Yeremia 27:1-22

  • Kuk Babilon (1-11)

  • Zedekia disuruh tunduk kepada Babilon (12-22)

27  Pada awal pemerintahan Yehoyakim anak Yosia, raja Yehuda, Yeremia mendapat perkhabaran berikut daripada Yehuwa: 2  “Inilah firman Yehuwa kepadaku: ‘Buatlah tali-tali pengikat dan beberapa batang kuk. Pasangkanlah sebatang kuk pada tengkukmu. 3  Kemudian kirimkanlah tali dan kuk kepada raja Edom,+ raja Moab,+ raja orang Ammon,+ raja Tirus,+ dan raja Sidon+ melalui para utusan mereka yang datang ke Yerusalem untuk berjumpa dengan Zedekia, raja Yehuda. 4  Mintalah para utusan itu menyampaikan perintah ini kepada raja-raja mereka: “‘“Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, dan inilah perintah yang patut kamu sampaikan kepada raja-raja kamu: 5  ‘Akulah yang telah menciptakan bumi, manusia, dan haiwan di atas permukaan bumi dengan kuasa-Ku yang menakjubkan dan kekuatan-Ku. Aku telah memberikan semua itu kepada sesiapa sahaja yang Aku kehendaki.+ 6  Sekarang Aku telah menyerahkan semua negeri ini ke dalam tangan hamba-Ku, iaitu Raja Nebukadnezar+ dari Babilon, bahkan binatang liar di padang pun telah Aku serahkan ke dalam tangannya. 7  Semua bangsa akan menjadi hamba kepada dia, anaknya, dan cucunya sehingga masa negerinya dimusnahkan.+ Pada masa itu, dia akan menjadi hamba kepada banyak bangsa dan raja-raja yang kuat.’+ 8  “‘“‘Jika suatu bangsa atau kerajaan tidak mahu tunduk kepada Raja Nebukadnezar dari Babilon dan enggan meletakkan kuk raja Babilon pada tengkuk mereka, Aku akan menghukum bangsa itu dengan pedang,+ kebuluran, dan wabak penyakit,’ firman Yehuwa, ‘sehingga bangsa itu musnah di bawah tangannya.’ 9  “‘“‘Oleh itu, janganlah dengar nabi-nabi kamu, tukang tilik, pentafsir mimpi, ahli ilmu ghaib, dan tukang sihir yang berkata, “Kamu tidak akan menjadi hamba raja Babilon.” 10  Jika kamu mendengar nubuat-nubuat palsu mereka, kamu akan dibawa jauh dari negeri kamu. Aku akan mencerai-beraikan kamu dan kamu akan binasa. 11  “‘“‘Tetapi jika suatu bangsa tunduk kepada raja Babilon dan meletakkan kuk raja itu pada tengkuk mereka, Aku akan membenarkan bangsa itu tinggal di negeri mereka,’ firman Yehuwa, ‘untuk bercucuk tanam dan hidup di sana.’”’” 12  Aku juga menyampaikan perkhabaran yang sama kepada Raja Zedekia+ dari Yehuda. Aku berkata, “Letakkanlah kuk raja Babilon pada tengkuk kamu. Hendaklah kamu semua menjadi hamba raja itu dan rakyatnya supaya kamu dapat terus hidup.+ 13  Yehuwa telah berfirman bahawa bangsa yang enggan tunduk kepada raja Babilon akan mati kerana kebuluran+ dan wabak penyakit,+ dan kerana dibunuh pedang.+ Adakah tuanku dan rakyat tuanku mahu mati dengan cara demikian? 14  Janganlah dengar para nabi yang berkata, ‘Kamu tidak akan menjadi hamba raja Babilon,’+ kerana mereka menyampaikan nubuat palsu.+ 15  “‘Aku tidak mengutus mereka,’ firman Yehuwa, ‘tetapi mereka menyampaikan nubuat palsu atas nama-Ku. Jika kamu mendengarkan mereka, Aku akan mencerai-beraikan kamu dan membinasakan kamu bersama dengan nabi-nabi yang menyampaikan nubuat palsu itu.’”+ 16  Aku memberitahu para imam dan semua orang, “Inilah firman Yehuwa: ‘Janganlah dengar nabi-nabi yang berkata, “Lihatlah! Tidak lama lagi, perkakas-perkakas Rumah Yehuwa akan dibawa balik dari Babilon!”+ kerana mereka sedang menyampaikan nubuat palsu.+ 17  Jangan dengarkan mereka! Tunduklah kepada raja Babilon supaya kamu dapat terus hidup.+ Mengapakah kota ini harus menjadi reruntuhan? 18  Tetapi jika mereka ialah nabi yang menerima perkhabaran daripada Yehuwa, biarlah mereka merayu kepada Yehuwa, ketua angkatan syurga. Biarlah mereka merayu agar perkakas-perkakas yang masih ada di Rumah Yehuwa, istana raja Yehuda, dan Yerusalem tidak dibawa ke Babilon.’ 19  “Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman tentang tiang-tiang,+ Laut Tembaga,+ pedati-pedati,+ dan perkakas lain yang masih ada di dalam kota ini. 20  (Barang-barang ini ditinggalkan oleh Raja Nebukadnezar dari Babilon semasa dia membawa Yekhonya anak Yehoyakim, iaitu raja Yehuda, dari Yerusalem ke Babilon sebagai tawanan. Dia juga membawa semua golongan bangsawan Yehuda dan Yerusalem sebagai tawanan.)+ 21  Ya, inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel, berkenaan barang-barang yang masih ada di Rumah Yehuwa, istana raja Yehuda, dan Yerusalem: 22  ‘“Semua barang ini akan dibawa ke Babilon+ dan disimpan di sana sehingga Aku memerhatikannya lagi,” firman Yehuwa. “Kemudian barulah Aku akan membawa semuanya kembali ke sini.”’”+

Nota Kaki