelilinginya, untuk menyucikannya.*+ 21  Kemudian ambillah anak lembu jantan itu, iaitu korban dosa itu, dan bakarlah lembu itu di tempat yang telah ditetapkan di dalam Rumah Tuhan, iaitu di luar tempat suci.+ 22  Pada keesokan hari, persembahkanlah seekor kambing jantan yang sihat sebagai korban dosa. Sucikanlah* mazbah itu sebagaimana mereka telah melakukannya dengan anak lembu jantan itu.’ 23  “‘Apabila engkau selesai menyucikan* mazbah itu, persembahkanlah seekor anak lembu jantan dan seekor bebiri jantan yang sihat. 24  Bawalah binatang-binatang itu kepada Yehuwa. Para imam haruslah menaburkan garam ke atas+ kedua-dua binatang itu lalu mempersembahkannya sebagai korban bakar kepada Yehuwa. 25  Setiap hari, selama tujuh hari, persembahkanlah seekor kambing jantan, seekor anak lembu jantan, dan seekor bebiri jantan yang sihat* sebagai korban dosa.+ 26  Mereka haruslah melakukan upacara pengampunan dosa bagi mazbah itu selama tujuh hari. Ya, mereka haruslah menyucikan mazbah itu supaya mazbah itu dapat digunakan. 27  Setelah tujuh hari berlalu, iaitu pada hari kelapan+ dan hari-hari seterusnya, para imam akan mempersembahkan korban bakar dan korban pendamaian bagi pihakmu* di atas mazbah itu, dan Aku akan berkenan kepadamu,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.”

Nota Kaki

Atau mungkin, “dia.”
Dalam bahasa asal, perkataan yang digunakan di sini boleh merujuk kepada kuasa suci Tuhan atau makhluk roh.
Atau “dengan melakukan pelacuran rohani.”
Atau “melakukan pelacuran rohani.”
Merujuk kepada hasta yang panjang (1 hasta + 1 tapak tangan). Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “menyucikannya daripada dosa dan melakukan upacara pengampunan dosa untuknya.” Lihat Im 8:15.
Harfiah, “Sucikanlah dosa.”
Harfiah, “menyucikan dosa.”
Atau “sempurna.”
Iaitu, bagi pihak rakyat.