Yeremia 30:1-24

  • Janji tentang pemulihan dan penyembuhan (1-24)

30  Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 2  “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Tulislah dalam sebuah kitab segala yang Aku firmankan kepadamu 3  kerana “masanya akan tiba,” firman Yehuwa, “apabila Aku akan mengumpulkan umat-Ku, iaitu bangsa Israel dan Yehuda, yang telah ditawan,”+ firman Yehuwa, “dan Aku akan membawa mereka pulang ke negeri yang telah Aku berikan kepada nenek moyang mereka. Mereka akan memiliki negeri itu semula.”’”+ 4  Yehuwa berfirman kepada bangsa Israel dan Yehuda.  5  Inilah firman Yehuwa: “Kamu telah mendengar suara orang yang ketakutan;Hanya ada ketakutan, dan tidak ada kedamaian.  6  Fikirlah sejenak, bolehkah seorang lelaki melahirkan anak? Jika tidak, mengapakah setiap lelaki memegang perut masing-masing,Seperti wanita yang hendak bersalin?+ Mengapakah muka mereka pucat?  7  Malanglah! Hari itu ialah hari yang mengerikan,+Hari yang tiada bandingnya. Itulah waktu yang sukar bagi Yakub,Tetapi dia akan diselamatkan.” 8  “Pada hari itu,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, “Aku akan mematahkan kuk yang ada pada tengkuk mereka, dan tali pengikat mereka akan Aku putuskan menjadi dua. Mereka* tidak akan menjadi hamba kepada bangsa asing lagi. 9  Mereka akan menyembah Yehuwa, Tuhan mereka, dan tunduk kepada raja yang telah Aku lantik untuk mereka, iaitu Daud.”+ 10  “Hai hamba-Ku Yakub, janganlah berasa takut,” firman Yehuwa,“Hai Israel, janganlah gentar.+ Aku akan menyelamatkan engkau dari tempat yang jauh,Dan Aku akan menyelamatkan keturunanmu dari negeri tempat mereka ditawan.+ Yakub akan pulang lalu hidup dengan aman tanpa sebarang gangguan. Tidak ada sesiapa pun yang akan membuat mereka takut.”+ 11  “Aku akan menyertaimu,” firman Yehuwa, “dan menyelamatkanmu. Aku telah mencerai-beraikan engkau dalam kalangan bangsa-bangsa, dan Aku akan membinasakan semua bangsa itu.+ Tetapi Aku tidak akan membinasakanmu.+ Namun demikian, engkau tidak akan terlepas daripada hukuman. Aku akan mendisiplinkan engkau dengan saksama.”+ 12  Inilah firman Yehuwa: “Kecederaanmu sangat parah.+ Lukamu tidak dapat disembuhkan. 13  Tiada seorang pun yang akan membelamu. Tiada penawar untuk menyembuhkan bisulmu. Engkau tidak akan sembuh. 14  Semua kekasihmu sudah melupakanmu.+ Mereka tidak mencarimu lagi. Aku telah menyerang engkau dengan pukulan musuh,+Dengan hukuman yang kejam,Kerana engkau telah banyak berdosa dan melakukan kesalahan yang amat berat.+ 15  Apa gunanya engkau mengeluh kerana luka-lukamu? Kesakitanmu tiada penawar! Aku memperlakukan engkau sedemikianKerana engkau telah banyak berdosa dan melakukan kesalahan yang amat berat.+ 16  Tetapi semua orang yang melahapmu akan dilahap,+Dan semua musuhmu akan ditawan.+ Orang yang menjarah negerimu akan dijarah. Aku akan membiarkan orang yang merompakmu dirompak.”+ 17  “Dahulu mereka memandang engkau sebagai orang yang diusir. Mereka berkata,‘Tiada orang yang akan mencari Sion.’+ Tetapi Aku akan memulihkan kesihatanmu dan mengubati lukamu,”+ firman Yehuwa. 18  Inilah firman Yehuwa: “Aku akan pergi ke khemah-khemah Yakub dan mengumpulkan orang yang telah ditawan.+ Aku akan mengasihani mereka dan memulihkan keadaan tempat tinggal mereka. Kota itu akan dibina semula di atas gunungnya,+Dan menaranya yang kukuh akan didirikan di atas tapak asalnya. 19  Mereka pasti akan bersyukur dan ketawa dengan gembira.+ Aku akan melipatgandakan bilangan mereka, dan jumlah mereka akan terus bertambah.+ Ya, Aku akan membuat mereka menjadi ramai,*Dan jumlah mereka tidak akan berkurang.+ 20  Keturunan mereka akan kembali makmur seperti dahulu,Dan bangsa mereka akan dikukuhkan di hadapan-Ku.+ Aku akan menghukum semua orang yang menindas mereka.+ 21  Pemimpin mereka akan berasal daripada bangsa mereka. Ya, pemerintah mereka akan datang daripada kalangan mereka. Aku akan membenarkan pemerintah itu untuk menghampiri-Ku dan menghadap-Ku.” “Tanpa kebenaran-Ku, siapakah yang berani menghampiri-Ku?” firman Yehuwa. 22  “Kamu akan menjadi umat-Ku+ dan Aku akan menjadi Tuhan kamu.”+ 23  Lihatlah! Kemarahan Yehuwa akan melanda seperti ribut kencang,+Seperti ribut yang tidak akan reda, yang melanda kepala orang yang jahat. 24  Selagi Yehuwa belum melaksanakan dan menyempurnakan keinginan hati-Nya,Api kemarahan-Nya tidak akan reda.+ Pada hari-hari terakhir, kamu akan memahami hal ini.+

Nota Kaki

Atau “Dia.”
Atau mungkin, “membuat mereka dihormati.”