Yeremia 18:1-23

  • Tanah liat di dalam tangan tukang tembikar (1-12)

  • Yehuwa membelakangi Israel (13-17)

  • Rancangan jahat terhadap Yeremia; rayuan Yeremia (18-23)

18  Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 2  “Bangunlah dan pergilah ke rumah seorang tukang tembikar.+ Di situ, Aku akan berfirman kepadamu.” 3  Oleh itu, aku pun pergi ke rumah seorang tukang tembikar dan aku nampak dia sedang membuat sebuah tembikar. 4  Dia menggunakan tanah liat untuk membentuk tembikar itu, tetapi tembikar yang sedang dibentuknya itu menjadi rosak di dalam tangannya. Maka dia membentuk semula tanah liat itu menjadi tembikar yang lain, sesuai dengan kehendaknya. 5  Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, 6  “‘Hai bangsa Israel, Aku juga akan melakukan apa yang dilakukan oleh tukang tembikar itu!’ firman Yehuwa. ‘Lihatlah! Sebagaimana tanah liat itu di dalam tangan tukang tembikar, demikian juga kamu di dalam tangan-Ku, hai bangsa Israel.+ 7  Apabila Aku berfirman bahawa Aku mahu mencabut, merobohkan, dan membinasakan sebuah bangsa atau sebuah kerajaan,+ 8  tetapi kemudian bangsa itu berhenti berbuat jahat, maka Aku akan mengubah fikiran-Ku dan niat-Ku untuk mendatangkan malapetaka yang telah Aku firmankan itu.+ 9  Sebaliknya, apabila Aku berfirman bahawa Aku mahu membina dan mendirikan* sebuah bangsa atau sebuah kerajaan, 10  tetapi kemudian bangsa itu melakukan apa yang jahat di mata-Ku dan tidak mematuhi firman-Ku, maka Aku akan mengubah fikiran-Ku dan niat-Ku untuk melakukan hal-hal yang baik bagi mereka.’ 11  “Sekarang, katakanlah kepada orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, ‘Inilah firman Yehuwa: “Aku sedang bersedia untuk mendatangkan malapetaka atas kamu dan merancang untuk membinasakan kamu. Berpalinglah daripada haluan jahat kamu, dan ubahlah cara hidup dan amalan kamu.”’”+ 12  Tetapi mereka berkata, “Tiada gunanya!+ Biarlah kami hidup menurut fikiran dan keinginan hati kami yang jahat.”+ 13  Maka Yehuwa berfirman,“Tanyalah setiap bangsaSama ada mereka pernah mendengar hal seperti ini atau tidak. Orang* Israel telah melakukan sesuatu yang begitu teruk.+ 14  Dapatkah salji lenyap dari lereng gunung berbatu di Lebanon? Dapatkah air sejuk yang mengalir dari tempat yang jauh menjadi kering? 15  Tetapi umat-Ku telah melupakan Aku.+ Mereka telah mempersembahkan korban-korban kepada benda-benda yang tidak berguna.+ Mereka telah menyebabkan orang lain tersandung di jalan yang dilalui mereka, iaitu jalan purbakala.+ Ya, mereka menyebabkan orang lain mengikut jalan yang tidak rata dan licin, 16  Sehingga negeri mereka menjadi tempat yang mengerikan+Dan bahan ejekan* buat selama-lamanya.+ Setiap orang yang melalui negeri itu akan memerhatikannya dengan perasaan ngeri sambil menggelengkan kepala.+ 17  Aku akan mencerai-beraikan mereka di hadapan musuh, sebagaimana angin timur meniup debu. Aku akan membelakangi mereka dan memalingkan muka-Ku daripada mereka pada hari mereka ditimpa bencana.”+ 18  Kemudian mereka berkata, “Marilah kita bersepakat untuk melawan Yeremia.+ Imam yang mengajarkan hukum, orang bijaksana yang memberikan nasihat, dan nabi-nabi yang menyampaikan perkhabaran Tuhan akan selalu bersama kita. Jadi marilah kita menuduh dia, dan jangan dengar kata-katanya.” 19  Ya Yehuwa, perhatikanlah aku.Dengarlah apa yang dikatakan oleh musuh-musuhku. 20  Wajarkah kebaikan dibalas dengan kejahatan? Mereka telah menggali lubang untuk membunuh aku.+ Ingatlah bahawa aku telah berdiri di hadapan-Mu dan mengatakan hal-hal yang baik tentang mereka,Agar Engkau tidak murka terhadap mereka. 21  Oleh itu, biarlah anak-anak lelaki mereka mati kebuluran.Biarlah mereka mati dibunuh dengan pedang.+ Biarlah isteri-isteri mereka kehilangan anak dan suami.+ Biarlah kaum lelaki mereka mati kerana wabak penyakit,Dan pemuda-pemuda mereka mati dalam peperangan.+ 22  Biarlah bunyi jeritan kedengaran dari rumah mereka,Apabila Engkau membiarkan perompak menyerang mereka secara tiba-tiba. Mereka telah menggali lubang untuk menangkap aku,Dan memasang perangkap untuk menjerat kakiku.+ 23  Tetapi Engkau, ya Yehuwa,Engkau tahu semua muslihat mereka untuk membunuh aku.+ Janganlah ampunkan kesalahan mereka,Dan janganlah hapuskan dosa mereka. Biarlah mereka tersandung di hadapan-Mu+Apabila Engkau bertindak terhadap mereka semasa Engkau murka.+

Nota Kaki

Harfiah, “menanam.”
Harfiah, “Anak dara.”
Harfiah, “Dan sesuatu yang disiulkan.”