Yeremia 23:1-40

  • Gembala yang baik dan yang jahat (1-4)

  • Hidup aman di bawah pemerintahan “tunas yang baik” (5-8)

  • Nabi-nabi palsu dikutuk (9-32)

  • “Inilah beban Yehuwa!” (33-40)

23  “Malanglah para gembala yang sedang membunuh dan mencerai-beraikan biri-biri di padang rumput-Ku!” firman Yehuwa.+ 2  Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, berkenaan para gembala yang sepatutnya menjaga umat-Nya: “Kamu telah mencerai-beraikan bebiri-Ku. Kamu asyik berbuat demikian, dan kamu tidak menjaga mereka.”+ “Maka Aku akan menghukum kamu kerana perbuatan jahat kamu,” firman Yehuwa. 3  “Kemudian Aku akan mengumpulkan bebiri-Ku yang masih hidup yang telah Aku cerai-beraikan ke negeri-negeri asing,+ dan membawa mereka pulang ke padang rumput mereka.+ Di situ, mereka akan beranak cucu dan bilangan mereka akan bertambah banyak.+ 4  Aku akan melantik para gembala yang benar-benar akan menggembala mereka.+ Umat-Ku tidak akan takut atau gentar lagi, dan tiada seorang pun antara mereka yang akan hilang,” firman Yehuwa. 5  “Lihatlah! Masanya akan tiba,” firman Yehuwa, “apabila Aku membuat tunas yang baik bertumbuh bagi* Daud.+ Ya, seorang raja akan memerintah.+ Raja itu akan menunjukkan pengertian, dan menegakkan keadilan dan kebenaran di negeri ini.+ 6  Pada masa itu, Yehuda akan diselamatkan,+ dan Israel akan hidup dengan aman.+ Inilah nama raja itu: Yehuwa ialah Keadilan Kita.”+ 7  “Akan tiba masanya,” firman Yehuwa, “apabila mereka tidak lagi berkata, ‘Kami bersumpah demi Yehuwa, Tuhan kami yang hidup, yang telah membawa orang Israel keluar dari Mesir!’+ 8  Sebaliknya mereka akan berkata, ‘Kami bersumpah demi Yehuwa, Tuhan kami yang hidup, yang telah membawa keturunan orang Israel keluar dari negeri di utara dan dari semua negeri tempat Dia mencerai-beraikan mereka,’ dan mereka akan tinggal di negeri mereka.”+ 9  Inilah perkhabaran kepada para nabi: Hatiku hancur remuk. Semua tulangku terketar-ketar. Aku seperti orang yang mabuk,Seperti orang yang minum terlalu banyak wain,Kerana Yehuwa dan kerana firman-Nya yang suci. 10  Negeri ini sarat dengan orang yang berzina.+ Negeri ini meratap kerana telah dikutuk,+Dan rumput di padang belantara telah menjadi kering.+ Mereka mengikut haluan yang jahat dan menyalahgunakan kuasa mereka. 11  “Para nabi dan para imam sudah tercemar.*+ Aku mendapati mereka berbuat jahat bahkan di dalam Rumah-Ku,”+ firman Yehuwa. 12  “Oleh itu, jalan yang dilalui mereka akan menjadi licin dan gelap.+ Mereka akan ditolak dan mereka akan jatuh. Pada tahun mereka dijatuhi hukuman,Aku akan mendatangkan malapetaka atas mereka,” firman Yehuwa. 13  “Aku telah nampak hal-hal yang menjijikkan dalam kalangan nabi-nabi Samaria.+ Nubuat-nubuat mereka berasal daripada Baal,Dan mereka menyesatkan umat-Ku Israel. 14  Aku telah nampak hal-hal yang buruk dalam kalangan nabi-nabi Yerusalem. Mereka berzina+ dan bercakap bohong.+ Mereka menggalakkan orang berbuat jahat,Dan mereka sendiri juga tidak berhenti berbuat jahat. Di mata-Ku, mereka seperti Sodom,+Dan penduduk Yerusalem seperti Gomora.”+ 15  Maka inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, berkenaan nabi-nabi itu: “Aku akan menyuruh mereka makan tanaman yang pahit,Dan Aku akan memberikan racun kepada mereka untuk diminum,+Kerana nabi-nabi Yerusalem telah menyebabkan seluruh negeri ini menjadi murtad.” 16  Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Janganlah dengar nubuat yang disampaikan oleh para nabi itu. Mereka sedang menipu kamu.*+ Penglihatan yang disampaikan oleh mereka berasal daripada rekaan hati mereka,+Dan bukannya daripada mulut Yehuwa.+ 17  Mereka berkali-kali memberitahu orang yang tidak menghormati Aku,‘Yehuwa telah berfirman, “Kamu akan hidup aman.”’+ Mereka juga berkata kepada setiap orang yang bertindak mengikut hatinya yang degil,‘Kamu tidak akan ditimpa malapetaka.’+ 18  Siapakah sahabat rapat YehuwaYang dapat melihat dan mendengar firman-Nya? Siapakah yang telah menumpukan perhatian agar dia dapat mendengar firman Tuhan? 19  Lihatlah! Kemarahan Yehuwa akan melanda seperti ribut kencang,Seperti puting beliung yang berpusing-pusing, yang melanda kepala orang yang jahat.+ 20  Selagi Yehuwa belum melaksanakan dan menyempurnakan keinginan hati-Nya,Kemarahan-Nya tidak akan reda. Pada hari-hari terakhir, kamu akan memahami hal ini dengan jelas. 21  Aku tidak mengutus nabi-nabi itu, tetapi mereka lari ke situ. Aku tidak berfirman kepada mereka, tetapi mereka masih bernubuat.+ 22  Seandainya mereka sahabat rapat-Ku,Mereka tentu akan menyuruh umat-Ku mendengar firman-Ku,Supaya umat-Ku berpaling daripada haluan jahat dan berhenti berbuat dosa.”+ 23  “Adakah Aku ini Tuhan yang hanya dapat melihat apa yang dekat,” firman Yehuwa, “dan bukannya apa yang jauh?” 24  “Dapatkah seseorang menyembunyikan dirinya sehingga Aku tidak dapat melihatnya?”+ firman Yehuwa. “Bukankah Aku yang telah memenuhi langit dan bumi?”+ firman Yehuwa. 25  “Aku mendengar nabi-nabi menyampaikan nubuat palsu demi nama-Ku. Mereka berkata, ‘Aku mendapat mimpi! Aku mendapat mimpi!’+ 26  Sampai bilakah mereka akan terus menyampaikan nubuat palsu? Mereka sedang menyampaikan dusta yang berasal daripada hati mereka yang licik.+ 27  Sebagaimana nenek moyang mereka telah melupakan nama-Ku kerana Baal, mereka juga ingin menyebabkan umat-Ku melupakan nama-Ku dengan menceritakan mimpi mereka kepada satu sama lain.+ 28  Biarlah nabi yang mendapat mimpi menceritakan mimpinya. Tetapi nabi yang menerima firman-Ku haruslah menyampaikan firman-Ku dengan jujur.” “Apakah persamaan antara jerami dengan bijirin?” firman Yehuwa. 29  “Bukankah firman-Ku seperti api?+ Bukankah firman-Ku seperti tukul yang menghancurkan bukit batu?” firman Yehuwa.+ 30  “Aku akan melawan nabi-nabi itu,” firman Yehuwa, “yang telah mencuri firman-Ku daripada satu sama lain.”+ 31  “Aku akan melawan nabi-nabi itu,” firman Yehuwa, “yang telah menggunakan lidah mereka untuk berkata, ‘Tuhan telah berfirman!’”+ 32  “Aku akan melawan nabi-nabi yang menyampaikan mimpi palsu,” firman Yehuwa. “Mereka menceritakan mimpi-mimpi palsu itu dan menyesatkan umat-Ku dengan dusta dan cakap besar mereka.”+ “Tetapi Aku tidak mengutus mereka atau menyuruh mereka berbuat demikian. Mereka tidak membawa sebarang manfaat kepada umat ini,”+ firman Yehuwa. 33  “Apabila umat ini, atau seorang nabi, atau seorang imam bertanya kepadamu, ‘Apakah itu beban* Yehuwa?’ engkau harus menjawab, ‘“Kamulah beban itu! Aku akan membuang kamu,”+ firman Yehuwa.’ 34  Jika seorang nabi, atau seorang imam, atau umat ini berkata, ‘Inilah beban* Yehuwa!’ Aku akan menghukum orang itu dan seisi rumahnya. 35  Setiap orang bertanya kepada kawannya dan kepada saudaranya, ‘Apakah jawapan Yehuwa? Apakah yang telah difirmankan oleh Yehuwa?’ 36  Tetapi kamu tidak patut menyebut tentang beban* Yehuwa lagi kerana beban* setiap orang ialah kata-katanya sendiri, dan kamu telah mengubah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan kita yang hidup. 37  “Katakanlah kepada nabi-nabi itu, ‘Apakah jawapan Yehuwa kepada kamu? Apakah yang telah difirmankan oleh Yehuwa? 38  Jika kamu asyik berkata, “Inilah beban* Yehuwa!” maka Yehuwa berfirman, “Kamu masih berkata, ‘Firman ini ialah beban* Yehuwa,’ meskipun Aku telah memberitahu kamu, ‘Jangan berkata, “Inilah beban* Yehuwa!”’ 39  Oleh itu, Aku akan mengangkat kamu dan mengusir kamu dari hadapan-Ku. Ya, Aku akan berbuat demikian terhadap kamu dan terhadap kota yang telah Aku berikan kepada kamu dan nenek moyang kamu. 40  Aku akan menyebabkan kamu dimalukan buat selama-lamanya dan dihina buat selama-lamanya. Hal itu pasti tidak akan dilupakan orang.”’”+

Nota Kaki

Atau “Aku memberikan waris yang baik kepada.”
Atau “sudah menjadi murtad.”
Atau “Mereka memberi kamu harapan kosong.”
Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.” Perkataan “beban” dalam bahasa Ibrani mempunyai dua maksud, iaitu “perkhabaran yang penting daripada Tuhan” atau “sesuatu yang membebankan.”
Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.”
Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.”
Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.”
Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.”
Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.”
Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.”