Yehezkiel 9:1-11

  • Enam orang penghukum dan lelaki yang membawa bekas alat tulis (1-11)

    • Hukuman bermula dari Rumah Tuhan (6)

9  Dia memanggil aku dengan suara yang kuat, “Panggillah beberapa orang yang telah dipilih untuk menghukum kota ini. Mereka harus memegang senjata yang membawa kebinasaan!” 2  Aku nampak enam orang datang dari arah Pintu Gerbang Atas+ yang menghadap ke utara, dan setiap orang memegang senjata yang membawa kebinasaan. Dalam kalangan mereka, terdapat seorang lelaki yang berpakaian linen dan membawa bekas* alat tulis pada pinggangnya. Mereka semua datang dan berdiri di sebelah mazbah tembaga.+ 3  Kemudian cahaya kemuliaan Tuhan orang Israel+ terangkat dari atas kerub-kerub* dan bergerak ke ambang pintu Rumah Tuhan.+ Dia berfirman kepada lelaki yang berpakaian linen itu, iaitu lelaki yang membawa bekas alat tulis pada pinggangnya. 4  Yehuwa berfirman kepada lelaki itu, “Jelajahilah seluruh kota Yerusalem dan bubuhlah tanda pada dahi setiap orang yang mengeluh dan merintih+ atas segala perkara jijik yang dilakukan di kota ini.”+ 5  Aku juga mendengar Dia berfirman kepada lelaki-lelaki yang memegang senjata itu, “Ikutlah di belakangnya semasa dia menjelajahi seluruh kota dan bunuhlah orang di situ. Janganlah mengasihani mereka dan janganlah memandang mereka dengan belas kasihan.+ 6  Bunuhlah orang tua, orang muda, anak dara, anak kecil, dan wanita.+ Tetapi janganlah mendekati orang yang mempunyai tanda di dahi mereka.+ Mulalah dari tempat suci-Ku.”+ Maka mereka bermula dengan membunuh pemimpin-pemimpin yang berdiri di depan pintu Rumah Tuhan.+ 7  Dia berfirman lagi kepada mereka, “Bertindaklah! Cemarkanlah rumah ini dan penuhilah halaman-halaman rumah ini dengan mayat mereka.”+ Mereka pun beredar dan pergi membunuh orang di kota itu. 8  Ketika mereka sedang membunuh orang, aku berada di situ seorang diri. Maka aku bersujud lalu berseru, “Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, adakah Engkau ingin melampiaskan kemarahan-Mu terhadap Yerusalem dan membinasakan semua orang Israel yang masih hidup di situ?”+ 9  Dia menjawab aku, “Dosa bangsa Israel dan Yehuda sangat besar.+ Negeri ini penuh dengan pertumpahan darah,+ dan kota ini penuh dengan kejahatan.+ Mereka berkata, ‘Yehuwa telah meninggalkan negeri ini. Yehuwa tidak nampak kita.’+ 10  Oleh itu, Aku tidak akan mengasihani mereka ataupun memandang mereka dengan belas kasihan.+ Aku akan memperlakukan mereka setimpal dengan perbuatan mereka sendiri.” 11  Kemudian aku nampak lelaki yang berpakaian linen itu, iaitu lelaki yang membawa bekas alat tulis pada pinggangnya. Lelaki itu berkata, “Aku sudah melakukan segala perintah-Mu.”

Nota Kaki

Sebuah tanduk yang dijadikan sebagai bekas untuk menyimpan pen dan dakwat.
Kerub ialah malaikat yang berpangkat tinggi.