Yehezkiel 8:1-18
8 Pada hari kelima, bulan keenam, tahun keenam, aku sedang duduk di dalam rumahku dan para pemimpin Yehuda sedang duduk di hadapanku. Pada waktu itu, kuasa Yehuwa,* Tuhan Yang Berdaulat, menguasai aku.
2 Ketika aku sedang memandang, aku nampak seseorang yang kelihatan seperti api. Dari apa yang kelihatan seperti pinggangnya ke bawah,+ aku nampak api. Dari pinggangnya sampai ke atas, dia bercahaya seperti logam* yang bersinar-sinar.+
3 Kemudian Dia menghulurkan sesuatu yang menyerupai tangan lalu memegang rambutku untuk mengangkat aku. Aku diangkat* ke suatu tempat di antara bumi dengan langit, dan aku dibawa ke Yerusalem dalam penglihatan daripada Tuhan. Aku dibawa ke pintu gerbang di halaman dalam+ yang menghadap ke arah utara. Di situ ada sebuah patung yang membangkitkan kecemburuan Tuhan.+
4 Lihatlah! Cahaya kemuliaan Tuhan orang Israel ada di situ,+ dan cahaya itu menyerupai apa yang pernah aku nampak di dataran.+
5 Kemudian Dia berfirman kepadaku, “Hai anak manusia, pandanglah ke arah utara.” Maka aku pun memandang ke arah utara. Aku nampak patung yang membangkitkan kecemburuan Tuhan di pintu masuk yang terletak di sebelah utara mazbah dekat pintu gerbang.
6 Dia berfirman kepadaku lagi, “Anak manusia, adakah engkau nampak hal-hal buruk dan menjijikkan yang dilakukan oleh bangsa Israel di situ?+ Mereka menjauhkan Aku dari tempat-Ku yang suci.+ Tetapi engkau akan nampak hal-hal yang lebih teruk dan jijik.”
7 Selepas itu, Dia membawa aku ke pintu masuk halaman itu, dan aku nampak sebuah lubang di dinding.
8 Dia berfirman kepadaku, “Anak manusia, besarkan lubang ini.” Maka aku pun berbuat demikian, lalu aku nampak sebuah pintu masuk.
9 Dia berfirman kepadaku, “Masuklah dan lihatlah hal-hal jijik dan jahat yang dilakukan oleh mereka di situ.”
10 Jadi aku pun masuk dan melihatnya. Aku nampak di sekeliling dinding itu terdapat berbagai-bagai ukiran binatang menjalar dan binatang yang jijik+ serta berhala-berhala jijik*+ yang disembah oleh bangsa Israel.
11 Terdapat 70 orang pemimpin Israel berdiri di hadapan ukiran itu. Yazania anak Safan+ juga berdiri di situ bersama-sama mereka. Setiap orang memegang bekas perbaraan yang mengeluarkan asap yang harum.+
12 Kemudian Dia berfirman lagi, “Hai anak manusia, adakah engkau nampak apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin itu di dalam kegelapan? Mereka semua berada di dalam bilik di bahagian dalam, dan berhala-berhala mereka dipamerkan di situ. Mereka berkata, ‘Yehuwa tidak nampak kita. Yehuwa telah meninggalkan negeri ini.’”+
13 Lalu Dia berfirman kepadaku, “Engkau akan nampak hal-hal yang lebih menjijikkan daripada apa yang dilakukan oleh mereka itu.”
14 Maka Dia membawa aku ke pintu masuk di gerbang utara Rumah Yehuwa. Di situ, aku nampak wanita-wanita sedang duduk sambil menangisi Dewa Tamus.
15 Dia berfirman kepadaku, “Hai anak manusia, adakah engkau nampak semua hal itu? Engkau akan melihat hal-hal yang lebih teruk dan jijik.”+
16 Kemudian Dia membawa aku ke halaman dalam Rumah Yehuwa.+ Di situ, dekat pintu masuk Rumah Yehuwa, iaitu di antara anjung dan mazbah, aku nampak kira-kira 25 orang lelaki sedang menghadap ke arah timur dan membelakangi Rumah Yehuwa. Mereka sedang bersujud ke arah timur untuk menyembah matahari.+
17 Dia berfirman kepadaku, “Anak manusia, adakah engkau nampak hal ini? Adakah bangsa Yehuda menyangka bahawa perbuatan mereka itu sesuatu yang remeh? Mereka melakukan hal-hal yang jijik, memenuhi negeri ini dengan keganasan,+ dan sering membuat Aku murka. Lihatlah! Mereka sedang melambai-lambaikan dahan kayu* di hadapan hidung-Ku.
18 Maka Aku akan bertindak dan menunjukkan kemurkaan-Ku. Aku tidak akan mengasihani mereka ataupun memandang mereka dengan belas kasihan.+ Meskipun mereka menangis dengan kuat di hadapan-Ku, Aku tidak akan mendengarkan mereka.”+