Yehezkiel 7:1-27

  • Akhir sudah tiba (1-27)

    • Bencana yang luar biasa (5)

    • Duit dicampakkan di jalan (19)

    • Rumah Tuhan akan dicemari (22)

7  Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi, 2  “Anak manusia, inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, kepada negeri Israel: ‘Akhir sudah tiba! Akhir sudah datang atas keempat-empat penjuru negeri ini. 3  Ya, akhirmu sudah tiba, dan Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku terhadapmu. Aku akan menghakimimu sesuai dengan perbuatanmu. Engkau harus bertanggungjawab atas semua perbuatanmu yang menjijikkan itu. 4  Aku tidak akan mengasihanimu ataupun memandangmu dengan belas kasihan.+ Aku akan menghukum engkau kerana perbuatanmu, dan engkau akan menderita kerana perbuatanmu yang menjijikkan itu.+ Kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’+ 5  “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, ‘Bencana akan menimpa! Ya, bencana yang luar biasa* akan menimpa.+ 6  Akhir akan datang! Ya, akhir pasti akan datang. Akhir akan menimpa engkau secara tiba-tiba. Lihatlah! Akhir pasti akan datang! 7  Wahai penduduk negeri ini, sudah sampai giliranmu! Masanya akan tiba, dan harinya semakin dekat.+ Sorakan kegembiraan tidak akan kedengaran di gunung-gunung, tetapi yang ada hanyalah kekeliruan. 8  “‘Tidak lama lagi engkau akan merasai kemurkaan-Ku,+ dan Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku terhadapmu.+ Aku akan menghakimimu sesuai dengan perbuatanmu. Engkau harus bertanggungjawab atas semua perbuatanmu yang menjijikkan itu. 9  Aku tidak akan mengasihanimu ataupun memandangmu dengan belas kasihan.+ Aku akan menghukum engkau kerana perbuatanmu, dan engkau akan menderita kerana perbuatanmu yang menjijikkan itu. Kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa, dan Akulah yang menghukummu.+ 10  “‘Lihatlah, hari itu akan datang!+ Giliranmu sudah tiba; tongkat telah berbunga dan keangkuhan telah bertunas. 11  Keganasan telah bertumbuh menjadi tongkat kejahatan, dan tiada seorang pun akan terselamat.+ Orang ramai akan dilenyapkan, dan kekayaan dan kemasyhuran tidak akan ada lagi. 12  Masanya akan tiba, dan hari itu akan datang. Hendaklah orang yang membeli tidak bersukacita, dan hendaklah orang yang menjual tidak bersedih, kerana Tuhan akan melepaskan kemarahan-Nya atas semua penduduk.*+ 13  Orang yang menjual tidak akan mendapat kembali barang jualannya biarpun dia tidak mati, kerana penglihatan ini melibatkan semua orang. Tidak ada sesiapa pun yang dapat melarikan diri daripada malapetaka ini, dan mereka yang jahat tidak akan terselamat.* 14  “‘Trompet sudah ditiup+ dan semua orang sudah bersiap sedia, tetapi tidak ada seorang pun yang pergi bertempur kerana Aku murka terhadap mereka semua.+ 15  Pedang ada di luar,+ dan wabak penyakit dan kebuluran ada di dalam. Sesiapa yang berada di ladang akan mati dibunuh oleh pedang, dan sesiapa yang berada di dalam kota akan mati disebabkan kebuluran dan wabak penyakit.+ 16  Orang yang berjaya melarikan diri akan pergi ke gunung-gunung, dan mereka akan merintih atas dosa mereka, seperti burung merpati di kawasan lembah.+ 17  Tangan mereka akan menjadi lemah, dan air akan menitis dari lutut mereka.*+ 18  Mereka mengenakan kain guni,+ dan badan mereka terketar-ketar ketakutan. Mereka semua akan dimalukan, dan kepala setiap orang akan menjadi botak.*+ 19  “‘Mereka akan mencampakkan perak mereka di jalan, dan mereka akan membenci emas mereka kerana baik perak mahupun emas tidak dapat menyelamatkan mereka pada hari kemurkaan Yehuwa.+ Mereka tidak dapat dipuaskan, dan perut mereka tidak dapat dikenyangkan. Perak dan emas mereka menjadi batu sandungan yang menyebabkan mereka berdosa. 20  Mereka begitu bangga dengan perhiasan mereka yang indah sehingga mereka menggunakannya* untuk membuat benda-benda pujaan dan patung berhala yang menjijikkan.+ Itulah sebabnya Aku menyebabkan mereka membenci emas dan perak mereka. 21  Aku akan memberikannya* ke dalam tangan orang asing dan orang yang jahat di bumi. Mereka akan merampasnya lalu mencemarkannya. 22  “‘Aku akan memalingkan muka-Ku daripada mereka,+ dan mereka akan mencemarkan tempat-Ku yang tersembunyi.* Para perompak akan masuk ke dalamnya lalu mencemarkannya.+ 23  “‘Buatlah rantai-rantai*+ kerana negeri itu penuh dengan pertumpahan darah yang disebabkan oleh ketidakadilan.+ Lagipun kota itu penuh dengan keganasan.+ 24  Aku akan membawa masuk bangsa yang paling teruk,+ dan bangsa itu akan merampas rumah-rumah mereka.+ Aku akan memastikan bahawa orang yang kuat dalam kalangan mereka tidak bersikap sombong lagi, dan tempat-tempat suci mereka dicemarkan.+ 25  Apabila mereka ditimpa penderitaan, mereka akan mencari kedamaian, tetapi usaha mereka sia-sia sahaja.+ 26  Musibah demi musibah akan menimpa mereka, dan laporan demi laporan akan kedengaran. Sia-sia sahaja mereka meminta penglihatan daripada nabi.+ Ajaran para imam dan nasihat para pemimpin juga langsung tidak berguna.+ 27  Raja pun akan berkabung+ dan para pemimpin akan putus asa, dan tangan semua orang di negeri itu akan menggeletar ketakutan. Aku akan memperlakukan mereka sesuai dengan perbuatan mereka, dan Aku akan menghakimi mereka sepertimana mereka menghakimi orang lain. Barulah mereka akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’”+

Nota Kaki

Atau “yang unik.”
Iaitu, orang yang berjual beli tidak akan meraih apa-apa manfaat kerana kemusnahan itu akan menimpa semua orang.
Atau mungkin, “dan rancangan jahat mereka tidak dapat menyelamatkan mereka.”
Iaitu, terkencing kerana takut.
Iaitu, kepala mereka dicukur sebagai tanda berkabung.
Iaitu, barang-barang daripada emas dan perak.
Iaitu, perak dan emas yang digunakan untuk membuat patung-patung berhala.
Nampaknya merujuk kepada bahagian yang paling dalam di Rumah Yehuwa.
Iaitu, rantai untuk para tawanan.