Yehezkiel 5:1-17
5 “Hai anak manusia, ambillah sebilah pedang yang tajam. Sebagaimana tukang gunting rambut menggunakan pisau cukur, gunakanlah pedang itu untuk mencukur rambutmu dan janggutmu. Kemudian timbanglah semua rambutmu dan bahagikannya kepada tiga bahagian.
2 Bakarlah satu pertiga rambut itu di dalam kota setelah hari-hari pengepungan itu berakhir.+ Satu pertiga lagi, hendaklah engkau tetak dengan pedangmu sambil mengelilingi kota itu.+ Satu pertiga yang terakhir, hendaklah engkau hamburkan ke udara, lalu Aku akan menghunus pedang-Ku dan mengejar rambut-rambut itu.+
3 “Ambillah beberapa helai rambut daripada bahagian yang terakhir itu dan bungkuskannya di dalam lipatan jubahmu.
4 Ambillah beberapa helai rambut daripada bahagian itu lagi dan buanglah rambut itu ke dalam api sehingga habis dibakar. Api ini akan merebak ke seluruh bangsa Israel.+
5 “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Inilah Yerusalem. Aku telah menempatkan kota ini di tengah bangsa-bangsa, dengan negeri-negeri lain di sekelilingnya.
6 Tetapi Yerusalem telah mengingkari ketetapan-Ku dan hukum-Ku. Kota ini lebih jahat daripada semua bangsa dan negeri di sekelilingnya.+ Penduduknya telah menolak ketetapan-Ku dan mereka tidak hidup selaras dengan hukum-Ku.’
7 “Maka inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Kamu lebih menyusahkan berbanding bangsa-bangsa di sekelilingmu. Kamu tidak hidup selaras dengan hukum-Ku, dan kamu tidak mematuhi ketetapan-Ku. Sebaliknya, kamu mematuhi ketetapan bangsa-bangsa di sekelilingmu.+
8 Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: “Hai kota Yerusalem, Aku akan menentangmu.+ Aku akan menjatuhkan hukuman atasmu, dan Aku akan melakukannya di depan bangsa-bangsa lain.+
9 Memandangkan engkau mengamalkan banyak perkara yang menjijikkan, Aku akan melakukan sesuatu kepadamu. Ya, Aku akan melakukan sesuatu yang belum pernah Aku lakukan dan tidak akan Aku lakukan lagi.+
10 “‘“Akibatnya, ibu bapa dalam kalanganmu akan makan anak-anak mereka,+ dan anak-anak akan makan ibu bapa mereka. Aku akan menghukummu dan mencerai-beraikan sesiapa sahaja dalam kalanganmu yang masih hidup ke semua arah.”’+
11 “‘Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Tuhan yang hidup, ‘bahawa Aku akan menolakmu,* dan Aku tidak akan mengasihanimu ataupun memandangmu dengan belas kasihan,+ kerana engkau telah mencemarkan tempat suci-Ku dengan patung-patung berhalamu dan amalanmu yang menjijikkan.+
12 Satu pertiga daripada pendudukmu akan mati kerana wabak* atau kebuluran. Satu pertiga lagi akan mati ditikam pedang di sekelilingmu.+ Satu pertiga yang terakhir pula akan dicerai-beraikan ke semua arah, dan Aku akan menghunus pedang-Ku dan mengejar mereka.+
13 Kemudian barulah Aku akan berasa puas hati dan tidak marah lagi, dan kemurkaan-Ku terhadap mereka akan reda.+ Setelah Aku menunjukkan kemurkaan-Ku, barulah mereka akan tahu bahawa Aku, Yehuwa, pernah berfirman dan menuntut agar mereka menyembah Aku sahaja.+
14 “‘Aku akan menyebabkan engkau menjadi tempat yang gersang sehingga bangsa-bangsa di sekelilingmu dan semua orang yang lalu di hadapanmu akan menghinamu.+
15 Aku akan menjatuhkan hukuman yang berat atasmu dengan penuh marah dan murka, dan engkau akan menjadi bahan ejekan dan hinaan kepada bangsa-bangsa di sekelilingmu.+ Apa yang menimpamu akan menjadi amaran kepada mereka dan membuat mereka berasa takut. Aku, Yehuwa, telah berfirman.
16 “‘Aku akan melancarkan anak panah kebuluran yang akan melenyapkan pendudukmu. Anak-anak panah itu akan membunuh dan memusnahkan kamu.+ Aku akan menyebabkan kebuluran itu menjadi lebih teruk dengan menyekat bekalan makanan* kamu.+
17 Aku akan mendatangkan kebuluran dan binatang-binatang liar yang buas+ untuk membunuh anak-anak kamu. Wabak dan pertumpahan darah akan menimpa kamu sehingga kamu tidak dapat menanggungnya lagi, dan Aku akan membawa pedang untuk membunuh kamu.+ Aku, Yehuwa, telah berfirman.’”