Yeremia 28:1-17

  • Yeremia menentang Hanania, nabi palsu itu (1-17)

28  Pada tahun yang sama, pada awal pemerintahan Raja Zedekia+ dari Yehuda, iaitu pada bulan kelima tahun keempat, Nabi Hanania anak Azur dari Gibeon+ bercakap kepada Yeremia di Rumah Yehuwa, di hadapan para imam dan semua rakyat. Hanania berkata,  “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Aku akan mematahkan kuk raja Babilon.+  Meskipun Raja Nebukadnezar dari Babilon telah mengambil semua perkakas Rumah Yehuwa dari tempat ini dan membawanya ke Babilon, Aku akan mengembalikan semua perkakas itu ke tempat asalnya dalam masa dua tahun.’”+  “‘Aku juga akan membawa kembali Yekhonya+ anak Yehoyakim,+ iaitu raja Yehuda, dan semua orang Yehuda yang telah pergi ke Babilon sebagai tawanan,’+ firman Yehuwa, ‘kerana Aku akan mematahkan kuk raja Babilon.’”  Kemudian Nabi Yeremia bercakap kepada Nabi Hanania di hadapan para imam dan semua rakyat yang berkumpul di Rumah Yehuwa.  Nabi Yeremia berkata, “Amin!* Semoga Yehuwa berbuat demikian! Semoga Yehuwa menjadikan nubuatmu itu kenyataan, dan membawa kembali perkakas Rumah Yehuwa dari Babilon bersama semua orang yang telah ditawan!  Akan tetapi, dengarlah apa yang akan aku katakan kepadamu dan kepada semua rakyat.  Nabi-nabi dahulukala, sebelum zaman kita, telah bernubuat tentang banyak negara dan kerajaan-kerajaan yang besar, tentang peperangan, malapetaka, dan wabak penyakit.  Jika seorang nabi bernubuat tentang keamanan dan nubuatnya itu menjadi kenyataan, ternyatalah bahawa nabi itu diutus oleh Yehuwa.” 10  Kemudian Nabi Hanania mengambil kuk yang ada pada tengkuk Nabi Yeremia, lalu mematahkannya.+ 11  Di hadapan semua rakyat, Hanania berkata, “Inilah firman Yehuwa: ‘Demikianlah Aku akan mematahkan kuk Raja Nebukadnezar dari Babilon yang ada pada tengkuk semua bangsa, dan Aku akan melakukannya dalam masa dua tahun.’”+ Nabi Yeremia pun beredar dari situ. 12  Selepas Nabi Hanania mematahkan kuk yang ada pada tengkuk Nabi Yeremia, Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 13  “Pergilah kepada Hanania dan katakanlah kepadanya, ‘Inilah firman Yehuwa: “Engkau telah mematahkan kuk yang diperbuat daripada kayu,+ tetapi sekarang kuk itu akan digantikan dengan kuk yang diperbuat daripada besi.” 14  Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: “Aku akan meletakkan kuk besi pada tengkuk semua bangsa ini, dan mereka akan tunduk kepada Raja Nebukadnezar dari Babilon.+ Aku akan menyerahkan mereka ke dalam tangan raja itu, bahkan binatang liar di padang pun akan Aku serahkan kepadanya.”’”+ 15  Kemudian Nabi Yeremia berkata kepada Nabi Hanania,+ “Wahai Hanania, tolonglah dengar! Yehuwa tidak mengutus kamu, tetapi kamu telah membuat rakyat mempercayai kata-kata dustamu.+ 16  Maka inilah firman Yehuwa: ‘Lihatlah! Aku akan melenyapkan engkau dari muka bumi ini. Pada tahun ini, engkau akan mati kerana engkau telah membuat orang memberontak terhadap Aku, Yehuwa.’”+ 17  Pada tahun itu juga, pada bulan ketujuh, Nabi Hanania mati.

Nota Kaki

Atau “Semoga begitu!”