Yeremia 19:1-15
19 Yehuwa berfirman, “Pergilah beli sebuah kendi tembikar daripada seorang tukang tembikar.+ Bawalah beberapa orang pemimpin bangsa dan beberapa orang imam yang berpengalaman
2 lalu pergilah ke Lembah Hinom,+ yang terletak di depan Pintu Gerbang Serpihan Tembikar. Engkau harus mengisytiharkan firman-Ku di situ.
3 Engkau akan berkata, ‘Wahai raja-raja Yehuda dan penduduk Yerusalem, dengarlah firman Yehuwa. Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel:
“‘“Aku akan mendatangkan malapetaka atas tempat ini, dan sesiapa yang mendengarnya akan terkejut.
4 Aku berbuat demikian kerana mereka telah meninggalkan Aku+ dan membuat tempat ini menjadi sebuah tempat yang tidak dapat dikenali.+ Di sini, mereka mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain, iaitu tuhan-tuhan yang asing bagi mereka dan nenek moyang mereka. Mereka juga telah memenuhi tempat ini dengan darah orang yang tidak bersalah.+
5 Mereka telah membina tempat-tempat ibadat untuk Baal supaya mereka dapat membakar anak-anak mereka di dalam api sebagai korban,+ padahal Aku tidak pernah berfirman atau menyuruh mereka berbuat demikian. Hal itu bahkan tidak pernah terlintas dalam fikiran-Ku.”’*+
6 “‘“Lihatlah! Akan tiba masanya,” firman Yehuwa, “apabila tempat ini tidak lagi dipanggil sebagai Tofet atau Lembah Hinom, melainkan Lembah Pembunuhan.+
7 Aku akan menggagalkan rancangan Yehuda dan Yerusalem di tempat ini. Aku akan membiarkan mereka dibunuh dengan pedang di hadapan musuh-musuh mereka dan di hadapan orang yang ingin membunuh mereka. Aku akan memberikan mayat mereka kepada burung-burung di langit dan binatang buas di bumi untuk dimakan.+
8 Kota ini akan menjadi tempat yang mengerikan dan bahan ejekan.* Setiap orang yang melalui kota ini akan memerhatikannya dengan perasaan ngeri lalu mengejeknya kerana tulah yang menimpa kota ini.+
9 Aku akan membiarkan musuh-musuh yang hendak membunuh mereka untuk mengepung mereka. Pengepungan itu akan begitu dahsyat sehingga mereka menjadi sangat terdesak. Mereka akan makan teman sendiri, dan bahkan makan anak-anak sendiri.”’+
10 “Setelah itu, pecahkanlah kendi tembikar itu di hadapan orang yang mengikut engkau,
11 lalu katakanlah kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Sebagaimana seseorang memecahkan sebuah kendi tembikar sehingga tidak dapat dibaiki lagi, Aku juga akan menghancurkan kota ini dan penduduknya. Mereka akan dikuburkan di Tofet sehingga tiada lagi ruang kosong di situ.”’+
12 “‘Itulah yang akan Aku lakukan terhadap tempat ini,’ firman Yehuwa, ‘dan terhadap penduduknya, supaya kota ini akan menjadi seperti Tofet.
13 Rumah-rumah di Yerusalem dan rumah raja-raja di Yehuda akan menjadi najis seperti Tofet,+ kerana di atas bumbung rumah-rumah itu, mereka mempersembahkan korban kepada segala sesuatu di langit+ dan mempersembahkan wain kepada tuhan-tuhan lain.’”+
14 Apabila Yeremia kembali dari Tofet, tempat Yehuwa menyuruhnya untuk bernubuat, Yeremia berdiri di halaman Rumah Yehuwa dan berkata kepada semua orang,
15 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Aku akan mendatangkan malapetaka atas kota ini dan semua pekannya seperti yang telah Aku firmankan, kerana mereka degil dan tidak mahu mematuhi firman-Ku.’”+