Yeremia 34:1-22
34 Yeremia menerima perkhabaran daripada Yehuwa ketika Nebukadnezar, raja Babilon, dan semua angkatan perangnya menyerang Yerusalem dan kota-kota di sekitarnya. Raja itu disertai semua kerajaan di bumi yang takluk kepadanya dan orang daripada bangsa-bangsa lain. Inilah perkhabaran itu:+
2 “Yehuwa, Tuhan orang Israel, berfirman, ‘Pergilah menghadap Zedekia,+ raja Yehuda, dan beritahulah dia, “Inilah firman Yehuwa: ‘Aku akan menyerahkan kota ini ke dalam tangan raja Babilon, dan raja itu akan membakarnya dengan api.+
3 Engkau tidak akan dapat melarikan diri daripada raja itu. Engkau pasti akan ditangkap dan diserahkan kepadanya.+ Ya, engkau pasti akan pergi ke Babilon, dan engkau akan bersemuka dengan raja Babilon dan bercakap dengannya.’+
4 Tetapi dengarlah firman Yehuwa, hai Raja Zedekia dari Yehuda, ‘Inilah firman Yehuwa berkenaanmu: “Engkau tidak akan dibunuh dengan pedang.
5 Sebaliknya, engkau akan mati dengan tenteram.+ Rakyat akan menyalakan unggun api untuk menghormatimu, sebagaimana yang telah dilakukan bagi nenek moyangmu, iaitu raja-raja sebelummu. Mereka akan meratapimu dan berkata, ‘Aduhai, tuanku!’ kerana ‘Aku telah mengatakannya,’ firman Yehuwa.”’”’”
6 Kemudian Nabi Yeremia menyampaikan segala-galanya kepada Raja Zedekia di Yerusalem.
7 Pada waktu itu, angkatan tentera raja Babilon sedang menyerang Yerusalem dan semua kota Yehuda yang masih belum ditawan,+ iaitu kota Lakhis+ dan kota Azeka,+ dua buah kota berkubu yang masih bertahan di Yehuda.
8 Yeremia menerima perkhabaran daripada Yehuwa setelah Raja Zedekia membuat perjanjian dengan semua orang di Yerusalem untuk membebaskan hamba abdi mereka.+
9 Setiap orang harus membebaskan orang Ibrani yang menjadi hamba mereka, baik lelaki mahupun perempuan, supaya tiada orang Yahudi yang memperhamba orang yang sebangsa dengannya.
10 Semua pemimpin dan rakyat bersetuju untuk berbuat demikian. Mereka membuat perjanjian dan bersetuju bahawa setiap orang harus membebaskan hamba lelaki dan hamba perempuan mereka, dan tidak sekali-kali akan memperhamba mereka lagi. Demikianlah semua orang mematuhi perintah raja dan membebaskan hamba mereka.
11 Tetapi kemudian mereka mengambil kembali hamba lelaki dan hamba perempuan yang telah dibebaskan itu, dan memaksa mereka menjadi hamba semula.
12 Maka Yehuwa berfirman kepada Yeremia. Inilah firman Yehuwa:
13 “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Aku telah membuat perjanjian dengan nenek moyang kamu+ pada hari Aku membawa mereka keluar dari Mesir, tempat mereka diperhamba.+ Aku memberitahu mereka,
14 “Jika seorang Ibrani dijual kepada kamu sebagai hamba, kamu mesti membebaskan dia selepas dia bekerja bagi kamu selama enam tahun. Kamu mesti membebaskan saudara kamu itu pada tahun yang ketujuh.”*+ Tetapi nenek moyang kamu menutup telinga dan tidak mahu mendengarkan Aku.
15 Baru-baru ini,* kamu mengubah haluan dan melakukan apa yang baik di mata-Ku dengan membebaskan orang yang sebangsa dengan kamu daripada perhambaan. Kamu telah membuat perjanjian di hadapan-Ku di rumah yang dibina untuk nama-Ku.
16 Tetapi kemudian kamu mengubah haluan lagi dan menghina nama-Ku.+ Kamu mengambil kembali hamba lelaki dan hamba perempuan yang telah kamu bebaskan menurut kehendak mereka, dan memaksa mereka menjadi hamba semula.’
17 “Maka Yehuwa berfirman, ‘Kamu tidak mematuhi Aku dan kamu tidak membebaskan saudara kamu dan orang yang sebangsa dengan kamu daripada perhambaan.+ Jadi sekarang Aku akan memberi kamu kebebasan,’ firman Yehuwa, ‘ya, kamu akan mendapat kebebasan apabila kamu mati kerana kebuluran, pedang, dan wabak penyakit.+ Aku akan menyebabkan semua kerajaan di bumi menjadi takut setelah melihat apa yang menimpa kamu.+
18 Inilah hal yang akan berlaku kepada orang yang melanggar perjanjian-Ku. Meskipun mereka telah memotong seekor anak lembu menjadi dua lalu berjalan di antara dua belahan daging itu,* mereka masih tidak memenuhi syarat-syarat perjanjian yang telah dibuat oleh mereka di hadapan-Ku.+
19 Ya, para pemimpin Yehuda, para pemimpin Yerusalem, pegawai-pegawai istana, para imam, dan semua penduduk negeri itu telah berjalan di antara dua belahan lembu itu.
20 Maka Aku akan menyerahkan mereka semua ke dalam tangan musuh-musuh mereka yang ingin membunuh mereka. Mayat mereka akan dimakan oleh burung di langit dan binatang liar di bumi.+
21 Aku akan menyerahkan Zedekia, iaitu raja Yehuda, dan para pemimpinnya ke dalam tangan musuh-musuh mereka yang ingin membunuh mereka, dan ke dalam tangan tentera raja Babilon+ yang sedang berundur daripada kamu.’+
22 “‘Aku akan mengeluarkan perintah,’ firman Yehuwa, ‘dan Aku akan membawa mereka kembali ke kota ini. Mereka akan menyerang kota ini, menawannya, dan membakarnya dengan api.+ Aku akan membuat kota-kota Yehuda menjadi tempat tandus yang tidak berpenduduk.’”+